Terjun Dari Pesawat Pada Ketinggian 1,100 Meter



CUTLAND dilaporkan membuka pintu pesawat Cessna sebelum terjun dari ketinggian 1,000 meter dalam satu kejadian dilihat Anjajavy, MAdagascar pada 25 Julai lalu.

ANTANANARIVO, Madagascar - Seorang pelajar Universiti Cambridge dilaporkan membuka pintu pesawat dan terjun dari ketinggian kira-kira 1,100 meter ketika mengikuti satu percutian ke Madagascar.Alana Cutland, 19, terjun dari sebuah pesawat Cessna ketika dalam perjalanan pulang dari sebuah lokasi di pedalaman negara pulau tersebut untuk program penyelidikan spesies ketam yang jarang ditemui pada 25 Julai lalu.

Polis memaklumkan gadis itu mengalami lima episod ‘serangan paranoia’ sepanjang menjalankan penyelidikan ‘gagal’ tersebut yang dibiayainya sendiri.

Pelajar itu difahamkan telah bergelut dengan seorang penumpang lain yang juga pelancong dari Britain, Ruth Johnson serta juruterbang pesawat selama beberapa minit dengan memegang kakinya bagi mengelak dia terjun dari kapal terbang tersebut.

Bagaimanapun, pelajar itu kemudian berjaya melepaskan diri sebelum dia terjun ke hutan belantara, jelas polis.

Polis dan penduduk setempat masih cuba mengesan mayatnya di kawasan wilayah Analalava dekat sini tetapi mereka khuatir mungkin tidak akan menemuinya disebabkan lokasi pedalaman tersebut.

Ketua polis tempatan, Sinola Nomenjahary memaklumkan mereka telah melakonkan semula penerbangan mengerikan itu selepas mengambil kenyataan Johnson dan juruterbang tersebut.

“Pesawat Cessna C168 itu berlepas dari Anjajavy dengan tiga orang di dalamnya iaitu Johnson, Cutland dan juruterbangnya. Selepas 10 minit berlepas, Cutland mencabut tali pinggangnya dan membuka pintu sebelah kanan pesawat sebelum cuba terjun keluar,” jelas Nomenjahary.

“Johnson bergelut selama lima minit dan cuba berpaut pada Cutland tetapi apabila dia keletihan dan tercungap-cungap, Johnson telah melepaskan genggamannya. Cutland kemudian terjun pada ketinggian 1,130 meter dari paras laut ke dalam kawasan dipenuhi haiwan karnivor Fossa (binatang mirip harimau),” tambahnya

0/komen