DUA wanita berswafoto di atas landasan kereta api di Hanoi pada 9 Jun lepas
RIO DE JANEIRO - Swafoto yang menjadi sensasi global sejak satu dekad lalu didapati membunuh lima kali ganda lebih ramai mangsa berbanding serangan jerung.
Antara Oktober 2011 hingga November 2017, sekurang-kurangnya 259 orang meninggal dunia semasa merakam gambar swafoto di seluruh dunia, demikian menurut penerbitan Journal of Family Medicine and Primary Care, berbanding hanya 50 orang maut dibaham jerung sepanjang tempoh sama.
Walaupun wanita paling gemar merakam swafoto, golongan belia lelaki merangkumi tiga perempat daripada keseluruhan kematian akibat swafoto termasuk insiden lemas, terjatuh, pelanggaran atau tertembak.
India yang mempunyai lebih 1.3 bilion penduduk dan 800 juta telefon bimbit pula mencatat rekod kematian swafoto paling ramai, bersamaan 159 orang setakat ini.
Angka tersebut lebih separuh daripada bilangan kematian di seluruh dunia.
Kematian akibat swafoto menjadi isu serius di India sehinggakan mendorong pihak berwajib menguatkuasakan zon larangan swafoto. Sebanyak 16 zon itu diwujudkan di bandar raya Mumbai sahaja.
India berada mengungguli senarai kematian swafoto berbanding Rusia (16 kematian) dan Amerika Syarikat (14) serta Pakistan.
Di Rusia, orang awam terjatuh dari jambatan dan bangunan tinggi malah, terdapat mereka yang maut merakam swafoto semasa mengendalikan periuk api.
Angka kematian yang terus meningkat itu mendorong polis Rusia mengeluarkan panduan swafoto tanpa bahaya pada tahun 2015.
Pada Januari lepas, selebriti media sosial Taiwan, Gigi Wu yang dikenali sebagai Pendaki Bikini kerana merakam swafoto di puncak gunung sambil memakai bikini, meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam sebuah gaung. Wanita itu berusia 36 tahun.
Catat Ulasan