Diari Luka



28 April 2007

Kau ok ke?

SMS Ida terbiar tanpa ku reply. Biarlah. Aku malas hendak melayan sesiapa hari ini.

Sejak tengahari tadi aku tidak keluar bilik. Makanan pun tidak ku sentuh. Perut yang lapar tidak ku endahkan. Bukannya aku tidak biasa begini. Perasaan ku yang kacau bilau ini meminta untuk dilayan. Telah sekian lama aku bersabar dengan segalanya. Menahan segala rasa agar semua ini tidak berlaku dalam hidupku. Tapi, ianya datang juga.

Tit.

Message berbunyi.

HP di penjuru bantal ku ambil.

Kau x blh mcm ni. Kau kena kuatkan semngt.

Ida lagi. Satu-satunya kawan yang tidak pernah jauh saat aku senang mahupun susah.

Aku ok. Tido tadi.

Aku berbohong.

Ku pandang Aina yang sedang nyenyak tidur. Anak ini terlalu kecil untuk memahami segalanya. Melihat wajahnya hatiku dirundung sayu. Apakah nasibnya nanti? Apakah salah dia menerima takdir ini di atas perbuatan aku dan Atan?

Ku peluk lembut Aina.

Aina, mama tak akan biarkan kau menderita seperti mama kini. Mama akan pastikan kau bahagia walaupun tanpa abah. Mama janji, Aina..


28 Mei 2007

Kau ada duit x? Aku nak pnjm rm20, nk beli susu Aina.

Aku send juga SMS tu kepada Ida walaupun sebenarnya aku teramat malu. Aku terpaksa sebab aku memang terdesak. Dengan gaji RM400 sebulan mana cukup untuk menampung perbelanjaan kami berdua. Duit mengasuh, barang-barang keperluan Aina dan duit perbelanjaan aku ke tempat kerja memang tidak cukup. Hendak diharapkan pada ibu aku, berapalah sangat gaji dia. Lagipun adik aku masih bersekolah lagi.

Tit.

Ada. Kau mai lah ambik.

Lapang dada apabila membaca SMS Ida. Aku tahu dia sentiasa menolong aku tiap kali aku memerlukan.


30 Jun 2007

Kesedihan adalah satu penyakit yang berbahaya kepada jiwa, melemahkan semangat dan kehendak untuk melakukan kebaikan. Mengingat2 masa lalu dan bersedih hati kerananya adalah satu tindakan bodoh dan gila. Allah mengkehendaki dunia ini sebagai tempat bertemunya 2 pakar yang saling bertentangan, yang baik dengan yang buruk, kebahagiaan dengan kesedihan.

Jalanilah hidup ini dengan kenyataan yang datang, jangan hanyut dalam alam khayalan dan jangan sekali menerawang ke alam angan-angan.

Sebenarnya tidak semua yang kita rasakan baik itu baik bagi kita dan semua yang buruk itu buruk bagi kita. Allah jua Yang Maha Mengetahui. Tuhan Yang Maha Pengasih akan memberikan hanya yang terbaik untuk kita sama ada yang serupa dengan keinginan kita atau yang lain dari keinginan kita. Kedua-duanya mengandung rahmat.

Memang benar, semua yang bersimpati dengan kita akan meminta supaya kita bersabar dan redha dengan apa yang telah ditentukan Allah terhadap kita. Tapi beleklah lembaran Al-Quran, apa saja musibah yg dtg, Allah menyuruh agar hamba2nya bersabar dan redha.

Betul apa yang tertulis di dada akhbar Berita Harian itu. Aku tidak pasti siapakah si pengirimnya namun aku yakin dia adalah seorang wanita yang pernah atau telah berpengalaman melalui saat-saat kedukaan itu. Sampai bila aku harus tunduk pada kekecewaan sedangkan aku perlu kekuatan untuk meniti hari-hari yang datang.

Aku ada Aina dan untuk Aina juga aku perlu bangkit dengan semangat baru. Aku perlu mengubah hidupku agar lebih baik dari dulu. Cukup selama ini aku dihimpit kesengsaraan dan derita bersuamikan lelaki pemalas. Masanya sudah tiba. Kini aku telah pun bebas untuk mencapai impian yang pernah tertangguh suatu ketika dulu.

Dia telah pun bahagia. Dia telah pun tinggalkan aku dan Aina pada saat Aina memerlukan kasih sayang seorang ayah. Pada waktu dia melafazkan cerai, tidak sedikit pun di wajahnya menunjukkan rasa kesal dan bersalah. Malah dia langsung tidak pedulikan aku dan Aina. Duit sara Aina tidak diberi malah aku dengar dia sibuk melayan perempuan itu siang dan malam. Biarpun ini adalah kesedihan yang teramat dashyat pernah ku lalui, tapi inilah juga peluang aku keluar dari segalanya.

Biarlah hari ini perempuan itu merasa megah kerana merampas Atan dari aku tapi suatu hari nanti dia akan rasa juga derita yang pernah ku lalui sewaktu bersama Atan.

15 Ogos 2007

'Tahniah! Anda telah diterima bekerja di syarikat kami.'

Itulah ayat pertama yang ku terima dari Kak Ros, yang akan menjadi bos aku nanti. Aku akan ingat saat ini sampai bila-bila. Syukur, inilah rezeki Aina. Tidak sampai 4 bulan bekerja di Venture, Penang, kini aku dapat pula kerja di sini. Tempoh ini terlalu singkat bagiku dan ini adalah perkembangan baik. Tidak sia-sia aku menerima herdikan kerana meninggalkan kerja lama dulu tanpa sebarang notis kerana bekerja di Venture.

1 Mac 2008

'Untuk berjaya, kamu kena bekerja keras. Kena buktikan bahawa kamu boleh berjaya hanya ada Aina. '

Setiap kata-kata perangsang dari Kak Ros sentiasa aku ingat. Aku kena juga menerima pandangan orang yang lebih berpengalaman jika hendak berada di puncak kejayaan. Kadang-kadang aku rasa kesabaran aku telah melebihi batasan namun aku kuatkan semangat demi Aina. Biarlah airmata ini menitis di dalam hati kerana sentiasa di buli senior. Aku yakin kebenaran akan berpihak kepadaku. Dan aku telah pun menerima nikmat di atas segalanya.

Hari ini, aku telah convert sebagai permanent staff. 6 bulan adalah tempoh percubaan yang singkat. Syukur kepada Tuhan. Inilah hasil yang ku dapat jika aku bekerja keras dan sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan diri. Biarpun aku tahu ada juga hati yang tidak senang dengan kejayaan kecil ku ini namun aku yakin pada putaran hidup ini. Di mana-mana juga kita akan berdepan dengan masalah yang sama. Aku sudah nekad. Aku tidak akan peduli apa pun pandangan orang untuk mencapai semua impianku namun aku perlu juga berhati-hati kerana aku tidak tahu hati manusia.

Hai, Iera. Aina shat? Rndu abg x?

Sudah beberapa kali Atan mengirim SMS. Aku sudah jemu untuk membalas. Aku tidak faham dengan sikap dia. Sekarang ini dia seakan seperti mahu berada kembali dalam kehidupan aku dan Aina. Mula mengambil berat dan kadang-kadang cuba mengawal kehidupan aku seperti aku ini masih isterinya.

25 Mei 2008

'Aina, mak pergi dulu. Sayang mama sikit.'

Aku mencium pipi gebu Aina.

'Mak!'

Aina mula hendak menangis apabila melihat aku sudah bersedia di atas motorsikal. Mak aku segera memujuk Aina.

Aku segera berlalu dari situ. Jika tunggu lebih lama lagi pasti Aina meraung lagi kuat. Aku sendiri pun berasa berat hati tiap kali hendak meninggalkan Aina.

Aku terpaksa nekadkan hati untuk merubah kehidupan kami sekeluarga. Inilah langkah seterusnya yang ku ambil. Aku mengikuti English Course sebuah kolej swasta. Untuk mempertingkatkan mutu English aku. Kerja aku memerlukan aku berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Cuma tinggal beberapa bulan saja lagi. Selepas itu aku akan mengikuti course lain pula yang berkaitan dengan bidang kerja aku.

Alhamdulillah, hidup ku kini tidak seteruk sewaktu mula-mula ditinggalkan Atan. Walaupun tidak semewah mana namun cukup untuk menampung kehidupan kami sekeluarga. Aku tidak perlu lagi berhutang dengan Ida malah aku sudah langsaikan semua hutang aku pada dia.

18 Ogos 2008

Abang, hari ini biarlah Iera luahkan semua perasaan Iera terhadap Abang sejak akhir-akhir ini. Kita dah semakin jauh. Iera sudah tidak nampak hubungan kita akan berakhir seperti dulu lagi. Dah tak ada impian yang boleh lkita ciptakan lagi. Semuanya sudah musnah sejak Abang curang pada cinta kita. Semuanya sudah tiada kemanisan saat Abang melafazkan cerai pada Iera.

Mungkin Abang keliru. Rasa sayang Abang terhadap Iera kini lahir kerana Abang masih terkenang saat-saat kemanisan kita dulu. Bila Abang rasa rindu pada Aina, Abang terasa seperti Abang rindu pada Iera juga kerana Aina adalah cantuman kasih sayang kita suatu waktu dulu. Kepercayaan Iera terhadap Abang terpaksa Iera pertikaikan.

Jika Abang berada di tempat Iera saat ini, Abang yakinkah dengan kejujuran Iera jika setiap saat Iera bersama lelaki lain? Abang percayakah pada kasih Iera jika setiap malam Iera berada di dalam pelukan lelaki lain? Di mana hendak Iera letakkan kepercayaan itu kerana Iera telah temui kebenaran di sebalik hubungan Abang dengan dia? Abang berkata sanggup tinggalkan dia jika kita ditakdirkan bersatu kembali. Permainan apakah ini? Iera tidak mengerti nilai sebenar kasih Abang terhadap dia.

Iera sudah terima takdir cinta kita telah lama berakhir. Iera sudah dapat menerima bahawa Iera perlu hadapi hidup ini tanpa Abang. Iera bina hidup baru dalam keperitan kerana Aina. Kekuatan dan semangat ini adalah untuk Aina tapi kini Iera tidak mengerti kenapa Abang ingin berada di dalam kehidupan kami kembali.

Abang, kelukaan bukan satu turisan pisau yang boleh sembuh hanya beberapa hari. Kekecewaan bukan rasa yang boleh kita ubati hanya dengan penyesalan. Bila luka dan kekecewaan itu bersatu dalam diri, ia menjadi satu perasaan yang tidak boleh diungkapkan. Hanya boleh dilihat pada garis-garis pilu di wajah dan hanya boleh dinilai dari airmata.

Bila hati kita sudah mati, bagaimana hendak kita bersatu kembali. Untuk apa kita membohongi perasaan masing-masing hanya kerana kita masih dibayangi kenangan silam. Kebahagiaan itu tidak akan ada jika kita bersatu dalam keterpaksaan dan Aina bukan alasan untuk kita mengulangi segalanya. Kita bukan 10 tahun lalu yang terlalu mentah dalam hidup.

Jika Tuhan memang takdirkan kita diijabkabulkan sekali lagi, Iera akan terima lafaz akad Abang tapi maafkan Iera kerana Iera tak boleh berusaha untuk ke arah itu. Perasaan Iera untuk bercinta kembali telah tiada kerana impian Iera kini adalah untuk Aina. Iera mahu Aina membesar dalam kesempurnaan seperti anak-anak orang lain meskipun tanpa Abang.

Maafkan Iera. Abang telah pun miliki kebahagiaan itu dan untuk apa Abang mencari kebahagiaan lain. Iera adalah perempuan yang pernah Abang cintai, kahwini dan ceraikan. Mungkin Iera tidak layak untuk berada lagi dalam hidup Abang. Terasa hinaya seorang perempuan bila diceraikan suami.

Pandangan masyarakat juga berubah. Kesalahan tidak diletakkan kepada lelaki tetapi perempuan. Dan di luar sana isteri-isteri mula kepanasan bila perempuan seperti Iera lintas dihadapan suami-suami. Sementara si gadis-gadis terasa bimbang jika kekasih hati memuji perempuan seperti Iera. Rasa hina yang pernah Iera lalui terlalu perit untuk diulang kembali. Cukuplah!

Aku harap dia akan faham bila membaca bingkisan ini.

19 Ogos 2034

Suasana sekeliling penuh meriah. Di atas pelamin yang sedang tersergam indah, sepasang pengantin sedang bersanding. Pengantin itu adalah Aina, anakku dan suaminya Aiman. Cepatnya masa berlalu. Kini Aina sudah berusia 25 tahun. Sebaik saja pulang dari London, majlis ini di adakan meskipun mereka telah pun bernikah di sana. Penat lelah dan jerit perih yang ku lalui selama ini berbayar. Aina telah pun berkhidmat di sebuah syarikat swasta.

Hubungan aku dan Atan masih baik sebagai ibu bapa Aina biarpun suatu ketika dulu aku pernah menolak kasihnya. Dia telah pun berkahwin tapi bukan dengan perempuan itu. Isterinya, Ashikin juga baik dengan aku dan Aina. Bagiku, kelukaan dulu bukan kerana Ashikin. Ashikin hadir setelah aku dan Atan bercerai 3 tahun.

Syukur kepada Tuhan di atas kurnia rahmat ini.

Ku harap impian ini akan menjadi kenyataan. Dan ku harap impian ini dapat merubah segalanya demi Aina.




0/komen