SEORANG lelaki berdepan masalah selsema selama dua tahun dengan hidungnya sering dirasakan tersumbat disertai lelehan hingus.
Penyakitnya ini nampak aneh, tetapi ia benar-benar berlaku sehingga doktor juga buntu pada mulanya.
Rupa-rupanya terdapat gigi tumbuh dalam hidung pemuda dari Denmark itu yang namanya tidak didedahkan.
Keadaan itu membuatkan hidungnya mengalami simptom seperti selsema selama lebih dua tahun. Kes unik ini dilaporkan oleh doktor dalam jurnal BMJ Case Reports.
Kisah ini bermula apabila lelaki berusia 59 tahun itu berjumpa doktor di Hospital Universiti Aarhus, Denmark.
Dia mengadu lubang hidung sebelah kirinya tersumbat diikuti hingus meleleh dan hilang deria bau.
Doktor yang memeriksanya melihat terdapat lengkungan ke arah kiri di bahagian tengah hidung selain menemui sesuatu di rongga hidungnya.
Akhirnya lelaki itu diminta melakukan pemeriksaan CT scan yang mendedahkan berlaku penyumbatan di hidung, berpunca daripada gigi tumbuh di bahagian itu.
Dia melakukan pembedahan endoskopi sinus untuk 'menolak' gigi di dalam hidungnya.
Setelah 10 hari diberikan antibiotik dan cecair pembersih hidung, dia sihat seperti biasa.
Dalam laporan jurnal, para doktor berkata kes ini jarang berlaku, tetapi orang ramai tidak perlu menganggap hidung yang sering tersumbat itu berpunca daripada gigi.
Bagaimanapun, puncanya masih belum diketahui secara pasti.
Salah satu cabaran yang dinyatakan oleh pasukan doktor dalam laporan itu adalah gigi tumbuh akibat trauma pada wajah pesakit.
Lelaki itu memang mengaku mengalami trauma pada muka ketika zaman mudanya apabila mengalami patah hidung dan tulang rahang.
Malah menurut laporan, patah hidungnya itu akan membuatkan kedudukan perlu diubah.
Walaupun trauma itu nampak tidak mempengaruhi gigi-giginya, boleh berlaku keadaan yang mana gigi 'berpindah' dan kemudian menembus rongga hidungnya tanpa disedari.
Doktor juga berkata ada kemungkinan gigi itu telah berada di situ sudah lama, tetapi pesakit baru mengalami simptom beberapa tahun kebelakangan ini.
"Pesakit kami kemungkinan besar telah lama mempunyai gigi dalam hidungnya, tapi simptomnya lewat muncul," ujar Dr Milos Fuglsang yang menulis laporan kes ini memetik IFL Science.
Sebenarnya ada kejadian serupa yang pernah berlaku sebelum ini.
Sebuah kajian kes pada 2014 di American Journal of Case Reports mengungkapkan kejadian lelaki berusia 22 tahun dari Arab Saudi yang tidak selesa kerana ada gigi di rongga hidungnya.
Dalam kes itu, doktor berkata dia mungkin mengalami kelainan, iaitu jumlah gigi lebih dari normal. -Kumparan
Catat Ulasan