Seorang pekerja Zoo London memeriksa alat perakam swafoto yang dipasang berdekatan Pete
LONDON – Sejenis pokok paku-pakis yang dinamakan Pete di Zoo London telah menjadi tumbuhan pertama di dunia yang mengambil gambar swafoto sendiri dalam satu kajian bagi memantau hutan hujan di kawasan pedalaman.
Kajian itu cuba membangunkan satu kaedah bagi menggunakan nutrien daripada pokok untuk menyediakan bekalan elektrik kepada sensor dan kamera pemantau pembesaran, suhu dan kelembapan di dalam hutan.
Ujian berkenaan akan menggunakan sel tenaga untuk mengumpulkan tenaga yang dihasilkan secara semula jadi oleh bakteria di dalam tanah hasil nutrien diperolehi daripada pokok-pokok sedang membesar.
Jika berjaya, kaedah itu akan menggantikan penggunaan panel solar yang perlu diganti secara berkala dan tidak boleh digunakan dalam kawasan hutan tebal.
Pelawat Zoo London kini digalakkan untuk bersorak di hadapan Pete pada pameran Hidupan Hutan Hujan bagi menggalakkannya membesar, seterusnya mencapai tahap mampu mengambil gambar swafoto sendiri.
Saintis dari Persatuan Zoologi London (ZSL) bekerjasama dengan Universiti Cambridge serta syarikat Open Plant dan Arribada Initiative untuk menganjurkan pertandingan mereka bentuk sel tenaga menggunakan kuasa tumbuhan tersebut.
Pakar tenaga hijau, Plant E dari Belanda dilaporkan telah memenangi pertandingan tersebut.
“Ketika tumbuhan membesar, ia secara semula jadi membuang bahan organik ke dalam tanah di sekelilingnya yang digunakan bakteria sebagai makanan. Ini menghasilkan tenaga yang boleh dikumpul dalam sel tenaga dan digunakan untuk pelbagai peralatan pemuliharaan,” kata pakar teknologi ZSL, Al Davies.
Catat Ulasan