Awan berbentuk ombak dirakam berhampiran kawasan Pergunungan Tasik Smith, Virginia
WASHINGTON - Seorang wanita merakam fenomena awan berbentuk ombak yang bergulung di kawasan Pergunungan Tasik Smith, negeri Virginia, petang Selasa lepas.
Menurut akhbar Washington post, awan yang jarang dilihat itu dikenali sebagai gelombang tidak stabil Kelvin-Helmholtz. Fenomena tersebut dilihat dan dirakam oleh Amy Christie Hunter sekitar pukul 8 malam (waktu tempatan).
“Ia adalah formasi awan paling hebat yang saya pernah lihat!. Ia sungguh menakjubkan,” katanya di laman Facebook.
Gambar Hunter menjadi viral dan disiarkan oleh stesen televisyen dan laman web tempatan.
Fenomena tersebut terbentuk akibat perbezaan ketumpatan udara antara lapisan awan dan kelajuan udara. Awan tersebut juga akan hilang dalam masa yang cepat sama seperti ombak yang menghempas pantai.
Pada kebiasaannya, awan itu akan muncul selama 10 minit sebelum hilang.
Kejadian itu paling biasa dilihat berdekatan banjaran gunung kerana udara yang berlapis di atmosfera tersebut.
Catat Ulasan