Sehingga jam tiga pagi barulah Sarip sedar diri. Tetapi keadaannya masih letih. Saya lihat Ulung Bahar terkuap-kuap menahan mengantuk. Ketika Sarip dijumpai terbaring di dalam kebun getah tidak sedar diri oleh Ah Fook seorang pemburu babi, keluarganya menjadi bingung. Sebelah paginya hari hujan menyebabkan Sarip tidak pergi menoreh. Dia pun menggalas senapang untuk mengintai denak (ayam hutan) mengekas di pinggir hutan.
Itu sajalah yang diceritakan oleh Kak Mahawa mengenai suaminya yang dijumpai oleh Ah Fook terbaring di perdu pokok getah. Ketika ditemui oleh Ah Fook Sarip tertangkup dan mengerang-ngerang. Mulutnya berbuih seperti terkena sawan babi, walaupun Kak Mahawa memberitahu Sarip memang tidak pernah ada penyakit sawan babi.
Ah Fook pula bukanlah asing pada penduduk-penduduk di kampung tersebut, kerana dia mempunyai kebun getah disitu. Pernah juga Sarip mengambil upah mencuci rumput dikebun getah Ah Fook dengan upahnya $4,50 sehari. Sebab itu mereka tidak mengesyaki apa-apa terhadap diri Ah Fook.
Lagi pun mereka tahu masakan Ah Fook mahu bersikap jahat terhadap Sarip. Tidak ada kesan Sarip dipukul atau tertembak. Dia hanya ditemui oleh Ah Fook tertangkup di perdu pokok getah dalam keadaan tidak sedar diri. Kemudian Ah Fook memanggil Budin yang kebetulan rumahnya berhampiran disitu. Mereka berdualah menyeret Sarip dengan basikal bawa balik ke rumah.
Tiga hari Sarip terlantar tidak sedar diri. Kak Mahawa telah memanggil Derih Gonjeng bagi mengubati suaminya. Berita mengenai kejadian yang menimpa diri Sarip ini juga diberitahu kepada saudara-saudaranya yang lain termasuklah Meon yang tinggal di Kuala Lumpur. Sebaik saja menerima berita abang iparnya tiba-tiba tidak sedar diri di kampung, Meon pun mengajak saya balik ke kampungnya di Temerloh.
Sebelum ke kampungnya kami singgah ke Lancang mengambil Ulung Bahar. Orang tua itu tidaklah banyak soal jawabnya, mahu saja dia di ajak ke kampung Meon. Sejak beberapa kali saya sudah bertemu dengan Ulung Bahar, nampaknya dia memang suka berkawan dengan saya. Semasa kami sampai ke rumah Kak Mahawa, keadaan Sarip masih belum reda.
Kak Mahawa menangis-nangis memberitahu Meon mengenai kejadian yang menimpa Sarip. Siapa pun tidak tahu bagaimana Sarip boleh dijumpai tidak sedarkan diri. Ah Fook orang yang pertama menemui Sarip tidak sedarkan diri juga tidak tahu bagaimana punca terjadinya.
“Tengoklah Meon, tengoklah abang kau tu.....” Kak Mahawa mengongoi tidak dapat menahan sebak di dada.
“Sabarlah kak, cubalah kita ikhtiarkan dengan ustaz dan Ulung Bahar ni,” Meon memujuk sambil mengerling ke arah saya dan Ulung Bahar.
Sebelum saya naik ke rumah saya sudah terasa diri saya bagaikan dikepit oleh satu lembaga, tetapi lembaga itu tidak kelihatan. Terasa juga susah hendak bernafas semasa saya merasa diri saya tersepit itu. Bagaimanapun cepat-cepat saya membaca:
“Hasbiallahhu Laillahha Illallah Alaihi Watawakkal Wahua Rabul Arsyazzim”.
Barulah saya terlepas dari rasa tersepit itu.
Oleh itu sebelum naik ke rumah saya sudah menduga tentulah ada gangguan pada Sarip. Tidak mungkin Ah Fook mahu memukul Sarip. Lagi pun kalau Ah Fook yang memukul, tentunya dia tidak mahu berpura-pura memanggil Budin dan sama-sama memapah Sarip balik ke rumah.
“Aku dah panggil Derih Gonjeng,” Kak Mahawa memberitahu. “Bolehkah berubat bersanduh-sanduh....?” Dia menyatakan bimbang kalau-kalau Derih Gonjeng marah, kerana Sarip masih lagi di bawah tanggungan dia. Berubat bersanduh-sanduh bererti Derih Gonjeng belum menyerah kalah, tidak boleh panggil dukun lain untuk mengubati Sarip.
“Ustaz ni bukannya dukun” Meon cepat cepat menjelaskan kerana dia dapat membaca kegelisahan yang tebendung di hati kakaknya. “Ulung Bahar ni pun bukan dukun. Kita minta doa dia orang je. Lepas itu kalau Derih Gonjeng datang mintalah dia ubatkan sama” dia memberikan keyakinan kepada Kak Mahawa.
Kak Mahawa tertunduk. Dia sendiri macam hilang akal bila melihat suaminya sudah tiga hari tidak sedarkan diri. Sudah tiga hari Derih Gonjeng suruh merendang bertih, meminta lima dan kemenyan, meminta kain hitam buat pengebas. Tiga hari Derih Gonjeng berusaha untuk memulihkan Sarip, tetapi keadaanya tidak berubah.
“Cuba panggil dukun itu sama......” Ulung Bahar pula menganjurkan.
Lantas Budin segera memberitahu Derih Gonjeng. Semasa Derih Gonjeng datang, kami sedang minum kopi o panas. Sambil mempelawa minum Ulung Bahar menjelaskan tujuan kami datang setelah diajak oleh Meon. Tersenyum Derih Ginjeng, kerana kami menyangka dia marah apabila urusan dicampuri, Memang menjadi kebiasaan mana-mana dukun akan tersinggung sekiranya urusannya yang belum selesai dicampuri. Dia merasa seolah-olah dirinya sudah tidak dipercayai lagi.
Sebaliknya Derih Gonjeng sanggup bersama-sama dengan Ulung Bahar dalam usaha memulihkan Sarip.
“Sebenarnya tak pernah saya mengalami macam ini ... “ ujar Derih Gonjeng mengeluh pendek. “Selalunya kalau sudah dikebas kain hitam, pulihlah” katanya perlahan.
“Itulah kami minta Tok Derih sama-sama cuba,” Meon menjelaskan. “Tok Derih dengan cara Tok Derih, ustaz dengan cara dia, Ulung Bahar pula dengan cara dia. Mudah-mudahan diizinkan Allah, cepat pulihnya abang Sarip ni,” beritahu Meon macam mengingatkan.
Derih Gonjeng bersetuju untuk sama-sama saling bantu membantu. Dia juga percaya dengan secara berpadu tenaga itu lebih memudahkan. Kepandaian sesaorang itu berlainan, dan masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangannya.
Seperti biasa Derih Gonjeng memerlukan peralatannya seperti kemenyan, bertih, limau dan kain hitam. Dia memulakan jampi serapahnya sebaik saja membakar kemenyan. Saya tidak tahu apa dibuat seterusnya oleh Derih Gonjeng, kerana saya disuruh oleh Ulung Bahar memulakan zikir dengan khusuk.
Selepas itu saya mula membaca beberapa potong ayat Quran termasuklah Surah Assaffa. Ketika ini saya terdengar Derih Gonjeng bertempik menyebabkan saya membuka mata. Dia kelihatan sedang membuka pencak silat seperti seorang pendekar di tengah gelanggang.
Orang ramai yang ada di situ terkejut melihat Derih Gonjeng memencak. Perkara Sarip tidak sedarkan diri belum selesai, timbul pula perkara Derih Gonjeng memencak di tengah rumah. Mukanya kelihatan garang seperti orang berdendam.
“Hah, dah aku cakap jangan berkawan” Derih Gonjeng mengherdik.
“Biarlah Derih berkawan dengan kami “ sahut Ulung Bahar keras.
“Tak boleh,, tak tahan aku! ..Panas ... Panas ” Derih Gonjeng mengeliat-geliat seperti dibakar api.
“Bukankah kita sama-sama nak selamatkan Sarip” kata Ulung Bahar macam memujuk.
“Tak boleh, tak boleh. Aku tak tahan, panas!” ujar Derih Gonjeng dalam keadaan memencak-mencak.
Dari cara Derih Gonjeng itu saya dapati dia mempunyai cara pengubatan yang menyeru nama-nama tertentu. Sebab itu dia mengalami kepayahan untuk bersama saya dan Ulung Bahar.
“Beginilah.....” saya memandang Derih Gonjeng dengan zikir di hati. “Awak balik dulu tinggalkan Derih dengan kami. Biar kami ubatkan dulu Sarip ni, lepas tu awak datanglah balik kalau awak suka” ujar saya.
“Awak ni ganggu anak ubat kami!” herdik Derih Gonjeng, tetapi saya tahu bukan dia lagi yangmengherdik. “Awaklah yang mesti tinggalkan tempat ini, biar kami ubatkan Sarip ...”katanya memberi amaran.
“Awak duduk!” Ulung Bahar pula membentak merenung tepat ke muka Derih Gonjeng. “Kami nak selamatkan Sarip, kalau awak menganggu, kami akan hancurkan awak ,” jerkah Ulung Bahar selanjutnya.
Mereka yang sama-sama melihat peristiwa ini bertambah kerana mereka menyangka pertengkaran itu adalah antara Ulung Bahar dengan Derih Gonjeng. Penduduk-penduduk di kampung itu memang menghormati Derih Gonjeng sebagai bomoh. Asal berlaku saja sakit atau gangguan pelesit, maka mereka akan memanggil Derih Gonjeng.
Sebab itu mereka mengesyaki tentulah Ulung Bahar berkeras mahu mengubat Sarip tetapi dihalang oleh Derih Gonjeng. Disamping itu mereka lebih suka Ulung Bahar mengalah saja, kerana Derih Gonjeng adalah bomoh di kampung tersebut. Saya lihat ada seorang nenek tua berbisik-bisik kepada Meon, tetapi Meon mengatakan sesuatu kepadanya.
“Keluar kau dari sini, dan tinggalkan Derih !” tiba-tiba Meon bangun mendekati Derih Gonjeng yang masih berpencak.
“Derih tak memerlukan kau lagi, Derih akan mengubati Sarip dengan Ulung Bahar dan ustaz ni,” kata Meon keras.
Saya tahu Meon mahu memberitahu sanak saudaranya bahawa yang berpencak silat di depan mereka sekarang bukanlah Derih Gonjeng lagi, tetapi ‘akuan’ yang digunakan oleh Derih Gonjeng selama ini apabila mengubati orang.
Selalunya ‘akuan’ itu tidak akan datang, sekiranya terdapat orang yang berzikir di situ. Sebaliknya, semasa Derih Gonjeng membakar kemenyan menyeru ‘akuannya’ saya dengar Ulung Bahar membaca:
Innahu min Sulaiman, Wainnahu Bismillahir Rahmannir Rahim.
Ulung Bahar sengaja memerangkap ‘akuan’ itu datang supaya dapat digunakan menentang yang menganggu Sarip.
“Sarip tu anak ubat aku, biar aku yang ubatkan!” sahut Derih Gonjeng.
“Dah tiga hari awak mengubat Sarip, mengapa tak baik lagi?” jerkah Meon macam mencabar Derih Gonjeng. Tetapi Meon sebenarnya tidak mencabar Derih Gonjeng sebaliknya dia mencabar ‘akuan’ yang digunakan oleh Derih Gonjeng selama hari ini.
“Kau apa tahu......” Derih Gonjeng bagaikan memarahi Meon. Sekali sekala dia mengeling ke arah saya seperti mahu menerkam ternyata tubuhnya seolah-olah ditolak ke belakang. Dia menjadi seperti pohon ditiup angin kencang tidak dapat bertahan dari tolakan.
“Apa salahnya kalau kita sama-sama mengubat?” soal Ulung Bahar.
“Tak tahan aku, tak tahan, panas.....” Derih Gonjeng merintih-rintih.
“Kau bersahabat dengan syaitan yang mengganggu Sarip, fasal tu kau rasa panas,” Ulung Bahar mengejeknya.
Derih Gonjeng terdiam. ‘Akuan’ yang digunakan oleh Derih Gonjeng tahu bahawa Ulung Bahar dapat mengagak bahawa dia juga jenis syaitan yang dipelihara oleh Derih Gonjeng. Biasanya kalau penyakit yang bukan dari gangguan syaitan memang Derih Gonjeng boleh meminta pertolongan darinya, tetapi apabila gangguan dari syaitan tentulah dia tidak mahu menentang golongan sejenisnya.
“Selama ni memang Derih minta tolong dari kau.....” Ulung Bahar terus mengejeknya. “Tapi aku tak minta pertolongan kau, aku minta pertolongan dari Allah,” jelas Ulung Bahar mengingatkan.
Orang kampung yang melihat peristiwa itu hanya menyangka pertengkaran antara Ulung Bahar dengan Derih Gonjeng. Sebenarnya ‘akuan’ yang menguasai Derih Gonjeng selama ini sedang menghadapi kesulitan dengan kehadiran Ulung Bahar dan saya. Sebab itulah dari awal lagi Kak Mahawa sudah menduga bahawa Derih Gonjeng tidak akan membenarkan orang lain mengubati suaminya, selagi Derih Gonjeng belum menyerahkan tanggung jawab nya semula.
Pada zahirnya memang Derih Gonjeng yang tidak mahu, tetapi sebenarnya ‘akuan’ yang dipelihara Derih Gonjeng yang tidak mahu. Dia kepanasan apabila dibacakan ayat-ayat Quran. Tetapi apabila dibacakan selain dari ayat-ayat Quran dia akan merasa aman, sambil mengharapkan Derih Gonjeng terus meminta pertolonan darinya. Selama itu jugalah dia dapat memesongkan aqidah Derih Gonjeng supaya mendapatkan pertolongan dia semata-mata.
“Sekarang !” Ulung Bahar mula memberi perintah. “Aku tak akan minta pertolongan kau, tapi aku memerintahkan kau pergi tentang setan yang menganggu Sarip...” kata Ulung Bahar menudingkan jari ke arah Sarip yang masih terlentang tidak sedarkan diri di tengah rumah.
“Siapa kau nak memeritah aku?” bentak ‘akuan’ yang menguasai derih Gonjeng.
“Aku manusia,” sahut Ulung Bahar. “Ilmu manusia tak dibatas oleh Allah, tetapi ilmu setan terbatas,’ ujarnya bagaikan mengancam.
“Aku tak mahu ikut perintah kau!” balas ‘akuan’ itu sombong.
“Baiklah,” Ulung Bahar mendengus. “Kita mulakan ustaz......” dia menepuk paha saya.
Saya mengangguk. Kemudian membacakan beberapa ayat Quran dari surah-surah tertentu, disusuli dengan Ayat Kursi sebanyak 33 kali. Ketika ini Derih Gonjeng kelihatan memekik sambil memekup dadanya seperti dalam kesakitan.
“Berhentikan ......” rintihnya bagaikan merayu meminta belas kasihan. “Aku bukan nak bermusuh dengan awak semua, aku pun sama-sama nak menolong Sarip. Tapi yang menjaga Sarip tu lebih kuat dari aku,” kata ‘akuan’ itu dalam kesakitan. Di samping itu Derih Gonjeng kelihatan rebah mengelupur di lantai.
Orang-orang kampung menjadi heran, kerana Derih Gonjeng yang datang untuk mengubat Sarip sudah menjadi sebaliknya pula. Derih Gonjeng pla terlantar tidak sedarkan diri sama seperti Sarip.
“Aku juga tak memusnahkan kau,” sahut Ulung Bahar keras. “Sekarang aku akan membantu kau menentang setan yang menganggu Sarip. Mahu atau tidak?” soalnya macam memaksa.
Derih Gonjeng mengangguk.
“Dalamkan zikir ustaz......” Ulung Bahar membisikkan ke telinga saya. Saya juga mengangguk kepala.
Ketika inilah saya merasakan diri saya sudah sampai ke tengah hutan rimba yang saya tidak ketahui. Hanya suara Ulung Bahar saja kedengaran sebagai panduan saya. Hampir saya tersesat meraba-raba di tengah rimba itu. Hanya Ulung Bahar mengingatkan saya supaya membaca Surah Waddhuha.
Habis saja membaca Surah Waddhuha saya menghembuskan ke sekeliling, kelihatanlah kabus tebal di depan saya hilang dari pandangan. Ketika ini ternampaklah Derih Gonjeng sedang bertunggang di tengkuk ‘akuan’ nya satu lembaga hitam bermata merah. Mereka kelihatan gementar berhadapan dengan satu lembaga besar sedang bermain-main dengan tubuh Sarip, seolah-olah dia sedang menimang-nimang anak patung.
Apabila lembaga besar itu sedar dengan kehadiran Derih Gonjeng dia meniup dengan mulutnya menyebabkan Derih Gonjeng terpelanting ke tanah. ‘Akuan’ nya cuba melarikan diri mahu meninggalkan Derih Gonjeng, tetapi cepat-cepat saya pegang tengkuknya.
“Innahumin Sulaiman Wainnahu Bismillahhir Rahmanirr Rahim.....”
saya mendengar Ulung Bahar membisikkan ke telinga saya. Terpaksalah ‘akuan’ Derih Gonjeng mara semula menentang lembaga besar tadi.
“Kau terpedaya weh.....” lembaga besar mengejek lembaga hitam ‘akuan’ Derih Gonjeng. “Kau terpedaya oleh manusia tu.....” dia menuding ke arah saya dengan geram menggertap bibir.
“Kawan mesti lawan awak!” sahut lembaga hitam keras.
“Nanti awak menyesal,” lembaga besar menyindir. “manusia memang mahu melihat kita berlawan sama sendiri,” katanya mecam mengingatkan.
“Aku bersahabat dengan Derih Gonjeng, aku mesti tolong dia,” ujar lembaga hitam itu bertambah berani.
“Bersahabat pun ada syaratnya,” beritahu lembaga besar mengingatkan.
Kemudian saya mendengar Ulung Bahar berbisik ke telinga saya:
Ya Kafi Ya Shafi Ya Muafi Wabilhaq anzalnahu Wabilhaq Nazala.
Saya membacanya sambil menampar ke belakang lembaga hitam ‘akuan’ Derih Gonjeng. Sekali gus lembaga hitam itu menerpa menendang dada lembaga besar di hadapannya.
Tendangan yang kuat itu menyebabkan Sarip seperti anak patung yang berada di tangannya terhumban. Cepat-cepat saya suruh Derih Gonjeng menyambar Sarip. Selepas Derih Gonjeng dapat menyambar Sarip, saya membiarkan saja lembaga hitam ‘akuan’ Derih Gonjeng itu menyerang lembaga besar bertalu-talu. Lembaga besar itu mendakwa dirinya puaka hutan yang mahu membalas dendam atas kebiadapan Sarip berburu di hutan dengan tidak meminta izinnya.
Lembaga itu berusaha mahu merampas Sarip dari tangan Derih Gonjeng, manakala lembaga hitam ‘akuan’ Derih Gonjeng pula cuba melindungkan Derih Gonjeng. Ketika ini saya mendengar bisikan Ulung Bahar supaya bacakan Surah Al Ikhlas. Sekali gus tempat itu bergoncang kuat.
Dua lembaga itu terjerit-jerit akibat goncangan yang kuat. Termengah-mengah lembaga-lembaga tersebut tidak dapat bertahan dari goncangan itu. Lembaga hitam ‘akuan’ Derih Gonjeng juga tidak dapat melepaskan diri kerana dia juga jenis syaitan yang tidak mampu menentang ayat-ayat Quran.
“Kau.............” perintah saya sambil memegang tengkok lembaga hitan ‘akuan’ Derih Gonjeng. “Keluar cepat dari sini, sebelum kau di hancurkan. Lepas itu pergi kau dari sini dan jangan jumpa Derih lagi, ingat?” kata saya seterusnya memberi amaran.
Saya lihat lembaga hitam itu menangis-nangis terisak-isak. Dia melambai-lambai tangan kepada Derih Gonjeng. Dengan cepat saya menjenjeng tengkoknya dan melemparkan dia ke satu jeram. Selepas itu saya kembali berdepan dengan lembaga besar yang mahu merampas Sarip dari tangan Derih Gonjeng.
“Wah pandai awak, gunakan syaitan menentang kami!” lembaga besar itu mengejek.
“Adakalanya memang setan boleh digunakan menentang setan, tapi aku tak akan gunakan pertolongan setan, tau!” saya pula mengejek dia.
“Kenapa tak awak sendiri menentang kami?” lembaga besar itu mencabar.
“Kau nak rasakan sekarang................” sahut saya lantas membacakan:
Lanarjumanakum Walayamasanakum Minna Azabun Alim.
Dengan sekelip mata panahan api datang menjunam ke dadanya. Terjerit-jerit dia menahan kesakitan. Setiap kali dia mengelakkan rejaman anak panah berapi itu, seluruh badannya habis disinggahi hingga menyebabkan tubuhnya hangus terbakar.
“Nanti...............” dia merayu meminta supaya saya memberhentikan membaca ayat tersebut.
“Tadi kau sungguh-sungguh nak berlawan” kata saya mengejek.
Mengapa tadi awak suruh orang hitam tu melawan aku?” dia keheranan mengapa saya menggunakan ‘akuan’ Derih Gonjeng.
“Itu urusan aku......” bentak saya memarahinya. Saya sedar puaka hutan itu sebenarnya jenis syaitan juga. Dia akan mencari helah untuk melalaikan saya supaya tidak meneruskan membaca ayat-ayat Quran.
Memang adakalanya kita mesti gunakan syaitan untuk menentang syaitan dalam keadaan-keadaan tertentu. Sekiranya saya menyerang lembaga besar itu semasa Sarip dalam genggamannya, tentulah Sarip juga akan menderita sama. Sebab itulah Sarip mesti dipisahkan dulu darinya.
Selepas itu saya terus menyerang dengan membaca Ayat Kursi. Lembaga besar itu akhirnya tenggelam dalam api yang menjulang. Dia terlolong-lolong mahu melepaskan diri, tetapi api terus menyambar dari setiap penjuru. Ketika inilah saya mendengar bisikan Ulung Bahar supaya balik semula.
Ketika saya membuka mata, saya terasa amat letih lantas meminta air sejuk untuk membasahkan tekak. Peristiwa ini biasa saja bagi saya, kerana saya sudah mengalaminya beberapa kali sebelum ini. Oleh itu apabila Meon bertanya mengenai apa yang saya lihat, saya enggan menceritakan kepadanya.
Masa ini Derih Gonjeng juga sudah duduk semula. Berkali-kali dia berastaghafar sambil mengurut-ngurut dadanya. Dia seolah-olah tidak percaya dengan peristiwa yang dialaminya.
“Saya nampak ustaz.......” keluh Derih Gonjeng berpaling kepada saya.
Saya tersenyum dan mengangguk.
“Ustaz tau semuanya ?” dia masih tidak berapa percaya.
Saya tidak menyahut, tetapi tetap tersenyum dan mengangguk.
“Astaghafarullah hul Azim .......”Derih Gonjeng mengurut-ngurut dadanya.
Dalam waktu Derih Gonjeng masih terpinga-pinga inilah Sarip mula sedarkan diri. Ketika ini jam hampir tiga pagi. Dia kelihatan letih sambil memanggil-manggil nama anaknya. Cepat-cepat Kak Mahawa menerpa ke arahnya lalu duduk di kepala Sarip.
“Biarkan dia dulu, “ kata Ulung Bahar meminta supaya Sarip tidak diganggu. Sarip memerlukan rehat sehingga semangatnya pulih semula.
Esoknya barulah Sarip pulih sedikit. Dia mula meminta nasi untuk makan. Setelah diberikan bubur, keadaan Sarip bertenaga sedikit. Ulung Bahar meminta saya tengokkan keadaan Sarip, kerana dia pagi itu juga akan balik ke Lancang. Terpaksa pula Meon menghantarnya dengan tidak membawa saya bersama.
Tetapi memang saya bercadang dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur nanti, saya akan singgah juga di rumah Ulung Bahar. Biasanya begitulah kalau saya menuju ke pantai timur, saya akan singgah ke rumah Ulung Bahar. Kadangkala kalau saya sudah lama tidak mengunjunginya dia akan pesankan kepada Meon menyuruh saya menjengah dia.
Dari Sarip saya mendapat cerita mengenai dirinya, yang pernah mengamalkan pertapaan di sebuah jeram semasa bujangnya. Mungkin dari situlah dia mula dikenali sebagai seorang ahli pemburu. Tidak pernah kalau dia masuk ke hutan akan pulang dengan tangan kosong. Kadangkala Derih Gonjeng menasihatkan dia supaya tidak ke hutan berseorangan diri. Tetapi Sarip tidak mengendahkan nasihat Derih Gonjeng.
Dengan kejadian menimpanya itu, Sarip sedar akan bahana apabila dia mengamalkan pertapaan. Pada mulanya dia menyangka bahawa bila dia tidak mahu meneruskan amalan itu, kepandaian berburunya akan luntur begitu saja. Baginya kalau dia sudah tidak boleh lagi berburu, dia akan berhenti dari berburu.
“Tiap-tiap tahun aku kena beri makan ancak...” Sarip menceritakan. “Dua tiga tahun ni, aku tak bagi lagi makan ancak,” ujarnya masih kelihatan takut dengan kejadian yang menimpanya.
Memberi makan ancak ialah menyediakan ayam atau kambing masak mentah dan dihantar kepada ‘akuan’ yang datang menemuinya semasa bertapa dulu. Apabila dia memerlukan apa-apa dia akan menyeru ‘akuan’ ini dengan membakar kemenyan. Apa yang dilakukan oleh Sarip samalah seperti yang digunakan oleh Derih onjeng.
“Aku ingat, aku nak buang. Fasal tu aku tak beri lagi makan ancak,” katanya perlahan.
Biasanya kata Sarip, ‘akuan’ itu kalau tidak dijaga maka dia akan pergi dengan sendirinya. Sebab itulah dia mengharapkan agar ‘akuan’ itu meninggalkannya setelah dia tidak memerlukan lagi. Rupanya, ‘akuan’ itu datang semula memberi amaran kepada Sarip, kalau tidak dijaga keluarganya akan diancam.
Sarip tidak mahu keluarganya diancam. Dia telah menawarkan dirinya sendiri sebagai korban, kalau ‘akuan’ tersebut terus mendendam. Mujurlah masa dia bergelut dengan puaka hutan itu, Ah Fook terserempak. Mungkin benar juga seperti keyakinan Derih Gonjeng bahawa ‘akuan’ ini tidak gemar pada orang-orang bukan Islam, kerana ianya memakan babi dan anjing.
Saya tidak ambil hirau sangat dengan keyakinan Derih Gonjeng itu, kerana syaitan sebenarnya adalah menjadi musuh kepada manusia. Boleh jadi disebabkan manusia itu sendiri memang sudah dipengaruhi syaitan, maka dia tidak perlu lagi menganggunya.
Tamat
Catat Ulasan