Jawab Panggilan Telefon, Hilang RM1 Juta


Seorang ahli perniagaan terpaksa berputih mata, apabila wang miliknya sebanyak RM1 juta lesap daripada akaun banknya, sebaik mangsa menjawab panggilan telefon sindiket penipuan transaksi bank.

Kejadian yang tidak diduga itu, berlaku selepas mangsa yang hanya dikenali sebagai Lee, menerima panggilan telefon daripada seseorang yang mendakwa daripada sebuah syarikat kurier nasional.

Pemanggil itu mendakwa ada bungkusan untuk Lee dan memintanya memberikan OTP banknya.

Namun,mencurigai ada sesuatu yang tidak kena, Lee memutuskan panggilan terbabit.

Selepas panggilan itu, Lee kemudian menyemak akaunnya dan mendapati RM1 juta telah dikeluarkan daripada akaun Maybank miliknya, tanpa kelulusan atau kebenarannya.

Menurut rekod banknya, wang itu telah dipindahkan kepada sebuah syarikat telekomunikasi tempatan menerusi dua transaksi yang masing-masing sebanyak RM500,000.

Selepas mendapati wang dipindahkan tanpa kelulusan atau kebenarannya, dia segera menghubungi bank untuk membuat aduan dan membuat laporan polis," kata aktivis DAP Sarawak, Michael Kong Feng Nian pada sidang media bersama Lee serta isterinya di ibu pejabat DAP Sarawak di sini.

Susulan itu, Michael yang juga pembantu khas kepada Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, berkata, beliau menemani Lee ke Maybank untuk membuat susulan ke atas aduan yang dibuat semalam.

Pada masa sama, beliau akan membantu Lee untuk berhubung dengan syarikat telekomunikasi terbabit bagi mengesan wang berkenaan dan mengembalikan kepada beliau.

Katanya ,ini bukan kes pemegang akaun bank telah memuat turun beberapa perisian hasad (malicious software - malware).

Dia hanya menjawab panggilan telefon tetapi RM1 juta dalam akaun banknya benar-benar dicuri daripadanya.

Justeru, Michael menggesa kerajaan segera ke atas penipuan bank dan meminta bank bertanggungjawab atas kerugian yang disebabkan oleh penipuan berkenaan.

Katanya apa yang berlaku itu adalah jelas menunjukkan kelemahan sistem perbankan.

Bank sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk menyimpan wang kita.

Sekarang, bank pun nampaknya tidak selamat, maka di mana lagi kita boleh menyimpan wang simpanan kita?

Ia adalah salah satu tugas asas kerajaan untuk melindungi harta rakyat dan oleh itu, memandangkan kesan serius dan implikasi penipuan tersebut,beliau menyeru kerajaan untuk bertindak segera ke atas perkara ini.

Pada masa sama, Michael mendesak pihak Maybank amnya untuk memberikan penjelasan segera tentang bagaimana transaksi besar itu boleh berlaku.

RM1 juta telah dipindahkan daripada akaun bank Lee dalam dua transaksi bernilai RM500,000 setiap satu. Tiada OTP atau pemberitahuan dihantar kepada Lee.

Tambahan pula, jika seseorang itu mengeluarkan wang tunai RM20,000 daripada akaun banknya di kaunter, kebanyakan bank pada masa kini akan memerlukan pemegang akaun mengisi borang dan menjawab senarai soalan yang mewajarkan pengeluaran RM20,000 itu.

Jika pengeluaran RM20,000 pun menyusahkan, bagaimana dua pengeluaran RM500,000 setiap satu boleh berlaku dalam beberapa minit?

Sehubungan itu, beliau berkata, Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin akan membangkitkan semula perkara itu di Parlimen untuk tindakan segera kerajaan.

Chong sebelum ini juga telah mencadangkan kerajaan mewajibkan bank membayar balik kerugian mangsa penipuan.

Beliau mencadangkan bahawa sekurang-kurangnya sebahagian besar daripadanya perlu dibayar balik melainkan bank boleh membuktikan bahawa pemegang akaun adalah sebahagian daripada penipuan.

 

0/komen