Berselfie Sampai Kulit Kepala Terkoyak



GARA-GARA berselfie berdekatan dengan roda buaian yang sedang berputar, seorang remaja cedera selepas rambutnya tersangkut pada alat permainan itu.

Insiden ngeri itu berlaku di luar sebuah kolej di Baraut, iaitu pekan kecil yang terletak 40 kilometer dari utara New Delhi, India.

Remaja perempuan berusia dalam lingkungan 16 tahun itu dikatakan cuba mengambil gambar selfie di sebelah roda buaian (ferris wheel) yang sedang berputar.

Remaja berkenaan dikatakan terlalu dekat dengan roda buaian itu kerana dipercayai mahu mendapatkan gambar yang menarik dan cantik.

Malangnya, rambut remaja yang panjang dan tidak diikat itu tersangkut pada roda buaian hingga menyebabkan kulit kepalanya terkoyak apabila buaian itu terus bergerak.

Lebih menyedihkan apabila tiada gambar yang dapat dirakamkan oleh remaja itu kerana terpaksa menahan sakit akibat kejadian itu.

Sebaliknya kejadian berkenaan kebetulan berjaya dirakamkan orang ramai yang mengunjungi taman permainan itu.

Mereka yang berada di tempat kejadian dilihat cuba membantunya.

Remaja berkenaan dilaporkan semakin pulih dan sedang dirawat di sebuah hospital.




0/komen