Kereta Terbang Bawa Penumpang


Sebuah kereta terbang dinamakan AirCar mencipta sejarah selepas melakukan penerbangan pertama di dunia dengan membawa seorang penumpang.

Penumpang tersebut ialah pemuzik legenda berusia 75 tahun, Jean-Michel Jarre. 

Ia sekali gus menandakan pencapaian terbaharu oleh syarikat berpangkalan di Slovakia, KleinVision yang menghasilkan AirCar.

Jarre melakukan dua penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Piestany di hadapan penonton yang ramai. 

AirCar mampu bertukar daripada sebuah kereta biasa kepada kereta terbang dalam masa beberapa minit sahaja. 

Kereta seberat 1,000 kilogram itu mempunyai dua tempat duduk dan dilengkapi sepasang sayap boleh lipat. AirCar hanya memerlukan landasan sepanjang 300 meter untuk berlepas dan mendarat.

AirCar boleh terbang pada ketinggian 2,438 meter pada kelajuan 192 kilometer sejam.

“AirCar akan memasuki pasaran dalam masa setahun. Bagaimanapun, pemandu perlu mempunyai lesen memandu dan lesen juruterbang,” kata pengasas bersama KleinVision, Anton Zajac
 

0/komen