Bateri ialah kelemahan utama telefon pintar sejak ia muncul di pasaran lebih sedekad yang lalu. Walaupun dilengkapi bateri sekitar 4000 mAh, telefon pintar mercu semasa masih tidak mempunyai hayat penggunaan yang setanding dengan Nokia 3310 yang hanya dilengkapi bateri sebesar 900 mAh. Bagi mereka yang merindui hayat bateri yang lama, Energizer telah melancarkan telefon pintar dengan bateri sebesar 18,000 mAh di MWC 25-28 Feb 2019 yang lalu.
Ini sekaligus menjadikannya telefon pintar dengan kapasiti terbesar pernah dihasilkan. Sebagai peringatan, sebelum ini Energizer Power Max P16K Pro diumumkan tetapi tidak akan dilancarkan. Malahan peranti prototaip yang dipamerkan di MWC itu tidak akan dihidupkan. Selain telefon pintar dengan bateri gergasi, Energizer turut melancarkan 25 peranti pelbagai jenis di acara telefon pintar terbesar di dunia tersebut.
Energizer Power Max P18K Pop dilengkapi skrin sebesar 6.2″ FHD+, dijana pemproses MediaTek P70, memori sebesar 6GB RAM, storan sebesar 128GB, kamera utama 12+5+2 Megapixel dan kamera hadapan 16+2 Megapixel. Kamera hadapan ini diletakkan di dalam mekanisme periskop bagi membolehkan rekaan penggunaan skrin nirtakuk.
Dengan bateri sebesar 18,000 mAh, telefon pintar ini boleh bertahan selama 50 hari dengan sekali caj. Pengguna juga boleh melakukan panggilan telefon selama 90 jam, mendengar muzik selama 100 jam atau menonton video berterusan selama 2 hari.
Pihak Energizer mengatakan sistem pengecasan pantas disokong menerusi port USB-C. Namun begitu format pengecasan belum diketahui. .
Catat Ulasan