Bolehkah Anda Saman Syarikat Parking Jika Berlaku Sesuatu?



Sebagai pengguna, anda seharusnya mengetahui sedikit sebanyak tentang undang-undang yang telah ditetapkan supaya dapat mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Kecelakaan yang bakal berlaku ke atas diri kita sememangnya tidak dapat diramal.

Namun sebagai pengguna, anda seharusnya mengambil tahu tentang beberapa perkara penting supaya anda tidak mengalami kerugian apabila sesuatu insiden berlaku keatas diri anda.

Persoalannya, jika terjadi sesuatu kepada kenderaan anda, apakah yang anda boleh lakukan? Baca perkongsian tersebut dibawah.

‘PARK AT YOUR OWN RISK, MANAGEMENT WILL NOT BE LIABLE FOR ANY LOSS’

Bolehkah anda menyaman syarikat parking jika berlaku sesuatu? 

Kita banyak melihat papan tanda seperti di atas terutamanya apabila kita menggunakan perkhidmatan parkir atau parking di mana-mana bangunan atau kawasan lapang.

Ini adalah dipanggil sebagai ‘exclusion clause’ di dalam undang-undang. Tujuan exclusion clause ini adalah untuk menghadkan liabiliti pemilik syarikat parking tersebut.

Pihak syarikat parking perlu menaikkan notis dan mempastikan bahawa amaran seperti di atas adalah sempurna untuk dilihat oleh pemandu atau pengguna petak parking, jika ia tidak dapat dilihat notis tersebut dianggap tidak sempurna dan tidak boleh digunapakai.

Dalam kes Thornton v. Syarikat Parking, Mahkamah telah mendapati bahawa tanda notis amaran parking atas risiko sendiri hanya dipaparkan selepas pemandu telah mengambil tiket dari mesin tiket.

Bermakna, pemandu hanya mendapati tanda notis tersebut selepas mengambil tiket dan bukannya sebelum mengambil tiket.

Dalam kes itu, Mahkamah berpendapat pihak syarikat dan pemandu telah berkontrak di saat pemandu mengambil tiket dan tanda amaran yang hanya muncul kemudian selepas kontrak terbentuk adalah tidak terpakai dan tidak mengikat pemandu. Dalam kes tersebut Mahkamah memutuskan syarikat parking tetap bertanggungjawab ke atas kemalangan yang dialami oleh pemandu.

BAGAIMANA JIKA BERLAKU KECUAIAN OLEH SYARIKAT PARKING KE ATAS PEMANDU? BOLEHKAH SAMAN MEREKA?

Ya, anda masih boleh menyaman syarikat parking jika terdapat kecuaian oleh syarikat parking semasa anda menggunakan perkhidmatan mereka walaupun terdapat notis ‘exclusion clause’ ini.

Ini kerana undang-undang tidak melepaskan syarikat parking dengan sewenang-wenangnya hanya kerana terdapat notis ‘exclusion clause’ jika kecuaian berlaku.

ADAKAH UNDANG-UNDANG INI TERHAD KEPADA SYARIKAT PARKING SAHAJA? BAGAIMANA SYARIKAT LAIN?

Undang-undang ini tidak terhad kepada syarikat parking sahaja tetapi terpakai kepada semua syarikat lain yang menyediakan perkhidmatan.

Dalam kes Chin Hooi Nan v. Syarikat Parking, Mr. Chin telah menghantar kenderaannya untuk dibasuh dan telah menerima tiket yang tertera di belakangnya ‘pihak syarikat tidak akan bertanggungjawab jika berlaku kerosakan dan kecacatan pada kereta’. Malangnya kereta Mr. Chin telah rosak akibat kecuaian pihak syarikat.

Mahkamah telah memutuskan bahawa walaupun terdapat notis amaran diberikan, pihak syarikat masih bertanggungjawab jika berlaku kecuaian dalam memberikan perkhidmatannya.

Ini juga boleh didapati di dalam seksyen 21A Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan bahawa mana-mana syarikat yang menawarkan perkhidmatan kepada pengguna hendaklah mempastikan keselamatan yang munasabah kepada pengguna, jika tidak pihak tersebut boleh didenda dan terdedah kepada tindakan saman sivil oleh pengguna.



0/komen