Kasih Berganti Kasih



Aisha memandu perlahan keretanya menuju ke pusat bandar. Di kiri kanan laluan jalan raya, kelihatan beberapa buah kereta dan pelbagai kenderaan lain mula bertali arus menuju ke destinasi masing-masing. Pagi masih muda. Aisha tenang dalam pemanduannya. Dia tidak perlu tergesa-gesa untuk tiba ke tempat kerjanya. Memang sudah menjadi kebiasaanya untuk datang awal setiap hari. Dari jauh kelihatan bangunan Hospital Sultanah Zahirah yang tersergam indah berhampiran dengan Pantai Batu Burok. Sambil membelokkan keretanya memasuki perkarangan hospital, Aisha masih sempat melemparkan senyuman mesra pada pengawal yang bertugas. Setelah dua tahun bekerja sebagai jururawat di hospital itu, hubungannya dengan pekerja-pekerja lain turut terjalin. Sikap ramah dan baik hati yang ditunjukkan Aisha juga menyebabkan dia mudah didekati dan disenangi ramai.

Setelah mengisi perut di cafe hospital, Aisha mula melangkah ke dalam hospital. Selesai melakukan punch card, dia bergerak menuju ke wad pesakit untuk melaksanakan rutin hariannya. Seperti hari-hari sebelumnya, Aisha tidak lupa untuk melemparkan senyuman manis buat pesakit-pesakitnya. Dia tahu, walaupun tidak dapat mengurangkan kesakitan yang mereka alami, namun sedikit sebanyak senyuman yang dilemparkan olehnya mungkin dapat juga melapangkan hati mereka yang gundah.

"Assalamualaikum mak cik. Apa khabar hari ni? " Aisha menyapa mesra seorang makcik tua yang menghidap penyakit jantung. Telah lama dia ditahan di wad itu. Walaupun sakit, mak cik itu sentiasa kelihatan tenang selalu.

" Waalaikumussalam. Mak cik macam nilah." jawab mak cik Rokiah sambil mengambil ubat yang dihulurkan Aisha kepadanya.

" Mak cik dah makan pagi belum?" tanya Aisha lagi.


" Dah. Mak cik dah makan tadi. Kalau tak makan, macam mana nak makan ubat. Kan kamu selalu bagitau mak cik kena makan dulu sebelum makan ubat. Takkanlah mak cik lupa nak." jawab mak cik Rokiah sambil tersenyum. Sememangnya dia amat senang hati dengan sikap prihatin yang ditunjukkan Aisha. Dia amat suka dengan perwatakan gadis itu.

" Okey lah mak cik. Saya ada kerja lain lagi yang perlu disiapkan. Mak cik dah makan ubat kan. Sekarang saya nak mak cik berehat baik-baik. Saya kena pergi dulu." ucap Aisha sambil membantu mak cik Rokiah membaringkan badannya ke atas katil. Setelah pasti pesakitnya itu berada dalam keadaan selesa, dia mula mengatur langkah berundur dari katil itu.

"Aisha...Aisha..." dari jauh kedengaran suara seseorang memanggil namanya. Aisha memperlahankan langkah kakinya. Dia menoleh ke arah suara itu. Kelihatan Muslinah sedang termengah-mengah menahan keletihan.

" Hah, ada apa kau tergesa-gesa panggil aku! Macam ada benda penting je." tanya Aisha setelah melihat sahabatnya itu dapat bernafas dengan tenang.

" Kau ni Aisha....kalau jalan tu memang macam lipas kudung. Tak pandai nak slow-slow. Tadi doktor Fahmi cari kau. Dah banyak kali dia call handphone kau, tapi tak de yang angkat. Dia suruh kau jumpa dia segera, urgent katanya." Muslinah memberitahu pesanan doktor Fahmi kepada Aisha.

" Kenapa pulak dia cari aku?" tanya Aisha ingin tahu. Dia berasa pelik kerana tiba-tiba aja dia diminta berjumpa dengan Fahmi.

" Manalah aku tahu. Aku hanya sampaikan pesanannya saja. Sudahlah...jangan kau bertanya macam-macam lagi. Daripada kau duk tercegat kat situ, baik kau pergi jumpa dia cepat." Arah Muslinah bila melihat sahabatnya itu masih tidak bergerak.

" Yalah, yalah. Aku nak pergi lah ni." jawab Aisha sambil melangkah menuju ke bilik doktor Fahmi. Dalam fikirannya terdapat pelbagai andaian mengapa dia diminta ke sana.

"Macam ni Aisha. Tadi abang dapat call daripada papa bagitahu opah dimasukkan ke wad. Papa mintak kita balik segera. Dia kata keadaan opah agak kritikal. Jadi, kita kena balik sekarang. Abang dah bagitahu kak Hani kita cuti hari ni." beritahu Fahmi kepada sepupunya, Aisha.

Aisha terdiam. Dia terkejut mendengarkan perkhabaran itu. Dia berasa sangat takut dan bimbang jika satu-satunya orang yang paling rapat dalam hidupnya itu pergi. Sejak kecil lagi, Aisha dibesarkan oleh opahnya. Mama dan papanya telah meninggal sejak dia di tadika lagi. Tambahan lagi dia merupakan anak tunggal.

" Kalau tak ada apa-apa, kita pulang sekarang.Aisha balik aja dengan abang. Tinggalkan kereta Aisha pada Fiqa." Fahmi memberikan kata putus setelah melihat tiada reaksi daripada sepupunya itu. Dia tahu Aisha sudah tidak dapat berfikir dengan tenang sekarang.

Setelah berhenti seketika di rumah sewa Aisha, Fahmi memandu kereta viosnya membelah jalan raya menuju ke Perak. Walaupun kelajuannya agak pantas, namun Fahmi masih lagi berhati-hati dan patuh pada peraturan jalan raya. Dia tidak mahu musibah lain yang akan menimpa mereka. Keadaan jalan raya yang agak lenggang pada hari itu jua seolah-olah memihak padanya. Setelah hampir 8 jam dalam kereta, mereka akhirnya tiba di Perak. Tanpa singgah dahulu di rumah opahnya, Fahmi terus menghalakan keretanya menuju ke hospital Teluk Intan. Dia tahu, Aisha tentunya tidak sabar-sabar lagi untuk ke sana. Dia juga begitu.

" Macam mana keadaan opah, pa?" tanya Fahmi setelah mereka keluar daripada bilik yang menempatkan opahnya itu. Mereka tidak dibenarkan berlamaan di dalam bilik itu. Aisha yang berada di sebelahnya itu hanya mendengar. Wajahnya agak sayu dan sedih selepas melihat keadaan opah yang dikelilingi dengan wayar-wayar yang berserabut. Walaupun telah lama bekerja sebagai jururawat, Aisha nampaknya masih tidak dapat mengawal dirinya apabila melihat orang yang paling rapat dengannya tidak sedarkan diri.

" Tadi opah dah sedar. Doktor bagi ubat tidur agar dia dapat berehat lagi. Mengikut hasil pemeriksaan doktor tadi, opah kamu ada penyakit barah hati. Penyakit ni dah sampai tahap kritikal. Sukar untuk dirawat lagi." bagitahu Datuk Hakim pada anaknya dengan ringkas. Dia tahu sebagai doktor, anaknya tentu lebih jelas dengan keadaan neneknya sekarang.

Aisha yang berada di sebelah Puan Salmiah hampir rebah mendengarkan berita tersebut. Dia sukar percaya dengan apa yang didengarnya itu. Selama ini opahnya itu kelihatan sihat-sihat sahaja.

" Aisha., opah harap sangat Aisha dapat penuhi permintaan opah ni. Opah bukannya apa, kalau-kalau opah dah tak ada nanti, opah bimbang kamu tinggal sorang-sorang. Opah akan rasa lega kalau Fahmi dapat jaga kamu. Lagipun, Fahmi dah cakap pada opah dia setuju kalau kamu setuju." Permintaan opah itu terasa terngiang-ngiang di telinganya. Memikirkan permintaan opahnya itu membuatkan fikirannya menjadi buntu. Dia benar-benar tidak mampu untuk membuat sebarang keputusan. Dia berasa tidak mampu untuk berkata tidak dengan hasrat opahnya untuk menjodohkannya dengan Fahmi. Sejak kecil, opah telah menjaga dirinya dengan baik. Menolak cadangan opah pada saat-saat akhir hayatnya menampakkan seolah-olah dia lupa pada jasa opahnya itu. Dia berada dalam keadaan dilema.

" Aku terima nikahnya Puteri Aisha binti Tengku Idham dengan mas kahwinnya...." kedengaran suara Fahmi lancar melafazkan penerimaan akad nikad daripada juru nikah. Kemudian, semua tetamu yang hadir kelihatan mengangkat tangan mengaminkan doa bagi pasangan pengantin baru agar sentiasa hidup sejahtera hingga ke akhir hayat. Dari jauh kelihatan Aisha manis dalam pakaian pengantin. Dia kini telah sah menjadi isteri kepada sepupunya sendiri, Fahmi.

Hari ini telah masuk hari ketiga dia menjadi isteri kepada Fahmi. Sejak awal pagi lagi, Aisha telah turun ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi buat semua. Dalam fikirannya, dia mahu opahnya berselera menikmati hidangan yang disediakannya itu.

" Sedapnya bau masakan isteri abang ni." Fahmi menegur isterinya yang sedang asyik memasak. Sememangnya dia berasa amat bertuah kerana hasratnya untuk menjadikan Aisha sebagai isteri menjadi kenyataan. Opah seolah-olah tahu hasrat hatinya yang terpendam selama ini. Dia amat bersyukur dengan kurniaan Tuhan itu.

" Alah, Aisha masak biasa-biasa aje. Opah dah keluar belum?" tanya Aisha kepada suaminya itu.

" Oh…abang lupa nak jenguk bilik opah tadi. Macam mana opah nak keluar kalau abang tak bantu?" Fahmi mula melangkahkan kakinya menuju ke bilik opah. Sejak pulang dari hospital tempoh hari, opah memerlukan seseorang membantu dirinya untuk bergerak ke mana-mana. Dia tidak boleh ke mana-mana tanpa menggunakan kerusi roda. Keadaannya kini berubah sama sekali dengan kehidupannya yang lalu.

"Aisha...Aisha. Cepat...cepat..Opah.." dari dalam bilik, kedengaran jeritan Fahmi memanggilnya. selepas mencuci tangan di sinki, Aisha cepat-cepat berlari ke kamar opahnya. Dia terkejut melihat suaminya yang sedang menahan tangis dan melangkah menghampiri suaminya itu. Dia akhirnya rebah ke lantai dan tidak menyedari lagi apa yang berlaku selepas itu.

Telah genap dua minggu opah meninggalkan dirinya. Ternyata Allah lebih menyanyangi Opah. Kini, Aisha redha menerima ketentuan tersebut dan sentiasa mendoakan kesejahteraan opahnya di sana. Hari ini, dia bersama suaminya akan bertolak semula ke Kuala Terengganu untuk menjalankan tugas masing-masing. Jika dahulu status mereka adalah sepupu, namun kepulangan kali ini telah mengubah status diri mereka. Berita perkahwinan mereka secara tiba-tiba pasti akan mengejutkan semua kakitangan Hospital Sultanah Zahirah. Walaubagaimanapun, rahsia punca perkahwinan mereka akan tetap tersimpan di lubuk hati masing-masing. Mereka kini telah dapat menerima diri masing-masing dan berasa bahagia dengan perkahwinan tersebut.Melihatkan keadaan opah yang terbujur kaku, Aisha dapat menduga apa yang telah berlaku.


0/komen