Kesan Tapak Kaki Manusia Paling Tua



Kesan tapak kaki manusia yang ditemui di Chile disahkan berusia sekurang-kurangnya 15,600 tahun.

OSORNO, Chile - Sekumpulan saintis percaya bahawa mereka berjaya menemui satu fosil kesan tapak kaki manusia dipercayai paling tua di benua Amerika di Chile baru-baru ini.

Kesan tapak kaki itu dianggarkan berusia kira-kira 15,600 tahun. Ia ditemui pada tahun 2010 di tapak ekskavasi Pilauco di bandar Osorno.

Pada awalnya, saintis berpendapat ia kesan tapak kaki sejenis haiwan, namun kajian mendalam mendapati ia milik seorang lelaki.

Mereka membuat penelitian pada ukuran lengkungan dan cetakan saiz tapak kaki serta kelembapan tanah di sekitar tapak arkeologi tersebut.

Pengkaji daripada Universiti Austral di Buenos Aires, Argentina, Dr. Karen Moreno berkata, mereka turut menemui tulang haiwan berhampiran tapak arkeologi itu termasuk rangka gajah primitif.

“Sedikit demi sedikit, kita berjaya menemui tapak dengan bukti kewujudan manusia di Amerika Selatan. Ini adalah yang paling tua di benua Amerika,” katanya. 

0/komen