Syarikat A.S Kini Boleh Kembali Berurusniaga Dengan Huawei



Kemelut halangan pembelian teknologi dari Amerika Syarikat ke atas Huawei nampaknya berakhir . Presiden Donald Trump telah mengatakan syarikat-syarikat dari A.S kini boleh kembali berurusniaga dengan Huawei. Kenyataan ini diberikan di dalam sebuah sidang media selepas pertemuan empat mata beliau dengan Presiden Xi Jinping di persidangan G20 yang sedang berlangsung.



Di dalam pertemuan tersebut perbincangan mengenai tarif ke atas barangan yang diimport telah dibicarakan. Buat masa ini A.S telah bersetuju untuk tidak mengenakan tarif ke atas China. Trump turut mendedahkan status penahanan ketua pegawai kewangan Huawei Meng Wanzhou tidak disentuh di dalam perbincangan yang baru berakhir. Meng Wangzhou ditahan di Kanada  atas perintah pihak berkuasa A.S untuk diekstradisi bagi dibicarakan atas tuduhan terbabit dalam penjualan teknologi kepada Iran.

Halangan pembelian teknologi dari A.S dikenakan ke atas Huawei pada Mei lalu kerana gergasi teknologi China tersebut dituduh terlibat dalam pengintipan yang boleh membahayakan keselamatan negara. Pasca sekatan dilakukan, Huawei membantah halangan yang dikenakan kerana A.S gagal membuktikan ia berlaku.

Akibat dari halangan tersebut Google, Intel, Broadcom dan ARM adalah antara syarikat yang berhenti membekalkan kelengkapan serta perisian kepada Huawei. Di Malaysia pengguna telefon pintar Huawei risau peranti mereka tidak akan berfungsi kerana halangan menggunakan Android.

0/komen