Peralatan Telekomunikasi Huawei Dan ZTE Diharamkan Di Jepun



Kelmarin  ketua pegawai kewangan Huawei telah ditahan di Kanada bagi membolehkan beliau disabitkan kesalahan mengenai penjualan teknologi komunikasi ke Iran. Ini adalah kesalahan yang melanggar sekatan yang dikenakan PBB ke atas negara tersebut. Kini  Jepun dilaporkan akan mengharamkan pembelian peralatan telekomunikasi dari Huawei dan ZTE dari digunakan di negara tersebut.

Pengharaman adalah kerana kerisauan peralatan digunakan untuk serangan siber dan intipan oleh kerajaan China. Sebelum ini syarikat telekomunikasi BT di United Kingdom telah mengumumkan akan menghentikan penggunaan sebahagian peralatan 4G serta 3G buatan Huawei atas alasan yang sama. Penghentian akan dilakukan pada kawasan-kawasan utama sahaja. Tidak diketahui apakah yang dimaksudkan dengan kawasan utama buat masa ini.

Terdahulu Amerika Syarikat ialah negara terawal yang mengharamkan penggunaan peralatan Huawei setelah dinasihatkan oleh CIA, FBI dan NSA. Sekutu rapat mereka Australia dan New Zealand kemudian menghalang Huawei dari melakukan bidaan kontrak memasang peralatan teknologi 5G.

0/komen