Nama-Nama Peninggalan Penjajah: Perlukah Kita Kekalkan Atau Tukar Semula?


Nama sesuatu tempat bukan sekadar huruf yang disusun. Nama ialah simbol kuasa, tanda siapa yang pernah menguasai, serta bukti bagaimana identiti ditentukan oleh sejarah. Penjajah sering menamakan semula kawasan jajahan untuk meninggalkan tanda bahawa mereka pernah menjadi tuan di bumi tersebut.

Port Dickson ialah contoh jelas bagaimana nama asing dilekatkan pada sebuah kawasan Melayu. Nama Dickson dikaitkan dengan pegawai kolonial British yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu. Nama itu kemudian menjadi sebutan rasmi, menenggelamkan nama tempatan yang lebih asli dan mencerminkan jiwa masyarakat setempat.

Apabila timbul cadangan menukar nama Port Dickson kepada Pantai Dermaga, perdebatan hangat segera meletus. Ada yang menyokong atas dasar memulihkan identiti dan jati diri. Ada pula yang menolak dengan alasan praktikal, terutamanya dari segi ekonomi dan pelancongan.

Bagi yang menyokong, hujahnya jelas. Nama peninggalan penjajah ialah simbol luka sejarah, lambang bagaimana bangsa ini pernah dijajah. Menukar nama bermakna kita membersihkan identiti daripada bayang kolonial yang masih melekat hingga hari ini.
Bagi yang menentang, mereka melihat aspek nilai komersial. Nama Port Dickson sudah terkenal sebagai destinasi pelancongan. Mereka bimbang penukaran nama akan mengganggu jenama sedia ada yang sudah diiktiraf di dalam dan luar negara.

Dalam sejarah penjajahan, penamaan semula ialah strategi dominasi. Inggeris, Portugis, Belanda dan Sepanyol melakukan perkara sama di serata dunia. Nama kota, pelabuhan dan sungai diubah agar generasi seterusnya terbiasa dengan identiti baharu yang dicipta oleh kuasa asing.

Ambil contoh Melaka. Selepas 1511, Portugis menukar banyak kawasan kecil dengan nama asing untuk memudahkan pentadbiran mereka. Belanda kemudian mengekalkan beberapa nama itu agar kuasa mereka terpahat lebih lama. Tradisi menukar nama ini sebahagian daripada penjajahan.

Kita juga melihat kesan yang sama di Afrika dan Asia Selatan. Kota Bombay di India misalnya pernah lama menggunakan nama kolonial sebelum akhirnya ditukar kembali kepada Mumbai. Calcutta pula kembali menjadi Kolkata, satu usaha untuk mengangkat kembali nama yang berasal dari bahasa dan budaya setempat.

Soalnya, mengapa negara lain berani mengambil langkah memulihkan nama lama mereka sedangkan di sini kita masih ragu-ragu. Adakah kerana terlalu selesa dengan warisan penjajahan yang dianggap biasa. Atau kerana kita takut kehilangan nilai komersial yang sudah lama terikat dengan nama asing.

Sebenarnya, sejarah membuktikan nama yang kembali kepada identiti asal tidak mematikan ekonomi. Mumbai tetap berkembang walaupun nama kolonialnya digantikan. Kolkata masih menjadi pusat perdagangan dan pendidikan India walaupun nama asalnya diangkat semula. Malah, langkah itu menambahkan rasa bangga dalam kalangan penduduk tempatan.

Bagi bangsa Melayu, jati diri ialah perkara penting. Kita sering melaungkan kebanggaan pada sejarah silam, pahlawan dan tamadun maritim. Namun apabila berdepan isu nama peninggalan penjajah, kita tiba-tiba menjadi defensif dan lebih selesa mengekalkan warisan asing.

Ada yang berhujah bahawa mengekalkan nama itu sebahagian daripada sejarah. Benar, sejarah tidak boleh dipadam. Tetapi sejarah boleh diceritakan tanpa perlu menjulang simbol kuasa asing. Sejarah Melaka tetap wujud tanpa kita perlu mengekalkan nama A Famosa sebagai lambang penjajahan Portugis! 

Apabila kita terus kekalkan nama asing, mesej yang terhantar kepada generasi muda ialah nama penjajah itu sebahagian daripada identiti kita. Lama-kelamaan, perbezaan antara warisan tempatan dan warisan kolonial menjadi kabur. Di sinilah timbul persoalan jati diri.
Sebahagian masyarakat mungkin melihat isu nama sebagai perkara kecil. Namun dalam dunia simbol dan makna, nama mempunyai kuasa besar. Nama ialah penanda siapa yang berhak, siapa yang pernah berkuasa, dan siapa yang sedang menentukan naratif bangsa.
Dari sudut Islam, menjaga maruah bangsa selari dengan prinsip menjaga kehormatan umat. Rasulullah SAW sendiri menukar nama individu yang membawa makna tidak baik kepada nama yang lebih mulia. Perubahan nama ialah usaha untuk membersihkan identiti dan menegakkan kehormatan.

Begitu juga dengan bangsa kita. Apabila kita menukar nama yang diwariskan oleh penjajah, kita sedang menegaskan bahawa maruah lebih tinggi daripada sekadar keselesaan ekonomi. Kita sedang menunjukkan bahawa darah dan nyawa nenek moyang yang bergolak menentang penjajah tidak berakhir sia-sia. Please, wake up! 
Sebaliknya, jika kita terus mempertahankan nama asing, kita seolah-olah menolak pengorbanan generasi terdahulu. Mereka berjuang agar bangsa ini kekal merdeka, tetapi kita pula memilih untuk terus membawa tanda bahawa penjajah pernah menundukkan kita. Itu bertentangan dengan semangat kemerdekaan.

Ada yang khuatir kos menukar nama terlalu besar. Realitinya, kos sebenar ialah kehilangan jati diri jika kita terus berdiam diri. Wang boleh dicari semula, tetapi maruah yang tercalar sukar dipulihkan jika generasi akan datang tidak lagi melihat beza antara warisan sendiri dan peninggalan asing.

Perlu difahami juga bahawa penukaran nama tidak bermakna kita menghapus sejarah. Sejarah tetap dicatat dalam buku, dalam arkib dan dalam ingatan kolektif bangsa. Penukaran nama hanyalah menegaskan identiti semasa bahawa kita tidak lagi tunduk kepada penjajahan.

Malah, penukaran nama boleh menjadi alat pendidikan. Kita boleh menceritakan kepada anak-anak bahawa Port Dickson pernah wujud sebagai nama kolonial, tetapi kini sudah dikembalikan kepada nama tempatan. Dari situ mereka belajar bahawa identiti boleh dipulihkan dengan keberanian.

Isu nama ini akhirnya kembali kepada soal prinsip. Adakah kita mahu dikenali melalui nama asing yang dipaksa ke atas kita atau melalui nama tempatan yang lahir daripada budaya dan jiwa sendiri. Jawapan kepada soalan ini menentukan arah jati diri bangsa pada masa depan.

Dalam dunia hari ini, negara yang kuat ialah negara yang yakin dengan identitinya. Jepun, Turki, dan India antara contoh bagaimana bahasa, budaya dan nama menjadi sebahagian daripada kekuatan nasional. Bangsa Melayu juga tidak kurang hebatnya jika kita berani menegaskan perkara yang sama.

Kesimpulannya, perdebatan menukar nama Port Dickson kepada Pantai Dermaga bukan sekadar isu kecil. Ia menyentuh soal maruah, sejarah dan jati diri bangsa. Keputusan yang diambil akan menggambarkan sama ada kita benar-benar merdeka atau masih terikat dengan warisan kolonial!

Bangkitlah wahai bangsa ku. Ini takde kaitan dengan politik. Hentikan lah meratib dan menaip bab politik 24 jam, 7 hari seminggu, 30 hari sebulan, 365 hari setahun!

MasyaAllah, maruah bangsa ialah anugerah yang tidak ternilai. Nenek moyang telah menumpahkan darah untuk mempertahankannya. Tanggungjawab kita hari ini ialah memastikan maruah itu terus hidup dalam nama, dalam bahasa dan dalam identiti kita sendiri.
 

0/komen