Jangan Kufur Nikmat


Surah An-Nahl, surah ke-16 dalam Al-Quran, sering disebut sebagai Surah An-Ni‘am (Surah Nikmat) kerana hampir keseluruhannya membentangkan nikmat Allah yang meliputi manusia dari segala sisi. Dari udara yang kita sedut, hujan yang turun, binatang ternakan, buah-buahan, hingga kepada akal dan hati — semuanya adalah pemberian Allah. Namun, Allah juga memberi peringatan keras: kufur nikmat akan membawa azab yang pedih.

Allah berfirman:

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” 

(Surah An-Nahl: 18).

Ayat ini bukan sekadar metafora. Ia adalah hakikat bahawa setiap detik hidup kita dibalut nikmat — nikmat tubuh, nikmat rezeki, nikmat iman. Tetapi manusia sering lupa, lalu menyandarkan segalanya pada usaha semata, seakan-akan nikmat itu lahir daripada dirinya sendiri.

Surah ini juga mengingatkan tentang umat terdahulu yang kufur nikmat. Mereka diberi keamanan, hasil bumi melimpah, tetapi sombong dan ingkar. Akhirnya, Allah gantikan nikmat itu dengan kelaparan dan ketakutan. (rujuk Surah An-Nahl: 112). Inilah peringatan: nikmat boleh bertukar jadi azab bila manusia enggan bersyukur.

Syukur itu bukan hanya lafaz Alhamdulillah. Syukur ialah guna nikmat pada jalan Allah. Rezeki yang halal dibelanjakan dengan jujur. Akal digunakan untuk ilmu yang bermanfaat. Tenaga disalurkan pada ibadah dan kerja yang berkat. Itulah tanda syukur sebenar.

Surah An-Nahl juga mengingatkan bahawa syukur membawa lebih banyak kurnia. Allah berjanji dalam surah lain: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Aku akan menambah nikmat kepadamu.” (Ibrahim: 7). Inilah rahsia orang yang hidup tenang walaupun sederhana: mereka tahu syukur adalah magnet nikmat.

Tetapi kufur nikmat melahirkan hati yang sempit. Harta melimpah tetapi hati gelisah. Rumah besar tetapi keluarga porak-peranda. Gaji besar tetapi rezeki bocor. Itulah azab dunia sebelum azab akhirat.

Ibrahnya jelas: Surah An-Nahl menyeru kita menghitung nikmat, menggunakannya di jalan yang benar, dan menjauhi kufur yang membawa binasa. Dunia ini hanya persinggahan. Nikmat ialah amanah, bukan milik mutlak.

Maka, mulakan hari dengan syukur, sudahi malam dengan istighfar. Nikmat yang digunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah akan menjadi cahaya di dunia dan bekalan di akhirat.
 

0/komen