
Ramai orang mengaku hidup mereka tidak lengkap tanpa kopi. Ada yang mesti minum pagi-pagi untuk buka mata, ada yang minum selepas makan tengah hari untuk elak rasa mengantuk dan ada juga yang menjadikan kopi sebagai teman setia kerja malam.
Ada satu kesan yang sering kita dengar iaitu rasa berdebar selepas minum. Jantung berdegup laju, tangan mula berpeluh, malah ada yang rasa cemas tanpa sebab. Persoalannya, mengapa kopi memberi kesan begitu kuat kepada tubuh kita.
Jawapannya terletak pada kafein, bahan aktif yang menjadikan kopi minuman paling popular di dunia. Kafein bekerja dengan menyekat reseptor adenosin, sejenis bahan kimia yang membuat otak rasa mengantuk.
Apabila adenosin disekat, otak menjadi lebih aktif, fikiran terasa lebih tajam dan mata lebih segar. Inilah sebabnya kopi sering digelar “ubat segar segera” yang paling mudah diakses.
Kesan itu tidak terhenti di otak sahaja. Kafein juga merangsang pengeluaran hormon adrenalin, hormon yang sama muncul apabila tubuh berada dalam mod cemas atau bersedia menghadapi bahaya.
Sebab itu selepas minum kopi, degupan jantung jadi lebih laju, tekanan darah naik sedikit dan rasa debar mula terasa. Bagi mereka yang sensitif, debarannya boleh terasa sangat kuat, seolah-olah tubuh sedang bersiap untuk berlari pecut.
Kafein bertindak secara langsung pada jantung. Ia menjadikan degupan lebih cepat dan kuat, lalu memberi rasa seolah-olah jantung bekerja lebih keras. Ada orang mampu menahannya, ada pula yang baru minum setengah cawan sudah terasa kepala berdenyut.
Perbezaan ini bergantung pada kadar metabolisma tubuh, faktor genetik, malah tabiat pemakanan harian. Sebab itu ada orang boleh tidur lena walaupun minum kopi pukul 10 malam, manakala ada pula yang minum petang pun masih terkebil-kebil sampai ke subuh.
Kalau saya sendiri, kalau kopi o mamak yang biasa, debarannya masih terkawal. Tetapi kalau order kopi latte di café hipster dengan nama yang panjang sampai tergeliat lidah nak sebut, masa itulah dada paling laju bergetar.
Mungkin bukan kerana kafein semata-mata tetapi kerana lihat harga dalam resit pun sudah cukup membuatkan jantung bekerja lebih keras daripada biasa. Mahal ooo secawan kopi tu.
Kopi punya sejarah panjang yang penuh kisah menarik. Legenda paling terkenal datang dari Ethiopia pada abad ke-9, tentang seorang pengembala kambing bernama Kaldi yang melihat kambingnya jadi aktif selepas makan buah merah dari pokok kopi.
Kisah ini kekal sebagai mitos asal-usul kopi, walaupun rekod sejarah menunjukkan kopi mula diminum secara meluas di Yaman pada abad ke-15.
Di dunia Arab, kopi berkembang sebagai minuman ilmuwan, pedagang dan ahli ibadah. Ia sering diminum untuk berjaga malam ketika mengaji atau menuntut ilmu. Dari Yaman, kopi tersebar ke Mekah dan Kaherah, kemudian sampai ke Turki Uthmaniyyah.
Tidak lama kemudian, kopi menjadi budaya sosial. Rumah kopi atau qahveh khaneh muncul di bandar-bandar besar, menjadi tempat orang berdebat, bertukar pandangan dan berbincang tentang politik.
Eropah mula mengenali kopi sekitar abad ke-16. Pada awalnya ia ditolak kerana dianggap minuman asing yang mencurigakan. Malah ada gereja yang mahu melarangnya.
Namun apabila Paus Clement VIII sendiri mencubanya dan menyukai rasanya, larangan itu diketepikan dan kopi pun terus berkembang di seluruh Eropah. Dari situ lahirlah kafe-kafe di London, Paris dan Vienna yang menjadi pusat diskusi ilmu dan politik.
Di Malaysia, kopi sudah lama sebati dalam budaya tempatan. Kedai kopi menjadi tempat berkumpul masyarakat sejak berabad lamanya. Dia punya perbincangan di kedai kopi, kalah dewan parlimen.
Kopi kampung pula, yang dibakar bersama gula dan marjerin, memberi rasa unik yang masih digemari hingga hari ini. Minuman ini bukan sekadar penawar mengantuk tetapi juga pengikat silaturahim.
Sebenarnya, rasa berdebar itu ada manfaat dalam dos sederhana. Ia meningkatkan fokus, membantu daya tahan ketika bersukan dan memperbaiki mood. Tetapi jika berlebihan, ia boleh mencetuskan kegelisahan, insomnia, malah masalah jantung bagi mereka yang berisiko.
Kajian sains juga menunjukkan kafein boleh meningkatkan kapasiti pembakaran lemak ketika bersenam. Sebab itu ramai atlet mengambil kopi sebelum latihan kerana ia membantu memberi tenaga tambahan. Dalam masa yang sama, ia menggalakkan pelepasan dopamin, hormon keseronokan yang membuatkan seseorang rasa lebih bermotivasi.
Walaupun begitu, ada juga kesan jangka panjang jika pengambilan kopi tidak terkawal. Tubuh boleh membina toleransi terhadap kafein, menjadikan seseorang memerlukan lebih banyak cawan untuk capai kesan yang sama. Ini boleh menyebabkan ketagihan ringan yang membuatkan orang berasa sakit kepala atau letih apabila tidak minum kopi.
Bagi yang mahu kurangkan kesan debar, ada beberapa cara mudah. Kurangkan kuantiti, pilih kopi rendah kafein atau cuba alternatif seperti teh hijau. Elakkan juga minum kopi dengan perut kosong kerana ia boleh gandakan rasa cemas.
MasyaAllah, lihatlah bagaimana sebiji biji kopi kecil mampu mempengaruhi minda, tubuh dan sejarah dunia. Minuman ini membawa tenaga, mencetuskan idea dan menjadi saksi peradaban dari Timur Tengah hingga ke meja kita hari ini. Semoga setiap hirupan mengingatkan kita kepada nikmat ilmu dan kesederhanaan dalam hidup.
Paling penting, kenal tubuh sendiri, jangan paksa hanya kerana orang lain boleh minum tiga cawan sehari. Siapa kat sini yang memang wajib dapatkan kopi setiap hari?
Post a Comment