سُبْحَانَ رَبِّكَ رَبِّ الْعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُونَ * وَسَلَامٌ عَلَى الْمُرْسَلِينَ * وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
"Akuilah kesucian Tuhanmu, Tuhan yang mempunyai keagungan dan kekuasaan, dari apa yang mereka katakan! Dan (ucaplah) salam sejahtera kepada sekalian Rasul. Serta (ingatlah bahawa) segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam"
[Surah as-Shaaffat 180-182]
Imam an-Nawawi rahimahullah menukilkan dalam kitabnya yang masyhur, kitab al-Azkar bahawa diriwayatkan dalam kitab Hilyatul Awliya' daripada Sayidina Ali r.a berkata: "Sesiapa yang suka (amalannya) ditimbang (yakni dikira) dengan timbangan yang sempurna, maka hendaklah dia membaca di akhir majlisnya atau ketika dia berdiri (untuk meninggalkan sesuatu majlis, yakni kiasan bagi selesainya sesuatu pekerjaan atau urusan atau amalan atau ibadah) ayat 180-183 surah as-Shaaffat ini:
سُبْحَانَ رَبِّكَ رَبِّ الْعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُونَ * وَسَلَامٌ عَلَى الْمُرْسَلِينَ * وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Juga diriwayatkan dalam Mushannaf Abdur Razzaq ash-Shan'aani dan oleh Imam ath-Thabrani rahimahullah dalam Kitabud Du'a, bahawa Nabi saw membaca ayat-ayat ini selepas solat.
Imam ad-Dailami rahimahullah pula mendatangkan riwayat daripada Sayyidina 'Ali r.a yang menyatakan bahawa Baginda Nabi saw bersabda: "Sesiapa yang suka amalannya ditimbang dengan timbangan yang sempurna pada Hari Kiamat, maka hendaklah dia membaca setelah selesai solat:
(ayat 180-181 surah as-Shaaffat)"
Terdapat juga ulamak yang menamakan ayat 180-181 surah ash-Shaaffat ini sebagai 'al-Mikyaalul Awfa' yakni timbangan yang sempurna.
♡Marilah sama-sama kita amalkan ayat atau zikir ini di akhir setiap majlis kebajikan atau pada penghujung doa atau ketika selesai menunaikan solat dan selainnya, agar Allah swt menerima segala ibadah dan amalan kita dengan memberikan ganjaran pahala yang sempurna kepada kita yang banyak dosa ini. Jom amal♡
Catat Ulasan