Jalan masuk ke kampung kecil iaitu kampung asal nenek saya masih tanah merah, hanya sebatu dari pekan kecil di luar saja diturap minyak tar. Apabila masuk ke dalam sedikit, di situlah dikenali oleh orang-orang kampung sebagai Bukit Merah.
Sebenarnya Bukit Merah itu bukanlah bukit betul cuma jalannya saja mendaki tinggi sedikit. Disebabkan jalan itu masih tanah merah maka semua orang-orang di kampung itu mengelarkannya Bukit Merah. Orang orang kampung terpaksa keluar ke jalan besar untuk menunggu bas, atau mahu ke bandar dengan berjalan kaki atau menunggang basikal sejauh lebih tiga batu.
Bas pula hingga 6.00 petang saja melintasi di situ. Oleh itu kebanyakan penduduk-penduduk kampung yang dianggarkan 50 kelamin saja itu akan menunggang basikal saja sampai ke simpang di jalan besar. Kemudian mereka tumpangkan basikal di rumah Kandayah seorang India pekerja estate, dan menunggu bas di situ.
Sementara pekan kecil yang berhampiran dari rumah Kandayah itu sejauh 2 batu. Kadangkala kalau mereka mahu balik malam sedikit, mereka akan terus menunggang basikal ke pekan kecil sejauh 2 batu itu. Sebelah malam memang tidak ada bas lagi, malah teksi sapu pun tidak mahu lagi mengambil penumpang kalau sudah lebih dari jam enam petang.
Disebabkan sudah lama tidak balik ke kampung asal nenek saya, maka saya telah mengikut sepupu saya ke sana. Ingin juga saya hendak bertemu dengan Pak Andak Deraoh, kerana lama saya tidak bertemu muka dengannya. Maklum saja bila sudah duduk berjauhan memang jarang dapat berjumpa muka.
Di sekitar kawasan Bukit Merah itulah mengikut kata Jani, dua pupu saya itu, selalu orang bertemu dengan lembaga tidak berkepala. Kononnya disitulah askar-askar Jepun memancung leher mangsanya dengan menyuruh mangsanya itu menggali lubang terlebih dahulu. Selepas dipancung mangsanya itu ditolak ke dalam lubang tersebut. Orang-orang kampung percaya mungkin lembaga yang kelihatan itu adalah jelmaan dari mangsa-mangsa pembunuhan askar Jepun.
“Adakah lembaga-lembaga itu menganggu ?” saya bertanya kepada Jani semasa melalui jalan Bukit Merah itu.
“Ada juga” jelas Jani antara percaya dengan tidak.
“Kadangkala dia menumpang naik basikal” ujarnya kelihatan gelisah sedikit walaupun sebenarnya kami berada di dalam kereta. Jani yang memandu kereta tersebut.
“Kau pernah kena ganggu?” soal saya mahu menduganya.
“Aku tak pernah pula bertemu lembaga itu” dia memberitahu.
“Maukah kau jumpa?” saya tersenyum mengusiknya.
“Buat apa” Jani tersengih-sengih mengerling ke arah saya. Isterinya yan duduk di belakang ketawa kecil mendengar jawapan Jani.
Sehinggalah kami melepasi Bukit Merah itu tidak ada pula bersua dengan lembaga tidak berkepala itu. Saya pun sma seperti Jani tidak mahu bertemu makhluk-makhluk macam ini, tetapi saya tidak akan berundur kalau sudah terserempak.
Kira-kira jam 9.30 malam kami sampai ke rumah Pak Andak Deraoh. Dia pun terperanjat melihat saya, kerana selama ini cuma dua kali dia bertemu saya. Itu pun ketika saya masih kecil. Ketika Jani melangsungkan perkahwinan saya tidak dapat hadhir, kerana kebetulan saya pergi Mekah menunaikan umrah. Sebab itulah saya bersetuju mengikut Jani balik, bukan sebabkan tidak datang semasa Jani berkahwin, tetapi kerana mahu berjumpa dengan Pak Andak Deraoh.
Sebenarnya, pak Andak Deraoh ini Cuma sepupu emak saya, iaitu emak Pak Andak Deraoh itu adik nenek saya. Disebabkan duduk berjauhan maka persaudaraan juga terasa macam berjauhan kerana jarang berjumpa. Bagaimanapun saya selalu mengirim surat kepada Pak Andak Deraoh. Malah setiap menjelang hari raya saya tetap mengirimkan kad hari raya. Cuma untuk datang menziarahinya memanglah sukar, kerana saya disamping balik ke kampung sendiri terpaksa pula seminggu kemudiannya ke kampung isteri saya pula di Perak.
Masaalah kesuntukan masa juga menjadi sebab utama mengapa saya tidak dapat menziarahi Pak Andak Deraoh saya ini.
“Pak Andak ini selalu uzur.....” beritahu Pak Andak Deraoh sebaik saja bertemu muka.“Jengok-jengoklah Pak Andak ni selalu, orang tua macam daun nyiur tua, bila bila boleh luruh ke tanah” katanya tersenyum.
Saya hanya menganggukkan kepala saja.
“Mengapa tak bawa isteri kau sekali?” Mak Andak Nah pula bertanya.
“Insya Allah lain kali datang lagi” saya menjelaskan.
Sebenarnya bukanlah saya tidak mahu membawa isteri dan anak-anak menziarah sanak saudara. Tetapi saya tidak mempunyai kenderaan sendiri tentulah sukar mahu berjalan jauh seperti di Pahang ini dari Kuala Lumpur. Sebab itu lebih baik saya seorang diri saja menziarahi terlebih dahulu. Lain kali apabila sudah tahu tempat yang hendak di tuju, boleh saya membawa anak isteri bersama.
Kedatangan saya menziarahi Pak Andak Deraoh juga adalah disebabkan cerita Jani mengenai Bukit Merah itu. Saya tidaklah tertarik dengan kisah orang-orang kampung bertemu lembaga tidak berkepala di Bukit Merah, tetapi mahu mendengar cerita Pak Andak Deraoh tentang sanak saudara saya di Pahang.
“Ulung Bahar duduk di Lancang...” dia menerangkan sambil mengerling ke arah saya.
“Pak Andak dengar selalu kau ke sana, maklumlah Ulung Bahar tu banyak tahunya. Lainlah macam Pak Andak ni, orang tua tak berguna” katanya macam menyindir saya.
Saya hanya tersengih-sengih saja mendengar sindirin tersebut. Memang saya sedar, sudah beberapa kali saya menemui Ulung Bahar di Lancang tetapi tidak pernah datang menemui Pak Andak Deraoh.
Bagaimanapun Pak Andak Deraoh tidaklah kurang hebat mengenai cerita dirinya dari Ulung Bahar. Saya tidak datang menemui dia bukanlah disebabkan kelebihan yang ada pada Ulung Bahar, sebaliknya setelah bertemu dengan Jani inilah baru terkenang saya pada Pak Andak Deraoh. Sebelumnya saya tidak tahu dimana dia tinggal, kerana dia pernah tinggal di Kelantan semasa bekerja di sana. Mak Andak Nah itu, ialah isterinya yang keempat.
Esoknya barulah saya berkesempatan mendengar cerita mengenai lembaga tidak berkepala di Bukit Merah itu. Kisahnya samalah seperti yang diceritakan oleh Jani kepada saya iaitu disitulah askar Jepun memancung leher mangsanya.
Pak Andak Deraoh sendiri mengalami kejadian bertemu dengan lembaga tersebut. Kisahnya bermula ketika dia balik dari pekan kecil kira-kira jam 10.30 malam melintasi jalan di Bukit Merah itu. Disebabkan jalan di situ mendaki Pak Andak Deraoh terpaksalah turun menolak basikalnya.
Malam itu bulan samar-samar dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Pak Andak Deraoh tidak merasa takut melintasi jalan tersebut kerana dia memang sudah biasa balik malam dari pekan kecil di luar. Pada mulanya dia menunggu kalau ada kawan-kawan yang mahu balik sama, tetapi sehingga jam 10.00 malam tidak ada orang dari kampung yang ternampak di pekan kecil itu, mahu tak mahu terpaksalah Pak Andak Deraoh balik bersendirian.
Jalan masuk ke kampung dari jalan besar memang gelap kerana pohon-pohon getah di kiri kanan jalan melindungi cahaya bulan yang samar-samar. Keadaan sekitarnya mulai sunyi sepi kerana tidak ada kenderaan yang lain masuk ke kampung tersebut. Hanya kedengaran bunyi cengkerik mengiang-ngiang yang meremangkan bulu roma.
Tetapi Pak Andak Deraoh tidak merasa bimbang apa-apa. Dia sendiri tidak hiraukan sangat tentang cerita orang-orang kampung yang pernah bertemu lembaga tidak berkepala di Bukit Merah. Sehinggalah dia turun menyorong basikalnya Pak Andak Deraoh tidak teringat langsung mengenai lembaga berkenaan.
“Tiba-tiba Pak Andak rasa basikal Pak Andak macam ditolak orang dari belakang” ujarnya sambil mengingat-ngingat semula peristiwa yang menimpanya pada malam tersebut.
Mula-mulanya dia tidak hiraukan sangat, tetapi apabila sampai di pertengahan bukit Pan Andak Deaoh menoleh ke belakang. Hatinya sekaligus berdebar melihat satu lembaga hitam tidak berkepala menolak basikalnya. Dia cuba melawan ketakutan yang mula menganggu fikirannya. Mujurlah Pak Andak Deraoh tidak cepat panik menghadapi keadaan demikian.
“Terima kasihlah datuk kerana menolong anak cucu.....” dia memberanikan diri menegur lembaga tidak berkepala itu.
Lembaga itu tidak menyahut. Dia terus menolak basikal Pak Andak Deraoh dari belakang. Serba salah juga Pak Andak Deraoh mahu bertindak. Kalau dia cepat-cepat berjalan meninggalkan lembaga itu boleh jadi juga lembaga berkenaan akan memintas di sebelah depan.
Pak Andak Deraoh sudah mendengar sebelumnya bagaimana Leman Dibab dipintas oleh lembaga berkenaan. Disebabkan Leman Dibab terkejut basikalnya ditolak dari belakang, dia telah menyorong basikalnya dengan berlari kuat-kuat. Tiba-tiba lembaga berkenaan tercegat didepannya menahan basikal Leman Dibab menyebabkan dia terhumban ke tepi parit jalan.
Nasib baik tidak lama lepas kejadian tersebut Jaamat dan Mat Noh lalu di situ. Mereka terserempak dengan Leman Dibab terbaring di tepi jalan tidak sedarkan diri. Mereka berdualah mengusung Leman Dibab balik. Tiga hari Leman Dibab tidak sedarkan diri.
Isteri Leman Dibab memanggil Tok Andak Deraoh menubati suaminya. Memang Pak Andak Deraoh sudah mengetahui bahawa Leman Dibab diganggu oleh makhluk halus di Bukit Merah. Makhluk halus ini pula adalah berpunca dari kejadian membunuh orang-orang yang disyaki menentang Jepun berberapa tahun dulu.
Setelah sembuh dari tidak sedarkan diri barulah Leman Dibab menceritakan apa yang dilihatnya di Bukit Merah. Dia melihat dengan mata kepalanya sendiri lembaga tidak berkepala itu memintas jalannya. Lembaga itu tidaklah mengganggunya, Cuma dia merintih minta tolong.
“Haiya, gua manyak sejuk, tlong sama gua.....” rintih lembaga itu . Suaranya bergaung jauh tetapi jelas dapat didengar oleh Leman Dibab.
Leman Dibab cuba melepaskan penumbuk. Setiap kali penumbuk dihalakannya ke arah dada lembaga tersebut, setiap kali juga penumbuknya debus menyinggah angin. Akhirnya dia merasakan pipinya ditampar kuat.
“Cilaka lu, gua mali minta tolong, tapi lu mau hantam sama gua!” herdik lembaga itu keras.
Selepas itu sekali lagi Leman Dibab menerima tamparan keras sehingga dia terhumban ke tepi parit jalan. Dia tidak dpat lagi bangun menentang lembaga yang tidak berkepala itu. Tidak lama kemudian dia mendapati dirinya berada di tengah-tengah kumpulan manusia yang tidak berkepala.
Mereka semua mengelilingi Leman Dibab merayu-rayu minta tolong. Ini menyebabkan Leman Dibab bertambah takut kerana dia tidak tahu apa harus dibuat. Mahu juga dia melarikan diri dari kepungan lembaga-lembaga tidak berkepala itu, tetapi dia mendapati dirinya terkurung dalam jurang yang dalam.
“Gua punya leher manyak sakit looo” rintih salah satu lembaga menghampiri Leman Dibab.
“Tolong sama gua, tolong kasi lepas sama gua,” Leman Dibab meminta belas kasihan supaya dia dibebaskan.
“Apa macam gua mahu tolong sama lu, gua punya kepala pun tatak,” herdik satu lembaga bertubuh besar memegang bahu Leman Dibab. “Lu patut mesti tolong sama gua,” katanya lebih keras.
“Gua tak boleh tolong, gua tak boleh tolong,” ujar Leman Dibab ketakutan.
“Apa pasal lu tak boleh tolong?” lembaga bertubuh besar itu kelihatan marah.
“Apa macam mahu tolong ............” Leman Dibab memberanikan hatinya.
“Kasi balik gua punya kepala,” kata lembaga itu.
Leman Dibab kebingungan. Bagaimana dia boleh memberikan lembaga-lembaga berkenaan kepala? Kalau tidak dpat memberikan kepala apa pula tindakan yang akan dilakukan oleh lembaga-lembaga berkenaan terhadap dirinya.
Dalam masa kebingungan inilah dia mendapati dirinya ditarik oleh Jaamat dan Mat Nohdari dalam jurang. Tetapi lembaga-lembaga tidak berkepala itu semuanya mengekori dia ke mana saja dibawa oleh Jaamat dan mat Noh. Hanya selepas kedatangan Pak Andak Deraoh barulah lembaga itu melepaskan dia pergi. Hinggalah dia sedar semula, Leman Dibab masih kelihatan takut-takut walaupun dia tahu dirinya berada di rumahnya sendiri.
Apa yang dialami oleh Leman Dibab pernah juga berlaku pada beberapa orang Cina penoreh getah yang melintasi Bukit Merah jam 5.00 pagi. Kata penoreh-penoreh getah itu, lembaga-lembaga tidak berkepala itu bercakap dengan mereka dalam bahasa Cina loghat Khek.
Oleh itu Pak Andak Deraoh tidaklah merasa bimbang bila menghadapi kejadian yang menimpanya pada malam itu di Bukit Merah. Dia sudah menduga bahawa yang menganggunya memang makhluk-makhluk halus yang berkeliaran disitu akibat pembunuhan mangsa perang Jepun dulu. Makhluk-makhluk halus ini juga adalah makhluk Allah, Cuma mereka tidak mempunyai jasad lengkap yang boleh ujud pada mata kasar.
“Haiya gua punya leher manyak pedih looo” ujar lembaga itu perlahan.
“Apa fasal datuk punya leher banyak pedih?” Pak Andak Deraoh sengaja bertanya demikian.
“Oooo, itu orang tatak akai potong gua punya kepala,” jelas lembaga itu merintih-rintih kesakitan. “Tolong kasi laaa gua punya kepala.” Ujarnya macam terdesak.
“Apa macam cucu mau kasi datuk punya kepala,” Pak Andak Deraoh mencari helah. Dia tahu kepala yang dituntut oleh lembaga itu bukanlah kepala sebarangan. Dari pengalamannya ketika mengubat Leman Dibab, kepala yang dituntut oleh lembaga itu adalah kepalanya sendiri.
Sampai di pertengahan bukit mendaki tegak, lembaga itu terus naik ke atas basikal Pak Andak Deraoh. Berdebar juga hati Pak Andak Deraoh kerana serba salah mahu bertindak. Kalau dilepaskan basikal tersebut, bimbang uaga dia kala lembaga itu menerkam ke arahnya. Tetapi kalau dibiarkan saja, terasa berat pula mahu menyorong basikal mendaki bukit tersebut.
“Kasilah gua punya kepala,” desak lembaga tidak berkepala itu lagi.
“Itu kepala Jepun sudah angkat, datuk carilah sama Jepun,” kata Pak Andak Deraoh mencari helah lagi.
“Haiya, gua punya leher manyak pedih,” lembaga tidak berkepala itu tiba-tiba menarik basikal yang disorong oleh Pak Andak Deraoh.
“Bukan cucu punya salah, itu Jepun punya salah!” suara Pak Andak mulai keras setelah didapatinya lembaga tidak berkepala itu terus juga tidak mahu melepaskan dia.
“Lu jangan tipu, “ herdik lembaga itu menampar basikal Pak Andak Deraoh. “Sekarang gua mau kepala, gua mau kepala, atak atau tatak!” dia menyentap basikal Pak Andak Deraoh lalu dilimparkannya ke tebing jalan.
Di peringkat ini Pak Andak Deraoh tidak dapat bersabar lagi. Nampaknya lembaga itu benar-benar mahu mencabar dia. Biasanya makhluk-makhluk halus demikian kalau dipujuk secara lembut ianya cepat mengalah. Tetapi berlainan pula dengan kejadian yang menimpa dirinya di Bukit Merah.
“Sekarang kau yang nak cari geruh aku, bukannya aku yang minta,” Pak Andak Deraoh mengertap bibir.
“Aku tak akan berundur, membujur lalu melintang patah!”jerkahnya sambil mengenggam penumbuk dan ditaupkannya ke pusat.
Ketika itu dia melihat lembaga tidak berkepala itu bukannya bersendirian, terlalu ramai mengelilingi dia. Semua lembaga itu menghampiri dia sambil menghulur tangan mengancam dirinya. Mereka berjalan terhuyung-hayang bagaikan dalam keadaan kesakitan. Pak Andak Deraoh tidak berganjak dari tempatnya berdiri menunggu kemaraan lembaga-lembaga berkenaan.
Dia menguatkan zikirnya hingga terasa seluruh urat sarafnya ikut sama berzikir. Terasa denyut jantungnya ikut sama berzikir hingga bergema dan bergaung memukul ke segenap bukit di sekeliling kampung. Pak Andak Deraoh berdiri tegak tidak bergerak pada penglihatan zahir, tetpi jiwanya terus berzikir menyebut nama Allah.
Lembaga-lembaga tidak berkepala cuba merapati dirinya tiba-tiba saja terpelanting bagaikan sampah sarap ditolak angin kencang. Setiap kali mereka terpelanting mereka bangun semula sambil menjerit-jerit kesakitan.
“Lu tipu sama gua, lu tipu sama gua!” pekik lembaga itu marah.
“Sekarang, kalau awak tak mahu pergi, gua hantam lagi,” kata Pak Andak Deraoh mengancam.
“Mana gua punya kepala?” desak lembaga bertubuh besar bercekak pinggang jauh sedikit dari Pak Andak Deraoh.
“Ini lu punya kepala,” ujar Pak Andak Deraoh macam melemparkan sesuatu dari genggamannya ke arah lembaga itu sambil membaca:
Hazihi jahanamullati kuntum tu ‘adun.
Pak Andak Deraoh dapat melihat sebutir bola api menerjah ke dada lembaga itu menyebabkan ia terpekik meminta tolong. Seluruh tubuh lembaga berkenaan terbakar dalam api yang membara dari bola api tersebut.
“Ampun, ampun latuk, ampun latuk,” rayunya terketar-ketar meminta belas kasihan.
Lembaga yang terbakar itu tergolek-golek ke bawah bukit dengan jeritan yang mengerikan. Walaupun demikian bukanlah bermakna lembaga-lembaga yang lain berundur. Sebaliknya mereka semakin ramai mengelilingi Pak Andak Deraoh. Namun Pak Andak Deraoh tetap tenang menghadapi gangguan yang tiba-tiba saja menjelma di depannya.
“Sekarang awak sengaja nak cari geruh aku ye?” dia mengertap bibir geram. Kemudian perlahan-lahan membacakan:
Innahu Min Sulaiman Wainnahu Bismillah Hirrahmannirrahim
Dengan jelas Pak Andak Deraoh melihat rantai-rantai besar membelengu kaki lembaga-lembaga berkenaan. Kemudian dia membaca Al- Fatihah sambil menghembus ke arah lembaga-lembaga itu menyebabkan semua lembaga itu berterbangan seperti sampah sarap dilanda ribut. Sekaligus dia mendengar jerit pekik meminta tolong dari bawah bukit.
Setelah merasakan tidak ada lagi gangguan Pak Andak Deraoh pun mencapai semula basikalnya yang dilimparkan ke tebing jalan. Cepat-cepat dia menunggang basikalnya balik ke rumah dengan tidak menoleh-noleh lagi ke belakang. Tetapi Pak Andak Deraoh tidak pernah menceritakan peritiwa itu kepada sesiapa pun kecuali kepada Mak Andak Nah saja.
Selepas itu jaranglah orang diganggu lembaga-lembaga tidak berkepala di Bukit Merah. Penoreh-penoreh getah cina yang melalui jalan Bukit Merah itu setiap pagi juga tidak lagi heboh dengan lembaga berkenaan.Mereka juga sudah mulai berani berseorangan saja melalui jalan tersebut, kalau tidak sebelumnya mereka pergi menoreh terpaksa menunggu kawan-kawan untuk pergi bersama.
Hanya sekali sekali saja lembaga tidak berkepala itu muncul, tetapi rintihannya lebih mengerunkan meminta tolong. Di samping itu terdengar pula bunyi dering derang rantai diheret oleh kaki. Kadangkala tidak pula terserempak dengan lembaga-lembaga tersebut, tetapi hanya didengar bunyinya saja merintih-rintih kesejukan atau bunyi derang dering rantai diheret.
Cerita Pak Andaka Deraoh ini tidaklah mengherankan saya, kerana tidak mustahil semuanya boleh berlaku. Malah ayat-ayat yang digunakan oleh Pak Andak Deraoh seperti yang diterangkannya kepada saya itu, sama seperti yang diberitahu oleh Tok Aji kepada saya. Dan ayat-ayat yang dikatakannya itu bukanlah asing kepada saya.
“Sekarang masih ada lagi orang berjumpa dengan lembaga itu?” soal saya setelah mendengar cerita dari Pak Andak Deraoh.
“Ada juga sekali sekala,” jelasnya memberitahu.
“Sekali sekala macam mana tu ?” saya bertanya lagi.
“Setahun sekali pun jarang orang berjumpa,” kata Pak Andak Deraoh perlahan.
Memang makhluk-makhluk halus seperti ini tidak akan berani mengganggu kalau manusia tidak lemah semangat. Tetapi kuat semangat saja tidak akan memberi kesan kalau tidak berupaya menentangnya. Hanya ayat-ayat Allah saja yang digeruni oleh makhluk-makhluk halus ini, kerana ayat-ayat Allah adalah menembusi pandangan yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera.
Pak Andak Deraoh menceritakan bagaimana dalam masa pemerintahan Jepun, ramai orang-orang Cina yang tinggal di kampung dekat Bukit Merah ditangkap atas tuduhan menentang Jepun. Mereka diheret ke Bukit Merah itu dengan dipaksa mengali parit dalam di pinggir bukit. Setelah itu mereka dipaksa membongkok, dan terus di pancung oleh askar-askar Jepun. Mayat mereka dibiarkan saja di dalam parit itu dengan tidak dikambus.
Pernah Pak Andak Deraoh sendiri melihat kejadia ngeri itu semasa dia balik dari kedai di pekan kecil.
“Masa itu agak-agak dalam pukul 11.00 pagi.” Kata Pak Andak Deraoh mengingat-ngingat semula kenanagan lama. Ketika itu Pak Andak Deraoh masih muda lagi, tentulah gerun dan cemas melihat kejadian seperti ini.
“Pak Andak kenal sangat Cina tu, namanya Ah Keong, buka kedai basikal di pekan”ujarnya.
Semasa dia menyorong basikal mendaki jalan di Bukit Merah itu dilihatnya ramai askar-askar Jepun. Beberapa orang Cina mungkin saudara-saudara Ah Keong ada di situ, masing-masing menangis saja tidak berani mahu melawan. Pak Andak Deraoh terpaksa mengangguk- ngangguk kepala di depan askar-askar Jepun takut kena tempeleng.
Niat di hatinya mahu mahu terus saja balik ke rumah, tetapi disuruh berhenti di seberang jalan. Tidak lama kemudian seorang askar Jepun menyuruh beberapa orang lagi Cina dibawa ke situ dengan lori. Ada seorang Melayu dilihat oleh Pak Andak Deraoh tetapi tidak dikenali oleh Pak Andak Deraoh.
Di depan Pak Andak Deraoh itulah oarang-orang tawanan itu dipancung. Setelah selesai upacara memancung itu barulah askar-askar Jepun membenarkan orang orang yang melihat kejadian itu bersurai. Askar-askar Jepun seolah-olah sengaja menyuruh mereka melihat bagaimana tindakan yang dilakukan sekiranya berani menentang pemerintahan Jepun.
Selepas melihat kejadian itu Pak Andak Deraoh terus balik ke rumah dalam ketakutan. Dua minggu lamanya dia jatuh sakit terigau-igau melihat askar Jepun memancung leher Ah Keong.
“Itulah puncanya Bukit Merah tu ada gangguan,” beritahu Pak Andak Deraoh seterusnya.
Catat Ulasan