Rampas Pesawat Selepas Bergaduh Dengan Isteri



ANGGOTA keselamatan Bangladesh berkawal berhampiran pesawat yang dirampas di Lapangan Terbang Chittagong, Bangladesh kelmarin.

DHAKA, Bangladesh - Seorang perampas yang mati ditembak oleh pasukan komando Bangladesh didapati membawa pistol mainan dan memberitahu perunding bahawa dia mahu mengambil alih pesawat menuju ke Dubai tersebut kerana bergaduh dengan isterinya, kata beberapa pegawai semalam.

Lelaki berumur 25 itu mati akibat lukanya selepas menjadikan serang anak kapal Biman Airlines sebagai tebusan, memaksa pesawat tersebut mendarat cemas di Lapangan Terbang Chittagong lewat kelmarin.

Kira-kira 134 penumpang dan 14 kru penerbangan itu dibebaskan tanpa sebarang kecedera­an selepas operasi pasukan komando yang mengambil masa tidak sampai 10 minit.

Pengurus Lapangan Terbang Chittagong, Sarwar-e-Jaman berkata, perampas itu mengalami ‘kecelaruan mental’.

“Punca dia merampas pesawat adalah kerana dia mempunyai masalah dengan isteri­nya dan dia mahu bercakap dengan Perdana Menteri, Sheikh Hasina,” kata Sarwar.

Penerbangan BG147 berlepas dari Dhaka ke Dubai melalui Chittagong apabila insiden rampasan berlaku.

Lelaki itu yang hanya dinamakan sebagai Mahadi, dilaporkan membawa sepucuk senjata api di dalam kabin pesawat dan cuba menyerbu kokpit, memaksa juruterbang melakukan pendaratan cemas

0/komen