Tesla Model Y



Elon Musk telah melancarkan Tesla Model Y yang merupakan kenderaan elektrik kelima yang direka sendiri oleh mereka. Tesla Model Y ialah sebuah kenderaan Crossover SUV pertama keluaran mereka yang mampu menempatkan tujuh orang penumpang. Terdapat pilihan model dengan kemampuan panduan empat roda dan jarak operasi maksimum sehingga 482 km dengan sekali caj.

Model Performance yang merupakan salah satu dari empat pilihan yang diberikan boleh bergerak pada kelajuan maksimum 240 km/j. Ini dibantu oleh dua motor elektrik yang membekalkan daya kilas terus ke empat-empat tayar. Seperti kenderaan lain Tesla, mod panduan Autopilot turut ditawarkan kepada pembeli.



Rekaan luaran mempunyai elemen yang sama seperti Model 3 kerana kasis Model Y adalah berasaskan kereta paling mampu milik yang pernah dihasilkan Tesla ini. Malahan hiasan dalaman sama seperti Model 3 lengkap dengan sebuah skrin LCD mendatar sebesar 15″ pada konsol tengah untuk mengawal kesemua fungsi kenderaan. Pada Model S dan X misalnya, skrin LCD yang digunakan dipasang menegak.

Tesla Model Y dijual pada harga $42,700 (~RM 174,600) untuk model asal dengan hanya panduan roda belakang dan mencecah $55,700 (~RM 228,000) untuk model Performance dengan panduan empat roda.

0/komen