Berang Dengar Bunyi Orang Mengunyah



Murphy duduk bersendirian di sebuah kawasan di San Diego, California.

SAN DIEGO, California - Seorang lelaki yang berang mendengar bunyi orang mengunyah makanan tidak dapat bergaul dengan ahli keluarganya selama empat tahun kerana sindrom ganjil itu.

Derrol Murphy menghidap misophonia, sejenis masalah mental yang menyaksikan sesetengah jenis bunyi mencetuskan reaksi seperti kemarahan, panik dan ingin melarikan diri kepada pesakit.

Murphy, 41, bekerja sebagai pengurus rekaan grafik di sebuah syarikat di sini sudah lama menghidap penyakit tersebut dan menyangka dirinya menjadi gila selama beberapa tahun.

Misophonia mengakibatkan dia enggan berjumpa saudara-mara kerana tidak tahan mendengar mereka menelan air liur. Dia juga pernah meninggalkan teman temu janji dan rakan-rakan lain kerana bunyi bising mereka mengunyah makanan.

Bagaimanapun, Murphy akhirnya menjalinkan hubungan cinta dengan rakan sekerjanya, Kurt Vin, 41, sejak dua tahun lalu selepas memberi amaran berhubung sindrom tersebut.

“Saya sangka saya menjadi gila sejak bertahun-tahun lalu. Bunyi kecil menyebabkan saya menjadi berang.

“Orang ramai tidak memahaminya dan sukar untuk saya menerangkan kepada mereka. Penyakit ini mengakibatkan hubungan dengan orang paling rapat dengan saya terjejas,” kata lelaki itu.

“Bunyi mengunyah adalah paling pantang buat saya,” tambahnya.

Murphy akhirnya menyedari tentang penyakit yang menimpa dirinya selepas melakukan pencarian di laman web Google semasa berumur 30 tahun.

Dia juga belajar untuk mengawal kemarahan dalam dirinya dengan tidak mendengar muzik atau menonton televisyen.

Bagaimanapun, Murphy terpaksa memakai fon telinga selama tiga jam pada setiap hari untuk mengurangkan simptom misophonia yang dihidapinya.

Dia juga berani untuk bercakap kepada orang ramai dan pemberita untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit yang jarang ditemui itu.

0/komen