Argentina Juara Piala Copa Amerika 2021 Tewaskan Brazil


Rio de Janeiro: Lionel Messi menjulang trofi pertama bersama Argentina selepas jaringan Angel Di Maria membantu pasukannya menewaskan tuan rumah Brazil 1-0 pada final Copa America pagi ini.

Kemenangan di Stadium Maracana itu mengakhiri penantian 28 tahun Argentina untuk menjulang trofi kejuaraan utama sekali gus menamatkan rekod kebal Brazil di tempat sendiri selama lebih 2,500 hari.

Kali terakhir Argentina muncul juara kejohanan utama pada 1993 menerusi dua jaringan legenda mereka Gabriel Batistuta ketika menewaskan Mexico 2-1 pada final di Ecuador.


Ia juga kali pertama dalam enam edisi di tempat sendiri Brazil gagal menjulang trofi.

Ketika Messi yang berusia 34 tahun menamatkan penantiannya, Neymar pula yang lima tahun lebih muda terus kemarau gelaran antarabangsa pertama selepas tersisih daripada skuad Selecao yang muncul juara di tempat sendiri dua tahun lalu akibat kecederaan.

Gol kemenangan Argentina terhasil pada minit ke-22 menerusi lambungan cantik Di Maria selepas mendapat hantaran Rodrigo De Paul yang gagal dijangkau penjaga gol Brazil Ederson.

Messi nyaris menambah derita Brazil pada lewat permainan tetapi dia gagal menyambar bola ketika hanya berdepan Ederson.

0/komen