Tiga tahun yang lalu ginjal dan jantung khinzir berjaya dipindahkan ke dalam babun. Kajian penggunaan organ khinzir sebagai ganti organ manusia ini dijalankan oleh Dr Muhammad Mohiuddin di National Heart, Lung, and Blood Institute. Tahun lalu Dr Mohiuddin mensasarkan pemindahan organ khinzir ke tubuh manusia pada tahun 2019. Reaksi dari umat islam agak negatif kerana ia dilihat bertentangan dengan syariat agama.
Oleh itu kajian yang dilakukan oleh Joan Nichols di University of Texas Medical Branch mungkin adalah alternatif yang dinantikan. Paru-paru yang dibuat di makmal berjaya menjalani proses pemindahan ke dalam tubuh khinzir. Empat khinzir makmal yang menjalani ujian menunjukkan reaksi positif ke atas paru-paru yang dipindahkan. Dengan kejayaan ini, organ manusia yang dibuat di makmal mungkin boleh menjadi ganti kepada organ yang rosak di masa hadapan.
Apakah itu organ buatan makmal? Di dalam ujian yang dilakukan satu paru-paru dibuang dari seekor khinzir. Sel tunjang dari paru-paru kemudian digunakan untuk membina paru-paru baru di dalam reaktorbio selama 30 hari. Selepas tempoh tersebut paru-paru buatan makmal ini sedia untuk dipindahkan ke dalam tubuh khinzir asal. Paru-paru yang dipindahkan ini kemudian meneruskan proses tumbesaran seperti normal di dalam tubuh penerima.
Kejayaan ini tidak bermakna ia sedia untuk dilakukan pada manusia. Kajian selama 15 tahun diperlukan untuk tiba ke tahap ujian organ khinzir ini. Lebih banyak ujian perlu dilakukan untuk melihat ketahanan organ yang dipindahkan serta penolakannya oleh tubuh penerima organ.
Catat Ulasan