Maut Cuba Tiru Cara Memasak Bertih Jagung Di Laman Youtube



MANGSA melecur teruk dan dirawat di Hospital Perbandaran Zaozhuang, wilayah Shandong.

ZAOZHUANG, China - Seorang remaja China terbunuh selepas dia cuba meniru cara memasak bertih jagung dikongsi seorang pengguna YouTube terkenal dengan menggunakan sebuah tin minuman dan lampu pelita.



Sebanyak 96 peratus badan Zhe Zhe, 14, melecur selepas alat ciptaan sendiri itu meletup ketika dia cuba memasak resipi tersebut di rumahnya bersama seorang rakan, Xiao Yu, 12, di sebuah bandar di wilayah Shandong pada 22 Ogos lalu, dakwa bapa mangsa.

Video YouTube yang cuba ditiru Zhe Zhe telah dimuat naik pada 2017 dan telah ditonton lebih daripada 100 juta kali.

Rakaman itu dihasilkan seorang blogger terkenal China yang hanya dikenali dengan nama samaran Ms. Yeah. Wanita itu mempunyai lebih 40 juta pengikut di pelbagai platform media sosial termasuk YouTube.

Ms. Yeah telah menghantar permohonan maaf kepada keluarga Zhe Zhe dan menawarkan pampasan kepada mereka susulan kematian gadis muda tersebut.

“Alkohol di dalam tin itu meletup sebaik sahaja kami nyalakan api. Kami berdua disambar api dan cuba lari keluar dari rumah untuk mendapatkan bantuan,” jelas Xiao Yu yang cedera.

Sekumpulan jiran yang sedang bermain daun terup datang membantu selepas mendengar dua gadis itu meminta tolong seterusnya memaklumkan kejadian tersebut kepada kakak Zhe Zhe.

Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Perbandaran Zaozhuang di mana Zhe Zhe dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selama dua minggu sebelum dia meninggal dunia pada 5 September lalu

0/komen