LONDON - Sebuah syarikat di United Kingdom mahu mengupah seorang individu untuk mengembara ke serata dunia dan menikmati masakan berasaskan sayur-sayuran dengan bayaran £50,000 (RM269,000) setahun.
Vibrant Vegan Co. memaparkan iklan jawatan kosong ‘Pengarah Rasa’ di laman web syarikat itu yang memerlukan calon untuk mengembara ke beberapa negara termasuk India, China, Turki, Chile, Mexico dan Jepun untuk menguji makanan tersebut serta memberi maklum balas mengenainya.
Tugas kembara sambil makan itu mungkin boleh berlangsung selama empat bulan pada satu-satu masa dan semua kos termasuk perjalanan, penginapan serta makanan akan ditanggung sepenuhnya.
“Pemohon tidak perlu mengamalkan gaya vegetarian tetapi perlu memberi fokus kepada bahan-bahan berasaskan sayur-sayuran sewaktu bekerja,” menurut iklan itu di laman web syarikat.
Calon yang ingin memohon perlu mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya tiga tahun dalam perniagaan makanan atau sebagai cef. Pemohon yang memiliki kelulusan sains pemakanan mempunyai kelebihan, namun ia bukan mandatori.
Selain bayaran gaji, pemohon yang berjaya perlu bekerja sehingga 35 jam seminggu secara fleksibel, diberi bayaran gaji penuh ketika cuti sakit dan 28 hari cuti.
Catat Ulasan