Ratapi Kematian Ahli Keluarga



BANGKAI seekor gorila jenis Silverback dikelilingi beberapa kawanan gorila lain



SEEKOR gorila gunung muda menyentuh dan membelai bangkai ibunya di Taman Negara Gunung Berapi, Rwanda baru-baru ini.


TAMAN NEGARA GUNUNG BERAPI, Rwanda – Sekumpulan penyelidik di sini dan di Republik Demokratik Congo telah merakam detik-detik gorila gunung meratapi kematian ahli keluarganya di sini baru-baru ini yang merupakan satu sifat yang dahulunya hanya dikaitkan dengan manusia.

Dalam satu rakaman menyayat hati, seekor gorila muda dilihat menyentuh dan dengan lembut membersihkan bulu ibu haiwan itu yang baru meninggal dunia di satu kawasan hutan di sini.

Seorang saintis Yayasan Dian Fossey, Dr. Amy Porter memaklumkan pemerhatian pasukannya itu yang sungguh mengejutkan kerana pemerhatian di satu lagi koloni mendapati bangkai seekor gorila jenis Silverback turut diratapi gorila tanpa pertalian darah dari kawanan lain di Taman Negara Kahuzi-Biega, Republik Demokratik Congo.

“Dalam tiga kes yang kami perhatikan, anggota kumpulan itu duduk berdekatan bangkai gorila yang baru mati dan merenung ke arahnya. Selain menyentuh bangkai tersebut, semua gorila itu menjilat, mencium dan membersihkan badannya,” kata Porter.

“Ada juga sikap agresif terhadap bangkai gorila yang baru mati itu dan ia menunjukkan cubaan mendapatkan tindak balas. Ini antara bukti kuat tindak balas sikap dan fisiologi yang menunjukkan bahawa mawas meratapi kematian ahli keluarganya,” tambahnya.

Kumpulan saintis itu berkata, mawas turut mengadakan ‘majlis pengebumian’ untuk ahli keluarganya seperti mana menjadi amalan manusia

0/komen