DENGAN tidak setahu nenek saya, saya telah bertemu dengan seorang guru silat yang dikenali dengan nama Tok' Leh™. Yang membawa saya berjumpa Tok' Leh™ itu ialah bapa saudara saya sendiri, iaitu adik bungsu emak saya. Ketika itu saya sudah berumur 16 tahun, manakala bapa saudara saya itu berumur 19 tahun. Sebenarnya saya tidaklah belajar silat sangat dengan Tok' Leh™ itu. Kalau saya belajar pun,saya sudah lupa langkah dan tandaknya. Bapa saudara saya itu memang belajar bersungguh-sungguh. Dia tamat menuntut dengan membawa pulut kuning sepinggan, pisau raut, garam dan duit $25.00 sebagai ‘pemati’. Di samping tamat belajar silat, bapa suadara saya juga dikehendaki mengamalkan pertapaan. “Kau juga boleh ambil hak ini…” kata bapa saudara saya. “Aku tak tamat Cu, macam mana. Takkan Tok' Leh™ bagi aku bertapa,” ujar saya. “Ah, bolehlah aku pujuk Tok' Leh™,” bapa saudara saya memberi jaminan.
Memang benar, Tok' Leh™ membenarkan saya ikut sama bertapa. Kami dikehendaki mencari pokok pisang baru menjulur jantung dan jauh dari tempat orang ramai. Di samping itu kami hanya dibekalkan dengan kapur sirih dan kemenyan yang sudah dijampi oleh Tok' Leh™. Pada sebelah petangnya saya bersama bapa saudara saya telah mencari pokok pisang hutan di pinggir kampung, dan menandakan tempatnya untuk membolehkan kami bertapa pada sebelah malam nanti. Perkara bertapa ini memang kami tidak beritahu kepada nenek. Saya tahu nenek tentu marah kalau diketahuinya saya dan bapa saudara saya pergi bertapa itu. Saya telah menetapkan tempat saya pada serumpun pisang hutan berhampiran dengan anak air yang terdapat batu-batu besar di sekelilingnya. Manakala bapa saudara saya pula agak jauh dari situ, iaitu di sebalik bukit di kawasan padang lalang. Bagaimana pun kalau ikut jalan dari kampung, tempat saya bertapa itu lebih awal ditemui, sebelum sampai ke tempat rumpun pisang yang di temui oleh bapa saudara saya.
Lepas maghrib kami pergi ke tempat bertapa masing-masing. Saya membawa sebatang lilin bersama.Lilin itu hanya sebagai persediaan saja, dan saya dibenarkan memasangnya kalau gagal dalam ujian pertapaan itu. Saya pun duduk di bawah rumpun pisang yang telah saya tandakan pada sebelah petangnya.Saya tidak peduli lagi mengenai diri bapa saudara saya, yang berjalan menuju ke tempat yang telah dipilihnya petang tadi. Mula-mula saya duduk di dalam gelap itu terasa juga gementar. Tetapi Tok' Leh™ sudah mengingatkan saya supaya berani menghadapi apa jua kemungkinan. Kemenyan saya bakar, jampi serapah saya baca, saya menunggu dugaan yang dikatakan oleh Tok' Leh™. Kelilingnya sunyi sepi, hanya kedengaran bunyi cengkerik mengiang-ngiang.Semakin lama duduk di situ semakin seram rasanya. Tiba-tiba saya mendengar satu benda besar melompat di hadapan saya. “Datang kau ya, salam…” saya menyuluh dengan lampu picit. Di depan saya tersergam seekor katak sebesar nyiru.
Cepat-cepat saya pangkah belakangnya dengan kapur. Kemudian katak berkenaan hilang dari pandangan mata saya. Peluh mula berbintik-bintik di dahi saya.Selepas kemunculan katak sebesar nyiru itu saya tidak menemui apa-apa lagi. Puas saya melakukan apa yang di suruh Tok' Leh™, tetapi tidak ada apa pun yang melintas. Lama saya menunggu di bawah rumpun pisang baru menjulur jantung itu. Nyamuk juga banyak mengiang-ngiang di teliga menyebabkan saya tidak dapat membuat amalan bertapa itu dengan khusuk (konsentrasi). Sehingga jauh malam saya merasa mengantuk. Baru mahu tersengguk tiba-tiba saya terdengar bunyi tapak kaki orang berjalan. Hentakan kaki itu bagaikan bergegar bumi tempat saya duduk itu. Oleh sebab gegarannya yang kuat membuatkan saya menjadi gementar. Belum pun sempat saya melihat siapakah yang berjalan itu saya terdengar bunyi orang terbatuk-batuk, sayup-sayup bunyi batukkan itu jauh di awan. Keadaan ini menambahkan saya semakin gementar. Disebabkan rasa takut semakin menekan perasaan, saya pun lantas bangun lari meninggalkan tempat pertapaan itu. Saya tidak peduli apa yang tejadi kepada bapa saudara saya. Sebaliknya saya terus berlari balik ke rumah.
Tercungap-cungap saya sampai di rumah. Kira-kira jam dua pagi saya sampai di rumah. Sehingga subuh saya masih tidak dapat melelapkan mata apabila sudah sampai di rumah. Semua peristiwa ini tidak saya beritahu kepada emak atau ayah. Hanya saya dan bapa saudara saya yang tahu apa yang kami lakukan. Tetapi besoknya saya tidak dapat pergi kerumah nenek untuk bertanyakan kepada bapa saudara saya akan pengalamannya. Saya merasa badan saya seram-seram sejuk. Keadaan saya semakin bertambah teruk bila menjelang petang. Setiap kali saya mahu melelapkan mata, terbayang saja kepada saya satu lembaga besar. Hidungnya saja sebesar tempayan dengan batuknya yang menggerunkan. Mimpi saya juga sentiasa menakutkan. Malamnya saya bermimpi tidur bersama mayat-mayat yang terbujur. Ini menyebabkan saya mengigau ketakutan. Akhirnya baru disedari bahawa saya jatuh sakit. Sepanjang saya sakit itu sering saya bermimpi betemu dengan lembaga besar. Dia mengaku dirinya penghulu bunian. “Dah panggil Tok’ Sheikh™, kenapa lari…..?” soalnya dengan suara garau. “Tok’ Sheikh™ ni siapa…” Tanya saya pula gementar. “Tok’ Sheikh™ ni penghulu bunian, Tok’ Sheikh™ nak beri, tapi awak tak mau,” dia tersenyum merenung muka saya. Dalam mimpi saya itu Tok’ Sheikh™ cuba menghampiri saya, namun saya tidak percaya kepadanya.
Saya tetap lari menjauhkan diri darinya. Tetapi kemana saja saya lari dia tetap mengekorinya. “Jangan lari, tunggu Tok’ Sheikh™ dulu….” Katanya sambil mengekori saya. Saya bertambah gementar. Saya cuba menjerit sekuat hati, tetapi tidak siapapun mendengar jeritan saya. Akhirnya saya terjerumus ke dalam liang kubur. Di situ ada berpuluh-puluh mayat terbujur. Saya tertiarap di atas mayat-mayat berkenaan. Mimpi menakutkan ini sentiasa berulang setiap malam. Kemudiannya saya diberitahu bahawa dalam keadaan tersebut saya sentiasa meracau-racau. Dukun Amid telah dipanggil untuk mengubat. Mengikut kata Dukun Amid saya sudah tersampuk orang bunian. Rupanya, semasa saya jatuh sakit itu, bapa saudara saya juga jatuh sakit. Tetapi dia tidaklah meracau-racau seperti saya. Yang mengubat bapa saudara saya juga bukannya nenek saya atau pun Dukun Amid. Tetapi dia minta untuk diubat sendiri. Bapa saudara saya dikatakan ‘menurun’. Dia minta dibuatkan kelabu kuning untuk tempat tidurnya. Dari cara sakit yang menimpa bapa saudara saya itu. Dukun Amid juga mengatakan bahawa bapa saudara saya tidak sakit. “Khatib ni dah ada pengasuh…” Dukun Amid memberitahu nenek saya. Nenek faham dengan kata-kata Dukun Amid. Baik Dukun Amid, mahu pun nenek tidak lagi memanggil bapa saudara saya dengan namanya, tetapi dengan panggilan ‘moyang’ apabila berkata-kata dengannya.
Suatu hari ayah saya telah melaporkan kepada polis dengan mengatakan bapa saudara saya itu gila. Dengan tidak banyak usul periksa, pihak polis telah datang untuk menangkapnya. Sebaliknya semasa pihak polis sampai bapa saudara saya sudah mengetahuinya terlebih dulu. “Mengapa mahu ganggu moyang?” bapa saudara saya kelihatan seperti orang tua. “Kami nak bawa moyang ke balai,” Sarjan Polis yang mengepalai pasukannya itu menyahut. “Mengapa mahu bawa moyang ke sana?” soalnya. “Moyang boleh berihat,” ujar Sarjan Polis macam memujuk. “Baliklah awak semua, jangan ganggu moyang,” dia mengingatkan. Tetapi dengan permintaan ayah saya, dia menyuruh pihak polis menangkap bapa saudara saya itu. Sebaik saja pasukan polis mahu menghamprinya, bapa saudara saya yang tertegak di tengah halaman teus melompat naik ke atas bumbung. Perbuatan bapa saudara saya itu dilihat sendiri oleh pihak polis.
Pada masa ini saya tidaklah melihatnya kerana saya juga sakit. Semua ini diceritakan semula oleh nenek saya. Perbuatan bapa saudara saya boleh melompat dari tengah halaman naik ke atas bumbung memanglah perkara luar biasa. “Saya dah kata, dia ni bukannya sakit. Dia ni sedang diasuh oleh moyang,” Dukun Amid memberitahu ayah saya sambil memerhatikan bapa saudara berjalan di atas bumbung rumah, bagaikan sedang berjalan di atas bumi saja lakunya. Ayah saya memanglah tidak berapa mempercayai dengan apa yang berlaku ke atas bapa saudara saya. Bagaimana pun dia merasa heran bagaimana bapa saudara saya boleh melompat setinggi itu.Setelah berbincang dengan pihak polis, di samping perkara itu disampaikan oleh nenek saya kepada Orang Besar Daerah, maka pihak polis bersetuju menyerahkan perkara bapa saudara saya untuk di rawat secara tradisional. Sejak peristiwa itu bapa saudara saya sentiasa membenci ayah saya. Kadang-kala dia tidak membenarkan ayah saya ada bersama di rumahnya. Dengan perantaraan Tok' Leh™ yang diminta oleh nenek saya membantu Datuk Amid, bapa saudara saya ditempatkan di hujung serambi dengan di buatkan kelambu kuning untuknya.
Pakaiannya juga serba kuning. Makanan untuknya disediakan tidak boleh dari sisa-sisa orang. Dia juga dilarang memakan barang-barang yang dibeli dari kedai Cina. Terpaksalah nenek saya membeli padi dari orang-orang kampong supaya tidak membeli beras dari kedai Cina. Garam juga terpaksa dibeli dari kedai orang-orang Melayu atau India Muslim. Syarat-syarat ini adalah ditetapkan oleh To’Leh. Mengapa syarat-syarat itu dibuat tidak siapa pun mengetahui. Bapa saudara saya sentiasalah duduk di dalam kelambunya. Tetapi bila malam lepas maghrib saja Tok' Leh™ akan membakar kemenyan. Tidak lama selepas kemenyan dibakar, bapa saudara saya mula terbatuk-batuk lalu memberi salam. “Assalamualaikum….” Katanya dengan suara yang luar biasa. “Waalaikumsalam, moyang,” sahut Tok' Leh™. “Apa halnya panggil moyang?” Tanya bapa saudara saya dari dalam kelambunya. Selepas itu Tok' Leh™ menyuruh siapa saja bertanyakan masalahnya kepada bapa saudara saya itu. Ada yang bertanyakan tentang penyakit, ada yang bertanyakan tentang perkara-perkara lain. Kalau ada orang yang mengadu tentang penyakit,dia akan menawarkan air atau ubat untuk pesakit berkenaan.
Dalam keadaan begitu bapa saudara saya sudah dianggap oleh mereka sebagai dukun. Disebabkan ketika itu saya sakit, maka emak saya pun mengambil peluang meminta dia mengubatkan saya. Bagi mengubatkan saya, dia menyuruh emak saya siapkan tujuh geluk air. Di samping itu dia juga meminta carikan limau nipis untuk melangir saya di sebuah kubur yang di anggap keramat (sebenarnya kubur tidak mempunyai apa-apa keramat pun). Ayah saya telah berusaha mencari limau nipis di seluruh kampung. Sayangnya, kalau ada pun pokok limau tetapi tidak ada buahnya. Sampai kekampung lain pun ayah saya mencari limau, namun tidak dapat juga. Pada sebelah malamnya waktu orang nyenyak tidur, ayah saya terdengar bunyi geluk air itu bagaikan dipukul orang. Esoknya apabila bapa saudara saya datang menjengah saya, perkara geluk air berbunyi itu diberitahunya kepada bapa saudara saya.
Cepat-cepat dia memeriksa isi geluk. “Ah, ada pun limau di dalam ni,” kata bapa saudara saya sambil menyelukkan tangannya ke dalam geluk. Tiba-tiba dia menyerit kesakitan sambil mengurut-ngurut tangannya. “Mengapa tu?” Tanya ayah saya keheranan. “Air ni panas…..” dia mengerang-ngerang kesakitan. Saya lihat tangan bapa saudara saya kemerah-merahan seperti terkena air panas. Bertambah heran lagi, dari manakahn datangnya limau yang ada di dalam geluk air itu. Kalau mahu dikira air itu panas, buah limau itu tidak pula lecur kulitnya. Setelah membaca sesuatu balrulah bapa saudara saya mengambil limau dari dalam geluk tadi. Kali ini dia tidak mersa panas lagi. Demikianlah keanehan peristiwa ini yang berlaku di depan mata saya sendiri. Apabila limau ini sudah diperolehi, saya pun di bawa ke kubur yang di sebutkan tadi. Di situ saya dilangirnya dengan air diari tujuh geluk.
Sejak itu tidaklah ada lagi gangguan mimpi yang menakutkan itu apabila saya melelapkan mata. Sama ada anda percaya atau tidak, itulah hakikat sebenarnya yang pernah saya alami. Tetapi akhir-akhir ini bapa saudara saya tidak lagi menjadi bomoh yang dipanggil ‘moyang itu. Sebaliknya dia di anggap ‘sasau’ pula, kerana kelakuannya yang sering cepat panas baran. Kononnyadia telah melanggar pantang larang yang disyaratkan oleh Tok' Leh™. Dia pernah dikatakan minum teh di kedai kopi kepunyaan orang Cina. Makanannya juga tidak lagi diasingkan. Entah benar, entah tidak saya sendiri kurang maklum. Untuk mengetahui pengalaman dia semasa sama-sama bertapa dulu, baru sekarang dapat saya bertanyakan kepadanya. Menurut ceritanya dia berjaya melakukan seperti apa yang diajar oleh Tok' Leh™.
Tidak lama dia duduk di bawah rumpun pisang itu sekumpulan lebah telah menghurungi tubuhnya. Dia memangkah lebah yang bersarang pada tubuhnya itu dengan kapur yang disediakan. Tidak lama kemudian lebah berkenaan terbang meninggalkannya. Belum sempat dia berihat, melompat pula tikus putih sebesar kucing di hadapannya. Selepas tikus itu ghaib muncul pula ular tedung selar macam mahu memagut. Ular itu juga hilang apabila dipangkah dengan kapur. Akhir sekali datanglah orang tua memakai jubah kuning, janggut sampai ke kaki, tongkatnya rotan songsang. Orang tua litu memperkenalkan dirinya sebagai Tok’ Sheikh™, penghulu orang bunian. “Bertapa ni ilmu salah….” Tok’ Sheikh™ berdiri tegak di hadapan bapa saudara saya. “Tok' Leh™ yang suruh saya bertapa Tok’ Sheikh™,” bapa saudara saya memberanikan hati menjawabnya. “Salah bertapa ni. Anak masih muda lagi, carilah ilmu yang baik.Tok’ Sheikh™ tahu anak menunggu sesuatu masuk ikut jantung pisang tu, kemudian anak akan memancung pangkal pisang sebelum benda itu jatuh ke umbi pisang. Itu kerja sia-sia. Benda itu tidak akan datang kalau Tok’ Sheikh™ ada disini,” ujar orang tua itu mengingatkan. Pada mulanya bapa saudara saya menyangka orang tua itu hanya sebagai sebahagian dari ujian juga. Dia cuba memangkahnya dengan kapur.
Cepat-cepat tangannya ditepis oleh Tok’ Sheikh™. “Saya ni penghulu bunian, saya kesihan melihat anak kerana mahu menuntut ilmu salah ini. Mari ikut Tok’ Sheikh™ supaya anak terselamat dari ilmu yang salah ini…..” katanya lalu menarik tangan bapa saudara saya. Mahu tidak mahu bapa saudara saya mengikut saja ke mana dibawa oleh Tok’ Sheikh™. Dia dibawa oleh Tok’ Sheikh™ ke sebuah kampung yang permai. Di situ ada tasik yang cantik, ada taman dan bunga-bungaan yang kembang mekar. Kemudian dia dibawa masuk ke dalam istana penghulu bunian.
Di situ ramai wanita-wanita yang cantik megelilingi dia. “Tok’ Sheikh™ harap anak lupakan saja fasal ilmu yang dituntut, ilmu itu salah,” penghulu bunian mengingatkan dia. “Apakah Tok’ Sheikh™ mahu mengagalkan saya?” bapa saudara saya menunjukkan sikap berani. “Iya, fasal ilmu itu salah,” jawabnya tegas. “Mana To’Sheikh tahu, ilmu ni salah?” bapa saudara saya semacam marah. “Tok’ Sheikh™ dah tua, Tok’ Sheikh™ tau semuanya,” ujarnya merenung muka bapa saudara saya. “Anak mahu belajar ilmu setan, anak mahu minta pertolongan pada setan,” dia tertawa macam mengejek bapa saudara saya. “Tok’ Sheikh™ pun setan,” jerkah saudara bapa saya semakin berani. “Setan tak sama dengan Tok’ Sheikh™. Tok’ Sheikh™ jua tidak sama dengan setan. Tok’ Sheikh™ ni penghulu bunian, dan bunian ni tidak sama dengan setan. Bernasib baik anak ni berjumpa dengan Tok’ Sheikh™. Kalau tidak, tentu anak sudah dapat diperdaya oleh setan,” penghulu bunian menjelaskan.
Akhirnya bapa saudara merasa takut bila mengenangkan dia berada di kampung orang bunian. Dia tidak akan dapat balik kalau tidak dengan bantuan penghulu bunian itu. “Tok’ Sheikh™ lah berikan saya ilmu,” dia memberanikan hatinya. Tok’ Sheikh™ tidak menyahut, tetapi dia menanggalkan serbannya yang kuning lalu diberikan kepada bapa saudara saya. “Bawalah balik serban ni, selagi anak tak makan barang-barang kafir, Tok’ Sheikh™ sentiasa ada bersama anak,” katanya lalu ghaib dari pandangan mata bapa saudara saya Ucu Khatib. Setelah Tok’ Sheikh™ itu ghaib dia dapati dirinya sudah berada di halaman rumahnya. Ketika itu hari sudah pagi kira-kira jam enam (kalau sekarang jam 5.30 pagi). Serban kuning yang diberi oleh To’Sheikh itu masih ada di tangannya. Semasa dia ‘menurun’ serban itu sentiasa dipakai di kepalanya. Tetapi selepas dia melanggar pantang, serban berkenaan terbakar menjadi abu.
Kononnya semasa menyapu sampah di atas rumah, nenek saya terpandang serban itu seperti kertas-kertas buruk. Nenek telah membawanya ke tempat membuang sampah lalu di bakarnya. Sejak itulah orang-orang kampung menganggap Ucu Khatib ‘sasau’ tetapi saya dan Tok' Leh™ tahu bagaimana Ucu Khatib boleh jadi begitu.
Selesai
Catat Ulasan