Bengkulu: Penduduk kampung Desa Rindu Kedui di sini, gempar selepas seorang lelaki tiba-tiba kembali semula ke rumahnya selepas sehari dia meninggal dunia dan dikebumikan.
Lelaki yang dikenali sebagai Hamid, 65, itu dilaporkan meninggal dunia di Hospital Bengkulu selepas ditemui tidak sedarkan diri beberapa hari lalu.
Pihak hospital kemudiannya menghubungi keluarga Hamid yang datang sebelum menguruskan dan mengebumikan jenazah lelaki itu pada hari yang sama.
Sehari selepas itu, beberapa penduduk kampung menemui Hamid masih hidup dan sihat di Bengkulu serta segera membawanya pulang ke kampung.
Keluarga Hamid dan penduduk kampung terkejut dan panik apabila melihat lelaki itu masih hidup selepas sehari dikebumikan.
Cucu Hamid, Riska Yulia Antika berkata, keluarganya sangat terkejut apabila melihat lelaki itu masih hidup dan segera membuat laporan polis.
Katanya, mereka juga bingung kerana lelaki yang dikebumikan sehari sebelum itu memiliki wajah dan ciri fizikal sama seperti Hamid.
“Datuk saya mengalami masalah mental dan jarang pulang ke rumah.
“Pada hari Khamis lalu pihak hospital memberitahu dia sudah meninggal dunia selepas ditemui terbaring di tepi jalan di Bengkulu,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis, Raden Tri Wahyu Budiyanto berkata, pihaknya menyiasat kes berkenaan dan akan berusaha untuk mengenal pasti identiti sebenar jenazah yang dikebumikan keluarga Hamid
Catat Ulasan