Pecahkan Sangkar Kaca Guna Batu Tajam



ZHENGZHOU, China - Seekor monyet dirakam menggunakan seketul batu tajam untuk mengetuk sangkar kacanya berulang kali sehingga pecah di sebuah zoo di sini pada 20 Ogos lalu.

Monyet jenis capuchin Colombia atau nama saintifiknya Cebus capucinus di Zoo Zhengzhou itu kelihatan cemas sebelum mula mengetuk cermin tersebut, dipercayai cuba melarikan diri.

Pengunjung zoo tersebut terkejut melihat monyet itu mula mengetuk cermin berkenaan berulang kali. .


Walaupun kelihatan terdesak untuk keluar dari kurungannya itu, monyet tersebut terkejut dan melarikan diri apabila kaca tersebut pecah.

“Monyet itu dilihat menajamkan batu berkenaan sebelum mula mengetuk cermin kaca kurungannya. Selepas kaca berkenaan pecah, monyet tersebut lari akibat terkejut namun kembali semula untuk melihat dan menyentuh kaca ‘retak seribu’ itu,” kata seorang pengunjung bernama Wang.

“Monyet ini berbeza dengan yang lain. Monyet ini tahu bagaimana untuk menggunakan peralatan bagi memecahkan kacang walnut. Apabila kami berikan kacang walnut, monyet lain hanya tahu menggigitnya,” jelas kakitangan zoo berkenaan, Tian Shuliao kepada media tempatan.

“Bagaimanapun, ini kali pertama monyet tersebut memukul cermin kurungannya, namun kaca itu jenis keras jadi ia tidak dapat lari keluar. Selepas kejadian itu, kami telah membuang semua batu dari dalam kurungannya,” tambah Shuliao.

Shulioa turut memaklumkan cermin pecah itu sudah diganti malah kakitangan zoo akan membuat rondaan bagi memastikan monyet tersebut tidak cuba melarikan diri sekali lagi.

0/komen