NEW YORK – Seorang penggodam Turki yang dituduh oleh pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) mendalangi satu siri serangan siber untuk melesapkan wang berjumlah AS$55 juta (RM232 juta) dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di seluruh dunia, mengaku bersalah kelmarin.
Ercan Findikoglu, 34, mengaku salah di mahkamah persekutuan di Broklyn, New York atas lima pertuduhan termasuk menceroboh komputer dalam komplot untuk mencuri data kad debit dan menggunakannya bagi membuat pengeluaran palsu di mesin-mesin ATM di seluruh dunia.
Pihak pendakwa raya menyifatkan komplot itu sebagai antara rompakan bank paling berjaya dalam sejarah. Satu serangan siber itu pada 2013 melibatkan pengeluaran wang berjumlah AS$40 juta (RM168.7 juta) dari mesin ATM di 24 buah negara dalam tempoh sekitar 10 jam.
Findikoglu yang didakwa ketua komplot itu dikenali dalam talian sebagai Segate dan Predator. Penggodam itu diekstradisi pada Jun 2015 dari Jerman di mana dia ditangkap pada Disember 2013.
“Kumpulan penggodam itu menambahkan wang ke dalam kad-kad debit bagi membolehkan pengeluaran dalam jumlah yang besar.
“Konco-konconya di seluruh dunia kemudian melakukan pengeluaran palsu di mesin-mesin ATM,” kata pendakwa raya.
Catat Ulasan