Wajah Manusia Prasejarah Berusia 4.2 Juta Tahun



CLEVELAND, Ohio - Wajah nenek moyang manusia menurut kepercayaan Barat, berusia 4.2 juta tahun telah dibentuk semula dan didedahkan kepada umum baru-baru ini, lapor jurnal Nature.

Tulang tengkorak manusia spesies Australopithecus anamensis itu ditemui di Etiopia pada tahun 2016, tidak jauh dari lokasi penemuan satu lagi rangka manusia prasejarah berusia 3.2 juta tahun dinamakan Lucy yang ditemui pada 1974.

Tengkorak lelaki dewasa itu ditemui di sebuah muara sungai yang sudah lama kering dan dipercayai mempunyai otak bersaiz kecil dan panjang. Saintis di Barat percaya manusia moden atau Homo sapiens adalah keturunan manusia awal daripada genus Australopithecus.

“Perkembangan ini mengubah segalanya dalam pemahaman kami mengenai evolusi manusia ketika zaman Pliocene,” kata ketua penyelidik dari Muzium Sejarah Semula Jadi Cleveland, Dr. Yohannes Haile-Selassie.

“Saya tidak sangka akan menemui tengkorak tersebut, ianya umpama detik mengejutkan dan mimpi yang menjadi kenyataan. Sebelum ini ada jurang besar dalam sejarah nenek moyang manusia paling tua berusia 6 juta tahun dengan Lucy kira-kira 3 juta tahun,” tambahnya.

“Akhirnya kita berjaya meletakkan ‘muka’ pada nama nenek moyang manusia itu,” kata penyelidik bersama dari Institut Antropologi Evolusi Max Plank, Dr. Stephanie Melillo.

Lelaki daripada spesies tersebut dianggarkan mencapai ketinggian sekitar 150 sentimeter (sm) dan berat 45 kilogram (kg) manakala wanita kira-kira 100sm dan berat 28kg sahaja.

0/komen