Tentera Udara A.S Membolehkan Senjata Pintar Berfungsi Secara Berkumpulan



Amerika Syarikat ialah negara yang paling banyak membelanjakan wang kepada pembangunan tentera. Pada tahun lalu hampir $650 bilion dibelanjakan berbanding China di tempat kedua yang membelanjakan $250 bilion. Pembangunan senjata paling canggih akan memberikan mereka kelebihan di medan perang dan membuatkan musuh berfikir dua kali sebelum menyerang. Antara kelebihan A.S berbanding negara lain ialah pembangunan senjata pintar.

Terkini Tentera Udara A.S dilaporkan membangunkan projek baru Golden Horde yang membolehkan pelbagai senjata pintar berhubung antara satu sama lain di dalam misi dan berfikir secara berkumpulan. Peluru berpandu, bom pintar dan peluru berpandu boleh dilancarkan serentak. Ketika dalam perjalanan ke destinasi, sasaran boleh diubah dalam masa nyata.

Sekiranya sasaran A berjaya dimusnahkan, peluru berpandu lain yang di dalam perjalanan boleh mencari sasaran lain yang relevan di dalam kawasan misi. Pada waktu yang sama jika sistem pertahanan anti peluru berpandu dikesan oleh sistem optik senjata, ia dengan pintar memusnahkan sistem ini terlebih dahulu. Ini meningkatkan kebarangkalian senjata lain yang berfungsi secara berkumpulan memusnahkan sasaran tanpa ditembak jatuh sistem pertahanan musuh.


Antara senjata yang boleh digunakan di bawah payung Golden Horde ialah bom tepat GBU-39/B, peluru berpandu AGM-158 Joint Air-to-Surface Standoff Missile dan peluru berpandu umpan ADM-160. Menerusi Golden Horde masalah lebih dari satu senjata memusnahkan satu sasaran dapat diselesaikan sekaligus mengurangkan pembaziran kerana harga senjata pintar yang tinggi.

Sebelum ini kami ada  melaporkan projek Gremlin oleh DARPA yang membangunkan kawanan dron yang boleh bekerjasama di medan perang.

0/komen