Jilid 25 Bab 98 Bertemu Puteri Bunian




SEMUANYA bermula dengan tidak disedari oleh Mat Akir. Kegemarannya belajar ilmu-ilmu kebatinan tidak ada batasan. Disamping itu dia juga belajar ilmu pengasih supaya dirinya sentiasa dipandang kasih oleh siapa saja. Satu ketika sewaktu dia memasang rawai di sungai jauh ke hulu sedikit, dia tercium bau wangi. Kemudian terpandang olehnya seorang gadis berjuntai kaki ke air, duduk di atas perdu pokok kelepung. Gadis itu sungguh cantik, kulitnya putih, hidungnya mancung, giginya putih bersih, matanya bulat, rambutnya ikal mayang, dan mukanya bujur sirih. Pada mulanya Mat Akir tidak mahu menghiraukan sangat gadis tersebut. Dia mengesyaki juga sesuatu, kerana selama ini dia belum pernah melihatnya.

Walau bagaimanapun dia cuba melarikan diri dari gadis berkenaan, namun hatinya bagai diruntun-runtun supaya mendekatinya. Akhirnya dia memberanikan hati menegur gadis tersebut. Dia bersedia menghadapi apa saja risiko, kerana ilmu di dadanya sudah cukup dibekalkan. “Buat apa duduk di situ, nak mandi ke?” tegur Mat Akir tersenyum. “Iya, saya nak mandi. Tetapi saya nampak awak memasang rawai, sebab itu saya tak jadi nak mandi,” sahut gadis itu mengerling manja. “Awak seorang saja ke?” tanyannya lagi. “Iya, saya memang suka berseorangan,” jawabnya perlahan. “Tidakkah awak takut?” Mat Akir cuba menduga. “Apa nak ditakutkan, tempat ni tempat kita,” gadis itu tidak lepas mengerling kearah Mat Akir. Mat Akir terus memasang rawai, sementara gadis berkenaan duduk juga berjuntai kaki ke air. Kakinya dihayun-hayun ke dalam air hingga menampakkan betisnya yang putih melepak. Hari itu Mat Akir banyak mendapat ikan. Mahu juga hatinya mengendap di mana rumah gadis tersebut. Tetapi didapatinya kawasan itu penuh dengan belukar teberau. Tidak ada lorong orang turun ke air, atau menunjukkan adanya terdapat rumah di situ.

Apabila balik ke rumah Mat Akir tidak dapat melupakan gadis yang dilihatnya di sungai itu. Ilmu pengasihnya selama ini sudah tidak memberi kesan lagi kepadanya. Sepatutnya gaids itu yang selalu terkenang-kenangkan dia bila malam menjelang. Sebaliknya dia sendiri tidak dapat mententeramkan hatinya. Esok pagi-pagi lagi dia sudah membawa rawai ke sungai. Dia menuju ke tempat dia bertemu gadis itu semalamnya. Lama dia menunggu di situ sehingga matahari terbit segalah, barulah kelihatan gadis berkenaan datang untuk mandi. Dari pertemuan itu teruslah membibitkan perasaan cinta di antara dua makhluk itu. Masing-masing sudah berjanji tidak ada berpisah lagi. Rupa-rupanya ilmu pengasih yang ada pada Mat Akir masih berkesan.

Sayangnya gadis itu tidak dapat menunjukkan dirinya di depan masyarakat umum. “Namaku Puteri Bongsu, puteri penghulu bunian,” dia menerangkan kepada Mat Akir. “Aku tahu kau mencintai aku dengan hati bersih, sebab itulah aku rela menerima kau. Tetapi aku tak dapat menjelma di depan masyarakat kau, kerana kita makhluk yang berlainan,” jelasnya lagi. “Bagaimanakah kita boleh berjumpa selalu?” Mat Akir meluahkan perasaannya. “Aku menunggu kau di sini.....” sahut Puteri bongsu memberi jaminan. “Bolehkah aku berjumpa dengan ayah kau?” tanya Mat Akir. “Bersabarlah dulu, nanti bila tiba masanya aku bawa kau bertemu dengan ayahku,” kata Puteri Bungsu memeluk tubuh Mat Akir. “Ayahku marah, kalau aku bawa kau dengan tidak izinnya,” dia menjelaskan. Sejak itu seringlah Mat Akit bertemu dengan Puteri Bungsu. Namanya juga sudah ditukar oleh Puteri Bungsu kepada Putera Ali. Pada Puteri Bungsu dia bukan lagi Mat Akir, tetapi Putera Ali. Dalam masa pertemuannya dengan Puteri Bungsu inilah sikap Mat Akir mula berubah. Dia tidak lagi suka bercampur dengan kawan-kawannya seperti Latip Debok, Sarip Uncoi dan anak-anak muda yang sebaya dengannya. Dia lebih suka ke hutan mencari manau, rotan atau damar seorang diri saja. Orang-orang kampung juga merasa heran mengapa Mat Akir berubah sikap, tetapi mereka tidak lah mengesyaki apa-apa. Mereka percaya kerana terlalu banyak menuntut ilmu kebatinan itulah sikapnya berubah. Setiap kali Mat Akir balik dari hutan dia akan memperolehi banyak rotan, manau atau damar.

Rezekinya juga boleh di kira sangat baik. Mak Teh tidaklah banyak soal jawabnya, kerana dia tahu Mat Akir seorang yang kuat bekerja. Kalau dia pergi merawai di sungai banyak ikan diperolehinya. Kadangkala Mak Teh sedekahkan pula pada jiran-jiran. Semasa Mat Akir ke hutan mencari rotan, memang Puteri Bungsu menemankan dia. Hinggalah pada suatu hari Puteri Bungsu mengajak dia bertemu dengan ayahnya. Peluang yang ditunggu-tunggunya selama ini tidak dilepaskan oleh Mat Akir. Puteri Bungsu membawanya ke satu tanah lapang yang dipenuhi oleh kabus memutih. Dia tidak dapat melihat dengan jelas di manakah dia berada. Dia hanya mengikut saja ke mana dibawa oleh Puteri Bungsu. Tiba-tiba saja dia sampai ke sebuah perkampungan yang indah. Orang-orang kampung yang melihat dia berjalan bersama Puteri Bungsu itu tercengang-cengang keheranan. Kampung itu belum pernah dilihat lagi oleh Mat Akir. Dia kemudiannya dibawa masuk ke sebuah rumah besar seperti istana. Jalan untuk sampai ke istana melalui kolam-kolam yang dipenuhi dengan teratai memutih. Apabila masuk ke dalam dewan istana, Puteri Bungsu tiba-tiba menghilangkan diri.

Tinggallah dia seorang tergegak di tengah dewan. Namun Mat Akir tidak merasa takut apa-apa. Sebagai seorang yang penuh ilmu di dada, memang Mat Akir bersedia menghadapi siapa saja musuhnya. “Selamat datang Putera Ali....” suatu suara menegurnya kemudian muncul seorang lelaki berjanggut yang mendakwa dirinya penghulu bunian. Mat Akir membongkok memberi hormat. “Penghulu berniat jahat atau berniat baik?” soalnya sambil meraba-raba parang di pinggang. Penghulu Bunian tersenyum dengan sikap Mat Akir itu. “Tak payah Putera Ali bertanya niat saya, kalau saya berniat jahat tak sampai Putera Ali ke mari,” ujarnya macam menyindir. Mat Akir terdiam. Terasa juga bimbang di hatinya kerana menunjukkan sikap demikian. Mana tahu kalau hasratnya mahu mengambil Puteri bungsu menjadi isteri akan ditolak, kalau dia bersikap kurang ajar terhadap Penghulu Bunian.

Tetapi kalau dia menunjukkan sikap takut, tentu dirinya akan diperolok-olokkan pula. Bila dilihatnya air muka penghulu Bunian yang jernih dia dapat memahami bahawa kedatangannya diterima dengan baik. Penghulu Bunian juga sudah mengetahui mengenai percintaannya dengan Puteri Bungsu. “Penghulu dah tahu niat Puteri Ali.....” kata Penghulu Bunian merapati Mat Akhir. “Tetapi Putera Ali mesti berjanji merahsiakan perkara ini dari pengetahuan masyarakat Putera Ali. Kita ini berlainan jasad. Putera Ali jasad kasar, kami ni jasad halus,” Penghulu Bunian mengingatkan. “Merahsiakan macam mana?” tanya Mat Akir tegas. “Sebelum Putera Ali dinikahkan dengan Puteri Bungsu, janganlah ceritakan perkara ini pada keluarga Putera Ali. Kalau dah nikah nanti, tak apalah. Sebab masa tu, Putera Ali sudah menjadi keluarga kami. Putera Ali tidak akan balik lagi kepada keluarga Putera Ali,” jelasnya memandang tepat ke muka Mat Akir. “Saya setujulah dengan syarat tu,” sahut Mat Akir. Dia memang sudah nekad untuk menikahi Puteri Bungsu sekalipun terpaksa berpisah dengan emaknya. Dia merasakan cintanya pada Puteri Bungsu sudah tidak dapat dipisahkan lagi oleh sesiapa pun. Mat Akir bersedia menjadi keluarga masyarakat bunian untuk selama-lamanya. Inilah janjinya pada Puteri Bungsu.

Bagaimanapun Puteri Bungsu pernah memberitahu dia, kalau Mat Akir menjadi keluarga bunian dia di benarkan juga bertemu dengan keluarganya. Syaratnya dia tidak boleh memberitahu tentang perkahwinannya dengan orang bunian itu. Kalau dia melanggar syarat tersebut dia terpaksa memilih antara dua sama ada keluarganya atau pun Puteri Bungsu. Kalau dia memilih Puteri Bungsu, dia tidak akan dibenarkan lagi bertemu keluarganya untuk selama-lamanya. “Macam mana pun Putera Ali kena berfikir juga dululah. Saya benarkanlah Putera Ali tinggal di sini semalam dua dulu, lepas tu bolehlah balik pada keluarga Putera Ali, dan berfikirlah habis-habis sebelum datang ke sini,” kata Penghulu Bunian mengingatkan.

Sekonyong-konyong Penghulu Bunian itu ghaib dari pandangan Mat Akir. Kemudian dia dibawa oleh seorang perempuan tua ke sebuah bilik, katil tempat tidurnya dihiasai dengan lampu-lampu berbagai warna. Di situlah dia disuruh berehat. Semuanya berlaku seperti dalam mimpi kepada Mat Akir. Tetapi dia yakin bahawa dirinya bermimpi. Dia dapat merasakan semua itu berlaku di hadapan matanya. Malah Mat Akir sudah merasakan dunia bunian itu tidak lagi asing kepadanya. Dalam dia berfikir-fikir itu datanglah perempuan tua itu membawakan dia hidangan makanan yang lazat-lazat. Dengan tidak berfikir panjang Mat Akir memakannya dengan rakus. Dia tidak peduli lagi tentang cerita orang-orang tua bahawa makanan yang dihidangkan oleh orang bunian sebenarnya ialah cacing gelang-gelang dan tahi cacing itu. Air minuman yang manis seperti serbat itu sebenarnya air dari kubang babi atau gaung di sekitar kawasan tersebut.

Ketika ini Mat Akir tidak pedulikan apa lagi. Dia terus menikmati makanan yang di hidangkan itu. Setelah makan perempan tua yang melayani dia pun mengemas-ngemaskan pinggan mangkuk, langsung ghaib dari pandangan mata. Walaupun Mat Akir mempunyai kelebihan ilmu kebatinan, tetapi dia semacam terpukau oleh keindahan di tempat bunian itu. Oleh itu dia tidak pernah merasa dirinya di aniaya oleh bunian. Selalunya ilmu kebatinan itu digunakan untuk mempertahankan diri dari dianiaya oleh orang lain. Sebaliknya Mat Akir merasakan dirinya sentiasa dihormati oleh orang-orang bunian di situ. Selepas makan datanglah Puteri Bungsu mengajaknya mandi dikolam. Mat Akir mengikut saja segala kemahuan Puteri Bungsu. Kasihnya kepada Puteri Bungsu benar-benar mendalam, bukan hanya godaan nafsu semata-mata.

Telah menjadi kelazimannya sesiapa yang benar-benar jujur dalam percintaannya, memang dapat diterima oleh orang bunian. Mengikut cerita orang tua-tua kelebihan orang-orang bunian ialah mereka dapat menilai kejujuran hati seseorang itu. “Sudikah Putera Ali mengambil saya menjadi isteri?” tanya Puteri bungsu semasa mereka sama-sama mandi di kolam. “Kalau tak sudi masakan saya datang ke sini...” sahut Mat Akir mengerling tubuh Puteri Bungsu yang berkemban saja. “Saya takut cuma saya bertepuk sebelah tangan,” ujarnya perlahan. “Tidakkah Puteri Ali sedar kami ini berlainanmakhluk. Putera Ali dari jasad kasar, saya dari jasad halus?” katanya semacam mahu menduga hati Mat Akir. “Kalau jasad kita berbeza, apakah hati kita tidak boleh disatukan?” tanya Mat Akir. “Putera Ali patut menjelma menjadi jasad yang halus juga,” beritahu Puteri Bungsu bercampur sangsi kalau-kalau Mat Akir menolak. “Hanya dengan Putera Ali menjadi jasad halus sajalah kita tidak berpisah lagi, keranakalau tidak bertukar jasad saya bimbang Putera Ali akan kembali semula kepada keluarga Putera Ali,” dia menjelaskan dengan penuh harapan. “Saya sudah memberitahu semuanya pada Penghulu Bunian,” Mat Akir menerangkan.

Dia memang sudah nekad untuk tinggal bersama masyarakat bunian. Kasihnya pada Puteri Bungsu sudah tidak dapat dipisahkan oleh sesiapa pun. Dia rela jasadnya bertukar menjadi jasad halus yang tidak dapat dilihat lagi oleh orang-orang kampungnya. Memang dia tahu wanita yang dicintainya itu bukan manusia biasa, tetapi makhluk yang hidup bernyawa juga. Apalah salah baginya kalau mencintai sesama makhluk. Sedangkan Puteri Bungsu juga mencintai dia. Dia juga tahu adalah mustahil Puteri Bungsu menjelma menjadi jasad kasar sepertinya, kerana pantang larangnya terlalu banyak kalau dia menjelma ke alam nyata. Mat Akir memang tidak sanggup memenuhi pantang larang itu sekiranya Puteri Bungsu menjelma menjadi manusia biasa. Kononnya mengikut petua gurunya, kalau orang bunian itu menjelma menjadi manusia biasa, adalah menjadi larangan kepadanya memakan benda-benda yang berdarah.

Tidak boleh bertengkar, tidak boleh memarahinya, dan macam-macam lagi yang sukar diterima oleh manusia biasa. Sebab itu dia lebih rela meninggalkan keluarganya dan jasad kasarnya untuk bersama-sama dengan masyarakat bunian. “Apa yang Putera Ali beritahu pada Penghulu?” tanya Puteri Bungsu. “Biarlah saya mengikuti Puteri Bungsu, kerana saya tidak menyanggupi memenuhi syarat-syarat kalau Puteri Bungsu mengikut saya,” tegasnya tidak lepas memandang tubuh Puteri Bungsu yang berkemban ditepi kolam. “Saya tahu Putera Ali bemar-benar mencintai saya, sebab itu saya juga benar-benar mencintai Putera Ali,” bisiknya lemah lembut. “Macam mana pun Penghulu menyuruh saya menghantar Putera Ali balik dulu kepada keluarga Putera Ali, nanti bila sampai masanya kita akan dinikahkan, saya akan datang mengambil Putera Ali semula,” dia memberi tahu. Pada malamnya Mat Akir tidur seorang diri saja di dalam biliknya. Teringat juga pada dia bahawa kalau tidur di atas tilam bunian, biasanya tidur di dalam kubang babi. Tapi Mat Akir tidak peduli.

Dia tetap yakin dirinya dipelihara baik baik oleh orang bunian. Hanya orang-orang yang menganggap dirinya diperdaya oleh bunian saja akan menerima akibat demikian. Memang Mat Akir sudah mengetahui cerita menenai orang-orang yang pernah disembunyikan oleh bunian. Bila mereka sedar semula mereka dapati makanan yang diberikan kepadanya hanya tahi cacing. Tempat tidurnya ialah kubang babi. Mereka yang menerima nasib demikian, selalunya hati mereka tidak jujur. Niat mereka ialah untuk memperdayakan orang-orang bunian, sebaliknya mereka sendiri yang kena perdaya. Apabila mereka tergoda dengan gadis-gadis bunian yang cantik-cantik mereka bertujuan untuk merosakkannya. Sebab itulah mereka diperdayakan oleh bunian. Tetapi pada Mat Akir hatinya ikhlas. Dia tidak bertujuan untuk menyakiti hati orang-orang bunian. Semenjak dia menuntut ilmu kebatinan hatinya sudah mula diruntun oleh perasaan cintakan gadis bunian. Oleh itu bila dia terpandangkan Puteri Bungsu, cintanya sudah mula bertunas.

Apa saja hadiah diberi oleh Puteri Bungsu kepadanya belum pernah bertukar rupa apabila dibawa balik ke rumah. Pernah orang menyatakan kalau bunian memberi gelang atau barang-barang kemas, sebenarnya ialah lipan atau kala. Kalau memberi wang selalunya ialah daun-daun kering. Barang-barang itu akan bertukar rupa bila orang bunian itu ghaib. Perkara seperti itu belum pernah terjadi pada Mat Akir. Hatinya tetap cinta sepenuh hati kepad Puteri Bungsu. Oleh itulah dia yakin bahawa Puteri Bungsu tidak memperdayakan dia. Esoknya, pagi-pagi lagi Puteri Bungsu sudah mengejutkan dia dari tidur. Mereka sama-sama mandi di kolam. Selepas minum bersma-sama dengan Penghulu Bunian, dia pun meminta izin untuk balik ke kampungnya. “Fikirlah habis-habis Putera Ali,” kata Penghulu Bunian semasa mereka makan. “Baiklah Penghulu. Bagaimana pun biarlah saya berterus terang, bahawa saya rela meninggalkan segala-galanya di kampung saya, untuk datang berhamba pada Penghulu,” Mat Akir memberi pengakuan. “Saya tahu hati Putera Ali memang jujur, sebab itu kami menerimanya pun dengan jujur. Kami sedia menunggu kedatangan Putera Ali,” balasnya bercampur bangga. “Terima kasihlah atas budi baik Penghulu,” Mat Akir memberi hormat apabila mahu berangkat balik. Penghulu Bunian menghantarnya sampai ke pintu pagar istana. Semasa keluar dari pintu pagar, Puteri Bungsu terus menghantarnya. Mereka melaui denai tetapi diselubungi oleh kabus tebal. Kelilingnya memutih tidak kelihatan pun pokok-pokok yang menghijau. Tempat itu terlalu asing pada Mat Akir. “Bolehkah saya memegang jari Puteri Bungsu?” tanya Mat Akir memberanikan hatinya. Puteri Bungsu tidak menyahut.

Dia terus berjalan tidak menoleh kebelakang. Mat Akir mengikut saja dari belakang. Bimbang juga dia Puteri Bungsu marah dengan pertanyaannya tadi. Maklumlah hati orang bunian mudah tersinggung, demikianlah yang diketahuinya melalui petua gurunya. “Marahkah Puteri Bungsu dengan pertanyaan saya tadi?” Mat Akir merasa bimbang. “Apakah tujuan Putera Ali mahu memegangnya, sama ada niat jahat atau niat baik?” Puteri Bungsu pula menyoalnya. “Saya berniat baik kerana terlalu kasih pada Puteri Bungsu. Tetapi kalau Puteri Bungsu tidak benarkan, saya tidak akan memegangnya,” sahut Mat Akir perlahan. Tiba-tiba Puteri Bungsu berhenti. Perlahan-lahan dia berpaling ke belakang sambil menghulurkan tangannya. Mat Akhir pun menyambut tangan itu lalu dipimpinnya dengan penuh kasih sayang.

Dia merasakan jari Puteri itu terlalu lembut bagaikan kapas. “Kita sudah semakin hampir sampai ke kampung Putera Ali.....” Puteri Bungsu mengingatkan. “Ingatlah semula pesan Pengulu supaya rahsiakan pertemuan kita ini dari pengetahuan orang-orang kampung,” katanya sambil meminta tangannya di lepaskan. “Saya tetap ingat,” Mat Skir menganggukkan kepala lalu melepaskan jari Puteri Bungsu dari genggamannya. “Ingatlah, Putera Ali masih lagi berjasad kasar. Kita belum boleh lagi bersatu,” kata Puteri Bungsu. Mat Akir mengangguk. Dia tidak bimbang kalau menjelma menjadi jasad halus seperti bunian. Tidak ada pantang larang yang harus dipegangnya selagi dia terus mematuhi keadaan hidup masyarakat bunian. Sejak dari mula lagi dia tidak berani membawa Puteri Bungsu menjelma menjadi manusia biasa. Kalau dia membawa Puteri bungsu, banyak pula tohmah dan fitnah yang mesti dihadapinya.

Walaupun Penghulu Bunian membenarkan dia membawa Puteri Bungsu, tetapi dia tidak sanggup memegang pantang larang tersebut. Takdirnya berlaku pertengkaran suami isteri dan dia terpaksa memarahi Puteri Bungsu, malah petaka akan menimpa dirinya. Begitu juga kalau emaknya tidak sengaja memarahi Puteri Bungsu, tentulah mereka akan menerima kebinasaan. Oleh itulah dia sendiri memilih untuk mengikuti Puteri Bungsu. “Sampai di sinilah dulu Putera Ali.....” Puteri Bungsu tiba-tiba memeluk leher Mat Akir lalu mengucup bibirnya. “Saya akan selalu mencari Putera Ali sehingga kita akan dinikahkan oleh Penghulu,” katanya, kemudian hilang dari pandangan Mat Akir. Apabila kabus tebal hilang. Mat Akir dapati dia berada di perdu pokok kelepung tepi sungai, di tempat dia selalu memasang rawai.

Teruslah dia balik ke rumah dengan bermacam-macam persoalan di kepalanya. Ketika inilah orang-orang kampung gempar mengatakan Mat Akir hilang selama tiga hari. Tetapi dengan pulangnya Mat Akir semula, mereka merasakan semuanya sudah selamat.

Selesai



0/komen