MANGKUK berharga jutaan dolar ini digunakan oleh sebuah keluarga di Switzerland sebagai tempat meletakkan bola tenis.
Pejabat dan ruang pameran Koller Auctions di Zurich, Switzerland.
ZURICH, Switzerland - Sebuah keluarga di Switzerland tidak menyangka sebuah mangkuk China yang mereka gunakan untuk menyimpan barang rencam seperti bola tenis sebenarnya bernilai AS$4.9 juta.
Pakar-pakar firma lelongan tempatan, Koller Auctions sedang membuat penilaian tentang barangan lama di kediaman keluarga itu apabila melihat mangkuk gangsa tersebut.
Mangkuk yang mempunyai tangkai ukiran burung phoenix dan digunakan sebagai tempat membakar colok itu merupakan artifak Maharaja China dari kurun ke-17.
“Apabila melihat mangkuk tersebut, mereka terkejut kerana belum pernah melihat artifak seperti itu,” kata Ketua Hubungan Media dan Pemasaran Koller Auctions, Karl Green.
Keluarga Switzerland tersebut membeli mangkuk itu ketika mereka melawat China.
Kata Green, keluarga berkenaan menawarkan mangkuk itu kepada sebuah muzium di Berlin tetapi pihak muzium tidak berminat mempamerkannya manakala sebuah firma lelongan di Britain juga enggan melelongnya.
“Selepas melalui semua itu, keluarga berkenaan menganggap mangkuk itu tidak begitu berharga dan meletakkannya di rumah sendiri.
“Seperti mangkuk biasa yang lain, mereka meletakkan barangan di dalamnya dan dalam kes ini bola tenis,” kata Green.
Menurutnya, mangkuk tersebut agak besar dan boleh memuatkan kira-kira 12 biji bola tenis.
Bagaimanapun, selepas mangkuk itu diperoleh oleh Koller Auctions dan dipamerkan di Hong Kong, artifak tersebut mendapat sambutan hangat dan akhirnya dijual pada harga AS$4.9 juta.
Catat Ulasan