NASIARI (kanan) maut akibat kecederaan pada kepala di Singapura baru-baru ini.
SINGAPURA - Seorang lelaki Australia dilaporkan melemparkan satu botol wain merah dari tingkat tujuh sebuah pangsapuri di sini lalu menyebabkan seorang warga emas terbunuh baru-baru ini.
Menurut laporan, Andrew Gosling, 47, dari Melbourne dituduh mencampak botol itu kira-kira pukul 8.40 malam pada 18 Ogos lalu.
Mangsa, Nasiari Sunee, 73, dikatakan terkena botol itu pada bahagian kepala semasa dia menghadiri satu majlis masuk rumah iaitu dua tingkat di bawah kediaman Gosling.
Keluarga mangsa bimbang Nasiari mungkin menjadi sasaran kerana dia seorang beragama Islam.
“Apakah kemungkinan bahawa sesiapa yang melemparkan botol itu ada sesuatu terhadap Muslim?” kata anak saudara Nasiari, Mohammed Nafis .
“Ibu saudara saya bertudung dan bapa saudara pula memakai songkok iaitu pakaian tradisional orang Islam dan botol itu terkena mereka?” tambahnya.
GAMBAR menunjukkan arah botol wain dilempar oleh suspek dari tingkat tujuh sebuah pangsapuri ke lokasi kedudukan mangsa.
Gosling, bekerja sebagai kontraktor syarikat teknologi Orica, sudah didakwa dengan apa yang dikenali sebagai ‘jenayah bunuh-buang sampah’.
Bagaimanapun, tuduhan itu ditukar kepada lebih serius iaitu ‘mendatangkan kecederaan teruk dengan sengaja menggunakan instrumen’, bermakna jika dia didapati bersalah, suspek boleh dihukum penjara dan rotan.
Nasiari dikejarkan ke hospital, namun meninggal dunia akibat kecederaan teruk di kepala pada keesokan hari iaitu 19 Ogos.
Gosling akan dibicarakan di mahkamah pada 18 Oktober ini.

GOSLING (tengah) bersama dua individu lain di sebuah lokasi yang tidak dinyatakan.
Catat Ulasan