Burung kakak tua itu ditahan sewaktu serbuan pada 22 April lalu.
SEEKOR burung kakak tua yang dilatih untuk bercakap ditahan oleh pihak polis di Brazil.
Dimiliki oleh seorang pengedar dadah, haiwan itu menjerit kepada tuannya sewaktu kediaman yang didiami mereka diserbu pihak berkuasa.
"Mama, polis," kata burung kakak tua berkenaan sejurus melihat polis menghampiri kediaman itu sekaligus memberi peluang kepada pemiliknya untuk melarikan diri.
"Ia pastinya sudah dilatih. Sewaktu polis menghampiri kediaman, burung itu menjerit memberi amaran kepada pemiliknya," ujar pihak polis.
Burung itu ditahan pada 22 April lalu sewaktu serbuan di kediaman berkenaan.
Malah, cubaan pemiliknya untuk melarikan diri juga gagal dan dia ditahan bersama anak perempuannya.
Burung itu kini berada dalam jagaan pihak berkuasa.
Seorang aktivis alam sekitar memberitahu media tempatan dia mahu ke balai polis untuk membebaskan haiwan berkenaan.
Untuk rekod, ini bukanlah kejadian pertama melibatkan burung kakak tua ditahan kerana membantu penjenayah.
Pada 2010, seekor burung kakak tua ditahan selepas ia menjerit 'lari, lari..." kepada pemiliknya yang juga pengedar dadah sewaktu serbuan yang dilakukan oleh pihak berkuasa.
Catat Ulasan