Komputer riba pada saat ini kebanyakannya hadir dengan binaan berasaskan logam dan plastik. Namun pihak HP ingin menjadikan komputer riba kelihatan lebih unik, dengan menampilkan kemasan kayu pada siri HP Envy Wood.
Siri komputer riba hadir dalam empat model berbeza iaitu Envy 13, Envy 17, Envy x360 13, dan Envy x360 15. HP telah menawarkan tiga pilihan kombinasi warna yang menarik, seperti “Nightfall Black with Natural Walnut”, “Ceramic White with White Birch”, dan “Natural Silver with Pale Birch”.
Kesemua siri Envy Wood ini bakal menawarkan sejumlah konfigurasi berbeza, merangkumi penggunaan cip Intel Core generasi ke-10 dan cip AMD Ryzen generasi ke-2.
HP Envy x360 15 bakal hadir dengan pilihan cip Intel dan AMD, sementara HP Envy x360 13 hanya akan hadir dalam pilihan cip AMD sahaja. Bagi model Envy 13 dan Envy 17, kedua-dua model ini hanya ditawarkan dalam pilihan cip Intel.
Dari segi jualan, kesemua model HP Envy Wood ini dijangka akan ditawarkan pada suku ke-empat ini. Sekiranya kemasan kayu ini berjaya menarik minat pengguna, pastinya ia akan diperluaskan kepada penawaran produk komputer riba yang lain.
Catat Ulasan