Perisai Kayu Kulit Pokok 2,400 Tahun Ditemui



Perisai prasejarah pahlawan Celtic ini ditemui di Leicestershire, England pada tahun 2015

LONDON - Satu perisai prasejarah yang dianggarkan berusia kira-kira 2,400 tahun ditemui oleh sekumpulan pengkaji daripada Universiti York di England dan ia dipercayai milik seorang pahlawan Celtic.

Perisai yang diperbuat daripada kulit kayu pokok itu merupakan senjata pertahanan pertama milik pahlawan Celtic yang ditemui di England.

Ahli arkeologi menemui artifak itu dalam keadaan tertanam dalam kawasan tanah berair di Everards, Leicestershire di England pada tahun 2015 dan alat persenjataan itu didakwa membuka lembaran sejarah persenjataan masyarakat Celtic.

Masyarakat Celtic merupakan kelompok masyarakat etnolinguistik dan hidup di seluruh Eropah antara tahun 2000 hingga 1000 sebelum Masihi.

Perisai itu dinamakan sebagai Enderby dan mempunyai ukuran 670 milimeter (mm) tinggi dengan 370mm lebar. Semua perisai yang ditemui di benua Eropah sebelum ini diperbuat daripada kayu atau besi.

Pegawai projek Perkhidmatan Arkeologi Universiti Leicester, Matt Beamish menyatakan: “Perisai itu ditemui dalam keadaan terbalik dalam tanah.” Ujian karbon ke atas serpihan kayu itu mendapati ia berusia antara tahun 395 dan 255 Sebelum Masihi

Pengkaji menggunakan pelbagai kaedah analitik untuk memahami pembinaan objek itu termasuk imbasan Tomografi Berkomputer dan cetakan tiga dimensi.

Analisis lanjut menunjukkan kulit pokok itu mungkin diambil daripada pokok alder, willow, poplar, hazel atau spindle.

Pensyarah Prasejarah di Universiti Leicester, Dr. Rachel Crellin berkata, penemuan itu amat unik kerana objek yang diperbuat daripada kulit kayu pokok jarang terselamat sehingga ke hari ini.

“Peluang untuk mengkajinya adalah suatu keistimewaan. Ia mengandungi banyak maklumat berhubung masyarakat Zaman Besi dan amalan kraf. Pandangan awal kami ialah perisai kulit kayu pokok terlalu rapuh digunakan dalam pertempuran.

“Hasil eksperimen kami mendapati perisai itu mampu menahan impak objek berat termasuk melindungi daripada serangan anak panah. Walaupun ia tidak sekuat perisai kayu atau besi, ia tetap lebih ringan dan membolehkan pemakainya bergerak lebih pantas,” jelasnya

0/komen