
Surah At-Taubah, surah ke-9 dalam Al-Quran, satu-satunya surah yang tidak dimulakan dengan basmalah. Para ulama menyebut, kerana ia turun dengan nada tegas, menyingkap kemunafikan, memberi amaran keras, dan menyeru orang beriman untuk segera kembali kepada Allah.
Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa apabila dikatakan kepada kamu, ‘Berangkatlah (berjuang) pada jalan Allah,’ kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Adakah kamu redha dengan kehidupan dunia sebagai ganti akhirat?” (At-Taubah: 38).
Ayat ini menyedarkan kita – dunia hanya sementara, tetapi berapa ramai yang lebih memilih keselesaan daripada pengorbanan? Penyakit cinta dunia dan takut mati inilah yang membuat hati semakin lalai.
Surah ini juga membongkar sifat orang munafiq. Mereka yang banyak alasan, suka melemahkan orang beriman, dan menghina orang yang bersedekah. Allah berfirman: “Orang-orang munafiq itu mencela orang-orang beriman yang memberi sedekah secara sukarela… Allah akan membalas ejekan mereka, dan bagi mereka azab yang pedih.”
(At-Taubah: 79).
Namun, di sebalik ancaman, At-Taubah juga membuka pintu harapan. Kisah tiga sahabat yang tidak ikut serta dalam Perang Tabuk membuktikan bahawa taubat yang ikhlas diterima Allah. Firman-Nya: “Kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap bertaubat. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang.”
(At-Taubah: 118).
Pengajaran besar di sini ialah: sebesar mana pun dosa, jangan putus asa. Allah sentiasa membuka ruang pulang selagi nyawa belum sampai ke halkum.
Surah At-Taubah menegaskan bahawa iman bukan sekadar kata-kata, tetapi bukti pada pengorbanan. Munafik bukan sekadar label, tetapi sifat yang boleh hinggap pada sesiapa jika hati lebih mencintai dunia daripada akhirat.
Maka jangan tangguh. Jangan tunggu esok. Taubatlah hari ini. Kerana dunia terlalu singkat untuk ditangguhkan, dan akhirat terlalu kekal untuk dipersiakan.
Post a Comment