Meizu pada sebelum ini telah hadir dengan Meizu 16s iaitu peranti mercu tanpa perletakkan rekaan bertakuk. Meizu nampaknya ingin meneruskan rekaan ini pada peranti yang lebih berpatutan, melalui perkenalan Meizu 16Xs.
Peranti ini membawakan paparan sebesar 6.2-inci Super AMOLED Full HD+ dengan penyertaan pengimbas cap jari di bawah skrin. Walaupun hadir dengan rekaan bingkai nipis, ia masih dapat menyertakan keupayaan kamera hadapan 16MP.
Di dalamnya, Meizu 16Xs telah dijana dengan cip pemprosesan yang sama seperti Moto Z4 melalui penggunan cip Snapdragon 675. Ia juga hadir dengan memori 6GB RAM, pilihan storan 64GB dan 128GB, namun tidak hadir dengan slot kad mikroSD.
Dari segi penggambaran, ia didatangkan dengan sistem tri-kamera, melalui sensor 48MP Samsung S5KGM1, sensor ultra-lebar 8MP, dan sensor kedalaman 5MP. Untuk sensor ultra-lebarnya, ia membolehkan pengguna mengambil gambar seluas 118.8-darjah, sekaligus memudahkan pengguna mengambil gambar permandangan.
Untuk kapasiti baterinya, Meizu 16Xs telah membawakan kapasiti 4000 mAh dan boleh dicas secara pantas melalui pengecas Meizu mCharge 18W. Ia turut dijana dengan antaramuka Flyme OS 7 yang mana dijalankan bersama sistem operasi Android 9.0 Pie.
Meizu 16Xs telah dijual pada harga 1,698 Yuan (~RM1,031.95) bagi variasi 6GB/64GB, sementara variasi 6GB/128GB dijual pada harga 1,998 Yuan (~RM1,214.28). Ia bakal dijual di China bermula 10 Jun ini, dan bakal diperluaskan ke pasaran lain bermula Julai.
Catat Ulasan