IMEJ bangkai kapal lama berusia 500 tahun yang ditemui sepasukan penyelidik di dasar Laut Baltik antara Sweden dan Estonia baru-baru ini.
STOCKHOLM , Sweden - Sebuah kapal yang tenggelam 500 tahun lalu ditemui dalam keadaan hampir sempurna di dasar Laut Baltik.
Bangkai kapal itu ditemui lengkap bersama badan, layarnya dan bot kecil yang biasanya digunakan untuk membawa anak kapal.
Sepasukan ahli arkeologi termasuk saintis dari Universiti Southampton berkata, kapal tersebut yang berlayar ketika Leonardo da Vinci masih hidup, mempunyai ‘kepentingan dari sudut arkeologi dan sejarah’.
Tidak banyak yang diketahui mengenai kapal tersebut. Ia dipercayai turut belayar pada era Christopher Columbus tiba di Benua Amerika.
Bangkai sedemikian digelar sebagai okant skepp di Sweden, merujuk kepada kapal yang identitinya tidak diketahui.
Ia berusia lebih tua daripada kapal perang Britain, Mary Rose yang tenggelam semasa peperangan pada tahun 1545.
Anak kapal karam tersebut berkemungkinan meninggalkan kapal mereka atau mati akibat penyakit kira-kira lima abad lalu, kata pasukan penyelidik itu.
“Ia kelihatan seperti baru tenggelam semalam, layarnya masih berada pada tempatnya dan badan kapal tidak pecah,” kata seorang ahli arkeologi maritim, Dr. Rodrigo Pacheco-Ruiz.
Catat Ulasan