
Sering kali bila tiba bulan kemerdekaan negara, media arus perdana lebih berminat bercerita tentang kekejaman Komunis. Padahal sejarah menceritakan Komunis/PKM paling berjaya menguasai negara ini hanya 14 hari berbanding kuasa barat yang lain, terutama British yang menjajah Tanah Melayu lebih dari 100 tahun, sehingga meninggalkan kesan yang berlanjutan dalam sistem pemerintahan negara ini.
Untuk artikel kali ini sebagai percambahan minda, saya ingin kongsikan tentang kekejaman penjajah British yang sangat tragis satu ketika dulu yang berlaku di sebuah kampung yang diberi nama kampung Budu.

Kampung Budu merupakan sebuah kampung yang terletak di Benta dalam negeri Pahang. Di kampung inilah pihak British pernah melakukan kekejaman dengan membakar keseluruhan kampung hingga beratus penduduknya mati.
Kampung Budu selain diketahui sebagai tempat lahirnya Tok Gajah, ia juga adalah salah satu lokasi peperangan strategik pada zaman silam kerana kedudukannya yang dikelilingi tiga bukit.
Kampung Budu dianugerahkan kepada Tok Gajah oleh Sultan Pahang berikutan bantuan beliau dalam Perang Klang yang menyaksikan Pahang menyebelahi Sultan Selangor ketika itu Sultan Abdul Samad. Sekaligus beliau diberi gelaran kebesaran Pahang iaitu Orang Kaya Indera Gajah.

Tiada siapa pernah menyangka sebenarnya kampung Budu ini pernah menyimpan seribu satu kisah duka yang tidak banyak dicatatkan dalam lipatan teks sejarah mahupun di media arus perdana.
Kisahnya bermula pada bulan Mei bersamaan Ramadhan 1892, yang mana menyaksikan kira-kira 300 penduduk Kampung Budu terkorban apabila kampung mereka dibakar oleh tentera British yang ketika itu ditentang oleh pejuang-pejuang Melayu seperti Tok Gajah, Mat Kilau, Datuk Bahaman dan pengikut mereka. Pasukan Tok Gajah pada waktu itu bersiap-siaga membina kubu pertahanan di sekeliling kampung bagi menyekat kemaraan tentera upahan British.

Tok Gajah dan Mat Kilau sememangnya telah menjangkakan British akan menyerang Kampung Budu. Ini kerana Residen Inggeris ketika itu Sir Hugh Clifford telah menggerakkan kira-kira 400 polis tambahan dari Raub yang telah meningkatkan kekuatan pasukan tentera British di Kuala Lipis menjadi hampir 2,000 orang, yang terdiri daripada tentera upahan berketurunan Sikh dan Gurka.
British juga ketika itu telah menyediakan satu pasukan sokongan berserta tali barut di pihak orang Melayu yang akan menyerang Kampung Budu dari arah utara iaitu dari Kampung Temau sementara dua pasukan lain akan menyerang dari laluan darat melalui muara Sungai Teka, dan satu pihak akan menyerang dari sebelah timur menerusi Penjom/Tanjung Besar.

Waktu itu tentera upahan British mula mendarat di kawasan paya kering di sebuah tanah lapang berhampiran Lubuk Besar pada awal bulan Ramadan dan tempoh itu sememangnya dirancang kerana mempercayai pahlawan Melayu yang menentang mereka akan lemah.
Walaubagaimanapun percubaan tentera upahan British selama dua minggu untuk melemahkan dan menawan pasukan penentang Tok Gajah gagal. Ini berikutan pelbagai jerangkap samar yang digunakan untuk menyerang hendap telah dipasang oleh pahlawan Melayu ketika itu.
Antara jerangkap samar yang digunakan ialah jerangkap samar yang menggunakan katak puru dilumur dengan cili burung serta dibaling ke arah khemah-khemah askar-askar itu. Ini membuatkan tentera upahan British menerima pelbagai tekanan dalam usaha mereka menewaskan pasukan Tok Gajah.
Sementara laluan perahu di sungai juga seringkali diterbalikkan oleh rintangan rotan manau yang dijadikan jerangkap sehingga menyukarkan tentera-tentera tersebut. Disebabkan keadaan itu, tentera-tentera upahan British ini menjadi tertekan kerana bukan sahaja mereka gagal menangkap Tok Gajah tetapi tidak dapat berehat secukupnya kerana serang hendap yang dilakukan pengikut Tok Gajah.
Akibat dari kegagalan tersebut, tentera upahan British bertindak membakar seluruh Kampung Budu. Peristiwa ini sesuatu yang diluar jangkaan dan amat menyedihkan Tok Gajah serta pengikutnya.
Disebabkan tentera British yang ramai, akhirnya pasukan Tok Gajah membuat keputusan berundur dan melarikan diri ke Kampung Ulu Cheka setelah sebahagian mayat penduduk kampung selesai dikebumikan.
Daripada peristiwa berdarah di Kampung Budu itu, telah berlaku pula pertempuran demi pertempuran yang membawa kepada penguasaan Inggeris di Hulu Pahang sehingga akhirnya Pahang jatuh ke tangan penjajah.
Akibat diburu oleh Pihak British, Tok Gajah, Datuk Bahaman, Mat Kilau dan sebahagian besar pengikutnya terpaksa berpindah-randah. Walaupun ada kalanya mereka mendapat sokongan dari pihak tertentu umpamanya di Kelantan dan Terengganu namun ia tidak mampu menghalang kerakusan British untuk menjajah Pahang.
Selama berpuluh tahun, kawasan-kawasan pengkebumian mangsa tragedi hitam itu disifatkan sebagai kawasan ‘keras’ oleh masyarakat tempatan selain dipenuhi batu-batu nisan yang tidak diketahui warisnya. Hanya batu nisan itu yang menjadi ingatan dan tanda tentang peristiwa berdarah itu....
Post a Comment