BUENOS AIRES, Argentina - Sekumpulan saintis menemui peninggalan asid deoksiribonukleik (DNA) parasit paling tua di dunia dalam gumpalan fosil najis puma berusia 17,000 tahun di Argentina, memetik laporan jurnal Parasitology.
Telur mikroskopik atau coprolite milik Toxascaris leonina dalam fosil berkenaan adalah daripada spesies cacing bulat yang masih menjangkiti usus kucing, anjing dan musang sehingga kini.
“Walaupun kami pernah menemui bukti kewujudan parasit dalam bentuk coprolite sebelum ini, ia cuma berusia beberapa ribu tahun,” kata Dr. Romina Petrigh dari Universiti Kebangsaan Mar del Plata di Buenos Aires.
“Penemuan ini membuktikan cacing bulat menjangkiti fauna di Amerika Selatan lebih awal, sebelum ketibaan manusia ke kawasan tersebut kira-kira 11,000 tahun lalu,” tambahnya.
Parasit itu juga boleh menjangkiti manusia melalui tanah tercemar dengan gejala jangkitan seperti ruam, sakit kepala, sakit tekak dan cirit-birit.
Ahli arkeologi berpendapat jangkitan parasit mula meningkat dalam kalangan manusia selepas populasi yang hidup sebagai pemburu mengubah gaya hidup menjadi petani.
Perubahan itu dianggap menyebabkan manusia lebih kerap menyentuh najis dan air kencing haiwan ternakan seterusnya meningkatkan risiko jangkitan parasit
Catat Ulasan