Dua Lelaki Lumba Haram Kereta Bampar



BEIJING - Dua lelaki kini disiasat pihak berkuasa kerana didakwa terlibat dalam perlumbaan di sebatang jalan menggunakan kereta bampar.

Satu rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan dua lelaki berkenaan ketawa semasa sebuah kenderaan memotong mereka dengan masing-masing memandu sebuah kereta bampar di bandar Beijie, dalam wilayah Guizhou, barat daya China, malam Sabtu lalu.


Kedua-dua lelaki berkenaan didakwa berlumba sambil menghisap rokok dan ketawa.

Polis Trafik Bijie melancarkan siasatan selepas insiden perlumbaan haram itu tersebar dan menjadi tular di media sosial tempatan.

Mereka akhirnya berjaya dijejak di daerah Qixingguan pada Isnin lalu. Kedua-dua lelaki yang dikenali dengan nama keluarga Yang dan Chen itu mendakwa, mereka membeli kereta bampar itu pada malam hari kejadian tetapi gagal mendapatkan kenderaan bersesuaian untuk mengangkutnya pulang dari Taman Hiburan Zhaoshang ke Jalan Tianhe di sini, kata polis.

Mereka juga mendakwa tiada cara lain selain memandu kereta bampar itu pulang ke rumah.

Pihak polis memberi amaran kepada kedua-dua lelaki itu yang kemudiannya menulis surat akujanji bahawa mereka tidak akan memandu kereta bampar di jalan awam lagi.

0/komen