Penyaman udara mudah alih bersaiz kad bank ini boleh diletakkan pada baju dan dikawal menggunakan telefon pintar
Peranti bluetooth (kanan) tersebut bersaiz kompak, ringan dan mudah dibawa ke mana-mana sahaja.
Gergasi elektronik Jepun, Sony membiayai rekaan alat penyaman udara mudah alih bersaiz kad bank yang meniup angin sejuk pada badan pengguna.
Dinamakan Reon Pocket, peranti bluetooth itu menggunakan penyejuk termoelektrik pada musim panas. Alat itu juga boleh digunakan untuk memanaskan badan ketika musim sejuk.
Ia diletakkan di dalam poket baju dalam khas pada pangkal leher pemakainya dan bersambung dengan sebuah aplikasi yang boleh dikawal menggunakan telefon pintar.
Sony menyatakan, penyaman udara peribadi itu boleh mengurangkan suhu badan pengguna sebanyak 13 darjah Celsius.
Ketika musim sejuk pula, peranti sama boleh memanaskan suhu badan pengguna sehingga 8 darjah Celsius, demikian menurut Sony.
“Alat ini dapat mengurangkan ketidakselesaan disebabkan pelbagai suhu seperti pada musim panas, suhu panas di dalam kereta api yang penuh dengan penumpang, semasa berada di luar rumah pada musim sejuk dan lain-lain,” tambah firma Jepun tersebut.
Bagaimanapun, alat penyaman udara itu akan dilancarkan di Jepun sahaja buat masa ini.
Ia disokong oleh sistem operasi iOS dan Android, mempunyai jangka hayat bateri selama 24 jam dengan tempoh cas dua jam
Lima tahap penyejukan dan pemanasan boleh dilakukan menggunakan aplikasi Android dan iOS yang disertakan. Walaupun dibangunkan oleh Sony, Reon Pocket sedang mengumpulkan dana menerusi laman biayasama First Flight dengan harga bermula dari 14,080 Yen (~RM 535) untuk satu set.
Catat Ulasan