Fon Telinga Nirwayar Huawei FreeLace Dan FreeBuds Lite



Huawei mula menghasilkan peranti tanpa bicu audio. Maka adalah penting  untuk mereka menghasilkan aksesori audio nirwayar bagi menyokong peranti yang dihasilkan. Maka dua aksesori baharu Huawei FreeLace dan FreeBuds Lite telah dilancarkan.

Huawei FreeLace ialah fon telinga nirwayar dengan tali yang boleh diletakkan di belakang leher. Ia mempunyai rekaan fon dalam-telinga dengan alat kawalan terbina pada bahagian tali. Dengan sekali caj ia mampu beroperasi sehingga 18 jam. Unik sekali untuk mengecas semula, salah satu fon telinga dicabut untuk mendedahkan port USB-C yang kemudiannya disambungkan pada bahagian bawah P30. Menurut Huawei pengecasan selama 5 minit boleh membolehkannya beroperasi selama 4 jam.



Bateri yang disertakan sebesar 120 mAh dan FreeLace turut mempunyai kemampuan kalis air IP5X. Satu fungsi unik fon telinga ini ialah muzik akan terhenti apabila dua fon telinga dicantum secara magnetik. Apabila ditanggalkan muzik akan bersambung semula dari tempat ia dijedakan. Format bluetooth 5.0 yang terkini disokong. Huawei FreeLace hadir dalam pilihan warna Graphite Black, Amber Sunrise, Emerald Green dan Moonlight Silver. Harga jualan sepasang adalah 99 Euro (~RM 456).



Seterusnya ialah Huawei FreeBuds Lite yang merupakan kesinambungan kepada FreeBuds 2 Pro yang dilancarkan sebelum ini. Maklumat lengkap perbezaan di antara dua versi ini belum dikongsi oleh Huawei. Setakat ini mereka hanya mengatakan FreeBuds Lite boleh berfungsi sehingga 12 jam dengan pod pengecas dan mempunyai kemampuan kalis air serta debu IPX4. Ini adalah peningkatan dari hanya 10 jam pada FreeBuds asal. Huawei FreeBuds Lite akan dijual pada harga 119 Euro (~RM 549) sepasang dalam pilihan warna hitam dan putih.

0/komen