Huawei Telah Mendaftar Tanda Dagang



Berikutan daripada sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat, Huawei sedang dalam persiapan untuk menawarkan sistem operasi alternatif mereka. Sistem operasi ini pada awalnya dikenali sebagai ‘Hong Meng OS’, namun ia dijangka akan membawa nama yang lebih komersial menerusi ‘Ark OS‘.

Huawei telah mendaftar tanda dagang ini pada European Union Intellectual Property Office, sekaligus memberi petanda mereka akan menggunakan nama ini untuk sistem operasi alternatif mereka. Penjenamaan “Ark” ini cukup mencerminkan apa yang mereka lalui pada saat ini, iaitu sebuah ‘kapal’ (platform) untuk meneruskan perniagaan mudah-alih tanpa Google.

Walau bagaimanapun, ia masih tidak disahkan sama ada ‘Ark OS’ ini akan digunakan sebagai pengganti untuk Android. Ia mungkin digunakan sebagai pengganti kepada Windows dengan menjalankan sistem berasaskan Linux.

Namun dengan ura-ura yang lebih memihak kepada alternatif Android, ‘Ark OS’ ini mungkin akan beroperasi seumpama Amazon Fire OS atau Jolla Sailfish OS. Ia dijangka dapat menjalankan aplikasi Android, namun tidak diketahui sama ada ia dijalankan pada OS yang diolah (fork) atau berasaskan emulation layer.

Buat masa ini, Huawei telah menangkis dakwaan bahawa ia akan hadir pada sekitar Jun ini. Namun apa yang pasti, Huawei akan menyajikan platform alternatif sekiranya mereka tidak dapat menggunakan Android dengan komponen Google pada peranti mereka keluaran akan datang.

0/komen